.

.

Isnin, 7 September 2026

 🕋 Ahlillah dan Arif Billah Menurut Manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah


✍️ Muqadimah

Perjalanan menuju Allah merupakan perjalanan yang menghimpunkan antara ilmu syariat, penyucian jiwa (tazkiyah al-nafs), mujahadah, adab serta bimbingan para ulama rabbani. Syariat menjadi asas, manakala tasawuf yang sahih menyempurnakan perjalanan hati sehingga seseorang mencapai maqam ihsan.


Justeru, para ulama tasawuf menjelaskan bahawa penguasaan ilmu syariat semata-mata belum semestinya melahirkan tahqiq makrifat, bahkan ia perlu dihiasi dengan tarbiah ruhani melalui jalan suluk yang dipimpin oleh murabbi atau mursyid yang berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah.


✍️ Pengenalan

Jalan tasawuf bukanlah jalan yang terpisah daripada syariat, bahkan merupakan jalan penyempurnaan syariat melalui penyucian hati daripada segala aghyar sehingga hati sentiasa hidup dengan zikrullah, muraqabah dan mahabbah kepada Allah.


Daripada perjalanan inilah lahir golongan yang dikenali sebagai Ahlillah, dan daripada kalangan mereka, Allah mengangkat sebahagian hamba-Nya ke darjat Arif Billah, iaitu mereka yang dikurniakan tahqiq makrifat dan maqam ihsan.


✅ Siapa yang disebut sebagai Ahlillah?

Ahlillah ialah hamba-hamba Allah yang berjalan menuju-Nya melalui jalan tarbiah ruhani menurut manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Antara sifat mereka ialah:

▪ Berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah.

▪ Berjalan di bawah bimbingan murabbi atau mursyid tarbiah irsyad yang bersanad.

▪ Sentiasa bermujahadah dalam proses takhliyah al-qalb (تخلية القلب), iaitu membersihkan hati daripada syirik khafi, riya', ujub, takabbur, hasad, hubb al-dunya dan seluruh aghyar yang menghijab hati daripada Allah.

▪ Berusaha mencapai hudur al-qalb ma'a Allah (حضور القلب مع الله), iaitu hati sentiasa hadir bersama Allah dengan zikir, muraqabah, mahabbah dan ubudiyyah, teguh kepada prinsip tanzih.

▪ Menghimpunkan antara syariat, tariqat dan hakikat dalam setiap amal.

▪ Sentiasa memelihara adab, ikhlas, istiqamah dan muraqabah.

▪ Diberikan limpahan nur hidayah dan permulaan makrifat menurut kadar anugerah Allah.


✅ Siapa yang disebut sebagai Arif Billah?

Arif Billah ialah hamba Allah yang telah dikurniakan tahqiq makrifat melalui penyucian hati, mujahadah, suluk dan limpahan rahmat Allah.

Antara tanda-tanda mereka ialah:

▪ Makrifat yang sahih lagi berteraskan tauhid dan sentiasa memelihara prinsip tanzih.

▪ Mencapai musyahadah qalbiyyah, iaitu hati menyaksikan tajalli Asma', Sifat dan Af'al Allah pada seluruh akwan melalui cahaya basirah, bahkan semakin bertambah pengagungan dan penyucian (tanzih) terhadap-Nya.

▪ Makrifat yang melahirkan keperasanan secara zauq dan wijdan dalam ibadah.

▪ Dikurniakan peningkatan martabat keyakinan:

• 'Ilm al-Yaqin (علم اليقين)

• 'Ayn al-Yaqin (عين اليقين)

• Haqq al-Yaqin (حق اليقين)

▪ Dengan izin Allah dikurniakan mukasyafah qalbiyyah (المكاشفة القلبية) sehingga tersingkap hijab-hijab rohani dan bertambah jelas hakikat ubudiyyah serta kebesaran Allah melalui ayat-ayat dan af'al-Nya.

▪ Dikurniakan futuhat rabbaniyyah (الفتوحات الربانية) berupa hikmah, kefahaman, firasat, nur makrifat dan rahsia-rahsia ilmu yang Allah limpahkan ke dalam hati mereka.

▪ Mencapai Maqam Ihsan, iaitu sentiasa beribadah dalam muraqabah kepada Allah sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

🔹 Diantara Tokoh Ulama yang dikenali dalam dunia tasawuf sebagai Arif Billah:

▪ Imam al-Junayd al-Baghdadi.

▪ Imam al-Harith al-Muhasibi.

▪ Imam Abu al-Qasim al-Qusyairi.

▪ Imam Abu Hamid al-Ghazali.

▪ Syeikh Abdul Qadir al-Jailani.

▪ Syeikh Abu Madyan al-Maghribi.

▪ Imam Ibn 'Ata'illah al-Sakandari.

▪ Syeikh Ahmad Ibn 'Ajibah al-Hasani.

▪ Syeikh Abdul Karim al-Jili.


✅Qalam Mereka Memimpin Ahlinya:

🔹Imam al-Junayd al-Baghdadi berkata:

الطَّرِيقُ كُلُّهُ أَدَبٌ

"Seluruh jalan menuju Allah adalah adab."

Beliau juga menegaskan bahawa jalan menuju Allah tidak dapat dicapai melainkan dengan hati yang teguh hanya kepada-Nya:

الْوُصُولُ إِلَى اللَّهِ بِثَبَاتِ الْقَلْبِ عَلَيْهِ، وَلَا طَرِيقَ إِلَيْهِ لِمَنْ تَفَرَّقَتْ بِهِ الْخَوَاطِرُ وَتَشَتَّتَتْ عَنْهُ الْهِمَمُ.

"Sampai kepada Allah adalah dengan tetapnya hati hanya kepada-Nya. Tiada jalan menuju-Nya bagi sesiapa yang khawatirnya berpecah dan himmahnya berselerak kepada selain-Nya."

🔹Imam al-Junayd al-Baghdadi mengenai manhaj tasawuf beliau meyatakan:

طَرِيقُنَا هَذَا مُقَيَّدٌ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ

Maksud: "Jalan kami ini terikat (berpandukan) kepada al-Kitab (al-Quran) dan al-Sunnah."

👉Dalam riwayat yang lebih panjang disebut:

طَرِيقُنَا هَذَا مُقَيَّدٌ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، فَمَنْ لَمْ يَقْرَأِ الْقُرْآنَ، وَلَمْ يَكْتُبِ الْحَدِيثَ، لَا يُقْتَدَى بِهِ فِي هَذَا الْأَمْرِ.

Maksud: "Jalan kami ini terikat dengan al-Quran dan al-Sunnah. Maka sesiapa yang tidak membaca (memahami) al-Quran dan hadis, maka tidak boleh dijadikan ikutan dalam urusan (tasawuf) ini."

👉Rujukan

Qalam ini dinukil oleh beberapa ulama tasawuf muktabar, antaranya:

▪️Imam al-Qusyairi dalam الرسالة القشيرية.

▪️Abu Nu'aym al-Asbahani dalam حلية الأولياء.

▪️Imam al-Sulami dalam طبقات الصوفية.

👉Qalam ini menjadi antara prinsip utama bahawa tasawuf yang sahih tidak pernah terpisah daripada al-Quran dan al-Sunnah, bahkan kedua-duanya merupakan neraca bagi setiap maqam, hal, mukasyafah dan futuhat yang dialami oleh seorang salik


✅ Dalil Semaksud

🔹 Dalil

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya:

"Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh bermujahadah pada jalan Kami, nescaya Kami akan menunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat ihsan."

(Surah al-'Ankabut: 69)

👉 Isyari

▪ Mujahadah merupakan pintu kepada tazkiyah al-nafs dan penyucian hati.

▪ Penyucian hati membuka jalan kepada hudur al-qalb ma'a Allah.

▪ Hati yang bersih menerima limpahan nur makrifat, zauq dan wijdan.

▪ Allah mengurniakan mukasyafah qalbiyyah dan futuhat rabbaniyyah kepada hamba-hamba pilihan-Nya menurut kehendak-Nya.

▪ Musyahadah yang sahih ialah menyaksikan tajalli Asma', Sifat dan Af'al Allah dengan basirah, bukan menyaksikan Zat Allah, serta sentiasa memelihara tanzih.

▪ Kesudahan perjalanan suluk ialah tercapainya Maqam Ihsan dengan tetap berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah.


✳️ Kesimpulan

Ahlillah ialah mereka yang sentiasa bermujahadah menyucikan hati, menghimpunkan syariat, tariqat dan hakikat sehingga dikurniakan hudur al-qalb ma'a Allah. Daripada kalangan mereka, Allah memilih sebahagian hamba-Nya menjadi Arif Billah, lalu mengurniakan tahqiq makrifat, musyahadah qalbiyyah, martabat al-yaqin, mukasyafah dan futuhat rabbaniyyah.

Semua maqamat dan ahwal tersebut merupakan anugerah Allah semata-mata. Ia hendaklah sentiasa dipelihara dengan adab, tanzih, istiqamah serta ittiba' kepada al-Quran dan al-Sunnah di bawah bimbingan para ulama rabbani.

والله أعلم بالصواب


SalamPerkongsian.

#KalamSalikin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan