.

.

Isnin, 22 Disember 2014

Madrasah Tuan Guru Kiayi Hj Othman Bin Hj. Mohd Amin

Madrasah Pt Ju Tuan Guru Kiayi Hj Othman Bin Hj. Mohd Amin




Madrasah Pt. Ju
Madrasah ini berada di lokasi  Pt. Ju di laluan jalan utama  antara  Pekan Tongkang Pechah ke Pt. Sulong atau disebut juga sebagai Jalan Pt. Jalil.
Madrasah ini telah dibina oleh Tuan Guru Kiayi Hj. Othman Bin Hj. Mohd Amin yang juga merupakan seorang guru mursyid shaikh Tariqat Naqsabandiah khalidiyah yang berasal dari pengasasnya Tuan Guru Shaikh Abdul wahab Rokan Babusalam Langkat, Sumatera, Indonesia.




Sejarah Ringkas Tuan Guru Mursyid Kiayi Shaikh Hj. Othman Bin Hj. Mohamad Amin
Beliau telah dilahirkan di daerah Batu Pahat pada tahun 1908 masehi, semasa hayatnya beliau telah berguru dalam bidang agama pengajian dalam bidang fekah dan tasawuf dengan beberapa orang tokoh guru seperti Tuan Guru Shaikh Omar Pt. Hj Abd Rahman, Tuan Guru Shaikh Daud Rokan Langkat, Indonesia (Anak kepada Tuan Guru Sheikh Wahab Rokan), Tuan Shaikh Zakaria dan Tuan Shaikh Usman, semua gurunya  merupakan  peminpin Shaikh Tarikat yang bersanad salahsilahnya hingga jejak kepada Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Guru beliau Shaikh Hj. Umar salah seorang khalifah yang tertua kepada Shaikh Abdul Wahab Babussalam, beliau menerima pelajaran, asuhan dan didikan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari Shaikh tersebut datang ke Batu Pahat, Johor, pada tahun 1888. 
Diantara guru-guru beliau seperti gambar dibawah:

Shaikh Hj. Umar bin Muhammad adalah salah seorang di antara khalifah tertua kepada Tuan Guru Shaikh Abdul Wahab Babussalam. Shaikh Hj. Umar berasal dari Parit Ju atau Parit Abdul Rahman, Mukim Empat, Batu Pahat, Johor. Sekalipun beliau berasal dari Batu Pahat, Johor, namun datuk nenek beliau adalah berasal dari Pekan,Pahang. Shaikh Hj. Umar telah menerima pelajaran, asuhan dan didikan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari Shaikh Abdul Wahab sewaktu shaikh tersebut datang ke Batu Pahat, Johor, pada tahun 1888.


Tuan Guru Kiayi Hj Othman Bin hj Mohd Amin adalah seorang yang cukup didikasi mendidik anak-anak muridnya dalam pengajian agama khususnya bidang fekah, tasawuf dan al quraan, beliau telah mendirikan beberapa buah madrasah di daerah Batu Pahat diantaranya bermula dari madrasah asal di Pt Hj Abd Rahman yang kini telah menjadi sebuah masjid, beliau juga telah mendirikan pula sebuah madrasah di Ayer Hitam , sebuah madrasah di Pt Tegak di kawasan Pt Sulong, sebuah madrasah di Pt. Ju dan juga sebuah Rumah Suluk sebagai sebuah pusat perkembangan Tariqat Naqsabandiyah Khalidiyyah khususnya di Daerah Batu Pahat yang kekal sehingga kini.

Kitab-kitab yang menjadi rujukan dalam pengajian beliau dalam membimbing anak-anak muridnya  seperti Tanwirul Qulub , Kitab darunnafis, Kitab Majmuk Musanif (Majmuk Aceh), Kitab Hidayahtul Salikin, Kitab Bihidaytul Mubtadi, Kitab Sir Salikin, Kitab Minhajul Abidin, Qatrul GhasiahKitab Fathual Ghaib, dan Kitab Hikam, dalam menyampaikan kuliah2 beliau yang diadakan setiap hari Isnin malam Selasa bermula lepas solat Magrib ditangguhkan apabila masuk saja waktu Isya',  pada malam tersebut juga diadakan amalan Qhatam Tawajuh diikuti Zikir Ratib Sazaliyah.

Gambar Hiasan Kuliah Yang Disampaikan Oleh Tuan Sheikh Hj. Rahim B. Ismail merupakan anak murid beliau yang merupakan khalifah lantikan dari Tuan Sheikh Tajuddin Babusalam Langkat Sumatera di Madrasah Pt Ju



Pada setiap hari Sabtu  pula beliau akan berada di Madrasah Pt Tegak, Pt Sulong pada siang hari beliau mengajar alquraan untuk kanak-kanak dan disebelah malam pula akan menyampaikan kuliah kitab Majmuk Aceh, setelah itu dikuti pula dengan Ratib Sazaliah.
Pada setiap hari khamis pula  selepas Asar beliau akan menyemak bacaan Alquraan untuk orang-orang dewasa khasnya murid-muridnyanya, kemudian disambung semula selepas magrib, selepas waktu Isyak pula diadakan amalan Qhatam Tawajjuh serta bacaan yasin.

Pada setiap bulan Muharam, zulhijjah dan 10 akhir Ramadhan akan diadakan suluk yang dihadiri oleh murid-muridnya di serata negeri Johor dan juga dari Singapura.


Latar Belakang Tuan Guru Kiayi Shaikh Hj Othman
Beliau seorang yang mahir dalam bidang pertukangan, kebanyakan madrasah yang dibangunkan telah dibina oleh beliau sendiri, beliau seorang yang alim lagi zuhud, lagi warak, lagi abid, sentiasa dalam keadaan berzikir kepada Allah hingga jika bersama dengannya terasa aura zikrullahnya, beliau akan menyampaikan  ilmu yang beliau sendiri sudah dahulu amalkan. tinggi adabnya, Istiqamah setiap amalannya sekalipun dalam  keadaan uzur beliau tetap berusaha untuk melakukan rutin amalannya.

Kehidupannya amat bersederhana dan tidak mengharapkan sumbangan atau derma dari muridnya kerana beliau sendiri banyak memiliki kebun dan rumah sewa, kebanyakannya telah dimenafaatkan pada mendirikan agama Allah,  segala pengurusan  harta beliau telah dikendalikan oleh menantu beliau yang dipercayai.

Semasa hayatnya beliau sering berulang alik ke Bersilam atau atau dikenali perkampungan Babusalam Langkat Sumatera mendalami pengajian dan bersuluk dari shaikh beliau Tuan Guru Shaikh Daud Rokan, oleh kerana tokoh dan wibawa beliau dilantik Shaikh Tarikat serta diberi gelaran Kiayi oleh guru beliau.

Beliau seorang yang cukup menjaga waktu hingga di madrasah terdapat jam-jam dinding yang akan berbunyi dengan waktu-waktu tertentu yang telah disusun atur, di pinggangnya sentiasa terselit jam kocek, beliau telah mengatur waktu jam mengikut perkiraan peredaran waktu pergerakan matahari sebagai panduan sebuah timbang mengikut perkiraan tersebut turut juga telah disediakan oleh beliau.
Pada kebiasaanya beliau akan berada  sekurang-kurangnya setengah jam lebih awal setiap kali sebelum masuk  waktu solat, dan sentiasa mengekalkan solat malam serta duduk bertafakur, mengekalkan bangun malam seawal jam 3 pagi  hingga sampai ke waktu Subuh.

Pada kebiasaan pada setiap kali bangun malam beliau terlebih dahulu akan mandi di kolam air tempat mandian yang terdapat lebih tiga kolah disitu juga sering dijadikan tempat beliau berwuduk.

Kolah Tempat Mandian dan Rumah Solok



Rumah Mursyid



Rumah Kediaman Tuan Guru Yang Bersambung Dengan Madrasah

Beliau sentiasa megenakan pakai jubah putih serta berserban mengikut sunnah rasulullah, dan memakai minyak wangi, pada setiap kali mengerjakan solat.

Selain Tarikat Naksabandiyah Khalidiyah beliau juga juga ada mengamalkan Tarikat Ahmadiyah, Qadariyah dan Muhamadiyah 

Diantara sahabat-sahabat baik beliau  seperti Tuan Shaikh Hj Ehsan Air Baloi,Tuan Hj Mustapha perak, Tuan Hj Ramli Bin Hj Salleh Pt Mantan Batu Pahat yang juga sahabat seperguruan beliau, sementara sahabat kenalan beliau diantaranya Tuan Hj Mohamad B sanang Madrasah Kolam Ayer Pt. Sulong Batu Pahat, Habib Mahsur Batu Pahat, Tuan Guru Hj Wahid Sg Udang, Melaka, Kiayi Karim Langkat, Indonesia, Prof Syed Muhammad Naquib al-Atas.

Silsilah Tariqat Naqshabandiyyah Al Khalidiyah Pt Ju pimpinan Tuan Guru Mursyid Kiayi Shaikh Hj Othman Bin Hj. Mohammad Amin
  1. Sayyidina wa Mawlana Muhammad Salla-Llahu ‘alayhi wa sallam
  2. Sayyidina Abu Bakr as-Siddiq Radiyallahu Anhu
  3. Sayyidina Salman al-Farisi Radiyallahu Anhu
  4. Sayyidina Qasim bin Muhammad bin Abu Bakr as-Siddiq Radiyallahu Anhu
  5. al-Imam Ja’far as Sadiq bin Imam Muhammad al-Baqir
  6. Shaikh Abu Yazid Tayfur bin 'Isa bin Adam bin Surushan al-Bistami Sultanu-‘Arifin (Q.S.)
  7. Shaikh Abu-l Hasan ‘Ali al-Kharqani (Q.S.)
  8. Shaikh Abu ‘Ali Ahmad bin Muhammad al-Farmadi at-Tusi ar-Rudzbari (Q.S.)
  9. Shaikh Abu Ya’qub Yusuf al-Hamadani (Q.S.)
  10. Shaikh ‘Abdu-l Khaliq bin ‘Abdu-l Jamil al-Ghujdawani Imamu-l Khatmi-l Khwajagan (Q.S.)
  11. Shaikh ‘Arif Riwgari (Q.S.)
  12. Shaikh Khwajah Mahmoud Anjir al-Faghnawi (Q.S.)
  13. Shaikh ‘Azizan ‘Ali ar-Ramitani (Q.S.)
  14. Shaikh Muhammad Baba as Sammasi (Q.S.)
  15. Shaikh Sayyid Amir al-Kulali al-Bukhari (Q.S.)
  16. Shaikh Baha’u-d Din an-Naqshbandi Muhammad al-Uwaisi al-Bukhari (Q.S.)
  17. Shaikh ‘Ala’u-d-Din ‘Attar al- Bukhari (Q.S.)
  18. Shaikh Ya’qub Charkhi (Q.S.)
  19. Shaikh Hadrat-i Ishan Nasiru-d-Din ‘Ubaydu-Llah bin Khwajah Mahmoud bin Shaykh Shihabu-d-Din Khwaja Ahrar (Q.S.)
  20. Shaikh Muhammad az-Zahid al-Bukhari (Q.S.)
  21. Shaikh Darwish Muhammad (Q.S.)
  22. Shaikh Khwajaki Amkinaki Mawlana Ahmad bin Jalalu-d- Din al-Samarqandi (Q.S.)
  23. Shaikh Muhammad al-Baqi bi-Llah Berang Simaqi bin Qadi ‘Abdu-s Salam Khalji al-Samarqandi (Q.S.)
  24. Imam Rabbani Ahmad al-Faruqi Sirhindi Mujaddid-i Alf-i Thani (Q.S.)
  25. Shaikh Khwaja Muhammad Ma’sum bin Ahmad al-Faruqi (Q.S.)
  26. Shaikh Khwaja Sayfu-d Din ‘Arif bin Muhammad Ma’soum (Q.S.)
  27. Shaikh Sayyid Nur Muhammad Mazhari Bada’uni (Q.S.)
  28. Shaikh Mirza Shamsu’d- Din Habibu-Llah Mazhari Jan-i Jan’an (Q.S.)
  29. Shaikh Shah Ghulam ‘Ali ‘Abdu-Llah al-Dihlawi (Q.S.)
  30. Shaikh Diya’u-d Din Khalid as- Shahrazuri al-Kurdi al-Baghdadi (Q.S.)
  31. Shaikh Abdullah al-Arzinjani al-Makki (Q.S.)
  32. Shaikh Sulaiman al-Qirimi (Q.S.)
  33. Shaikh Sulaiman Zuhdi (Q.S.)
  34. Shaikh Abdu’l-Wahab Babu’s-Salam (Q.S.)
  35. Shaikh Hj. Umar bin Muhammad(Q.S) Dan Shaikh Daud Bin Abd Wahab Rokan(Q.S) 
  36. Shaikh Hj Othman Bin Mohd Amin (Q.S.)


Surat Kebenaran Memimpin dan Mengajar Tarikat Di Daerah Batu Pahat
Setelah menerima watikah perlantikan sebagai Mursyid bagi memimpin tarikat naksabandiyah Khalidiyyah khasnya dalam negeri Johor dari Tuan Shaikh Hj. Umar bin Muhammad dan juga dari Tuan Shaikh Daud B. Abd. Wahab Rokan Babusalam Langkat Sumatera pada 2 Rejab 1379  bersamaan 01hb January 1960

Sebagai menjaga adab Tuan Guru Kiayi Hj Othman juga telah mohon kebenaran dari pihak berkuasa Pejabat Kadhi Daerah Batu Pahat dan telah pun mendapat kebenaran untuk memimpin dan mengajar Tarikat Naqsabandiyah Khalidiyyah khasnya di Daerah Batu Pahat seperti surat kebenaran tersebut :


Tuan Guru Kiayi Hj Othman B. Mohd Amin telah mendapat kebenaran bagi mengajar dan memimpin Tarikat Naksabandiyah Khalidiyyah dari Tuan Kadhi Daerah Batu Pahat pada waktu itu iaitu Tuan Sheikh Hj Mohd Farid Bin Mohd pada tarikh 21 Rabiulakhir 1389 bersamaan 6 hb Julai 1969



Diantara Pesanan Tuan Guru Kepada Anak-anak Muridnya

  • Hendaklah sentiasa istiqamah dalam setiap amalan terutamanya amalan berzikir.
  • Mengekalkan bangun malam melakukan amalan solat tahajud dan amalan zikir.
  • Sentiasa kemas dalam melakukan solat iaitu berpakaian mengikut sunnah bersarban, berjubah, kemas mengikut syarat dan rukun solat yang sempurna, kemas dengan sentiasa hadir hati mengingati Allah berserta tauhid dan makrifatnya.
  • Hendaklah menjaga waktu dengan menunggu terlebih dahulu waktu serta dengan solat berjemaah.
  • Jangan  mengatakan sesuatu amalan yang tidak kita amalkan.
  • Jangan mudah hendak kedepan ( seperti kedepan menjadi imam, merebut sesuatu jawatan dalam masyarakat)
  • Hati hendaklah sentiasa muraqabah dan musyahadah kepada Allah serta zuhud dari cinta dunia.

Selepas Peninggalan Tuan Guru Kiayi Hj. Othman
Selepas Tuan Guru Kiayi Hj Othman kembali ke Ramatullah pada hari Isnin 12 Safar 1405H bersamaan 05 November 1984,  Madrasah ini masih lagi kekal berfungsi sebagai pusat pengajian dan tempat bersuluk, usaha ini telah dapat diteruskan pula oleh Tuan Shaikh Hj Abd Rahim yang merupakan anak murid kepada Tuan Guru Kiayi Hj Othman, beliau yang kekal istiqamah dalam mengamalkan tariqat ini disamping bersuluk  telah menerima watiqah perlantikan sebagai khalifah tarikat daripada Tuan Guru Mursyid Shaikh Tajuddin Bin Daud Rokan ( anak kepada Tuan Shaikh Daud Rokan Langkat Sumatera) sebagai waklil dari Babusalam, usaha bersama di Madrasah ini juga dibantu oleh Tuan Hj. Kassim yang juga merupakan kahlifah lantikan dari Tuan Guru Mursyid Shaikh Tajuddin, dan dibantu juga khalifah Tuan Hj. Omar,  seorang lagi khalifah lantikan dari Tuan Guru Shaikh Anas Babusalam iaitu Tuan Hj. Othman beliau juga turut membantu dalam memberi kuliah dalam perjalanan tarikat Naqsabandiyah di Madrasah tersebut.

Lokasi Madrasah Pt. Ju , Jalan Pt Jalil Batu Pahat

4 ulasan:

  1. Hol Almahrum Tn. Guru Kiayai Hj Othman B. Mohd Amin akan diadakan pada
    04. Jan 2015 bertempat di Madrasah Pt Ju bermula Jam 10.00 pg. semua ahli muslimin dan muslimat dijemput hadir

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum tuan admin, saya Amli Halimi, sedang kumpulkan biografi ulama sekitar Batu Pahat. Macam mana ye saya nk hubungi Tuan admin. Ni no saya 0197897179

    BalasPadam
  3. Assalamu'alaikum, mohon info selain di Batu Pahat di mana lagi jaringan Tarekat Besilam ada di Malaysia, terima kasih.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Selaian di Malaysia ini terdapat juga di Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang sekiranya tuan nak lebih makluman tempat2nya sila hubungi Tuan Sazali di Ipoh no hp 0123487173

      Padam