RINGKASAN 20 ADAB HARI JUMAAT
(Diringkaskan daripada adab-adab hari Jumaat dalam kitab Hidayatus Salikin)
(Diringkaskan daripada adab-adab hari Jumaat dalam kitab Hidayatus Salikin)
Adab pertama: Bersedia untuk memasuki hari Jumaat mulai hari Khamis lagi, dengan membasuh pakaian dan membanyakkan bertasbih dan beristighfar pada petang Khamis itu.
Adab kedua: Sunat berpuasa, dengan syarat didahului dengan puasa pada hari Khamis atau diikuti dengan puasa hari Sabtu.
Adab ketiga: Sunat mandi antara terbit fajar hingga waktu mahu keluar mengerjakan sembahyang Jumaat. Mandi sewaktu mahu keluar ke masjid lebih afdal.
Adab keempat: Sunat memakai pakaian berwarna putih.
Adab kelima: Sunat memakai bau-bauan seperti kasturi.
Adab keenam: Membersihkan badan daripada kotoran, daki dan bau busuk, mencukur bulu ari-ari, mengandam misai, mengerat kuku, bersugi dan mencabut bulu ketiak.
Masjid-Al_Fateh_Manama_Bahrain |
Adab ketujuh: Sunat berpagi-pagi pergi ke masjid dengan berjalan kaki. Sambil melangkah, datangkan ingatan kepada Allah, berzikir, membaca al-Quran dan berselawat.
Adab kelapan: Apabila masuk ke masjid, dapatkan tempat di saf yang pertama.
Adab kesembilan: Jangan melangkah bahu orang ketika masuk ke masjid.
Adab kesepuluh: Jangan lalu di hadapan orang yang sedang sembahyang.
Adab kesebelas: Sunat duduk dekat dengan dinding atau tiang.
Adab kedua belas: Jangan duduk di dalam masjid sebelum mendirikan sembahyang sunat Tahiyatul Masjid dua rakaat. Jika khatib sedang membaca khutbah, niatkan sembahyang dua rakaat sebelum Jumaat; sekali gus ia akan menjadi sembahyang Tahiyatul Masjid. Imam al-Ghazzali rahimahullahu taala menyarankan agar mendirikan sembahyang Tahiyatul Masjid empat rakaat dengan satu salam, dan pada setiap rakaat, selepas membaca al-Fatihah, baca surah al-Ikhlas 50 kali.
Adab ketiga belas: Selepas sembahyang Tahiyatul Masjid, kerjakan sembahyang sunat empat rakaat. Selepas al-Fatihah di setiap rakaat, baca:
Rakaat pertama, surah al-An‘am
Rakaat kedua, surah al-Kahfi
Rakaat ketiga, surah Taha
Rakaat keempat, surah Yasin.
Rakaat pertama, surah al-An‘am
Rakaat kedua, surah al-Kahfi
Rakaat ketiga, surah Taha
Rakaat keempat, surah Yasin.
Atau:
Rakaat pertama, surah Yasin
Rakaat kedua, surah Alif laam miim Tanzil
Rakaat ketiga, surah ad-Dukhan
Rakaat keempat, surah Al-Mulk.
Rakaat pertama, surah Yasin
Rakaat kedua, surah Alif laam miim Tanzil
Rakaat ketiga, surah ad-Dukhan
Rakaat keempat, surah Al-Mulk.
Adab keempat belas: Jangan meninggalkan membaca surah al-Kahfi, Yasin, ad-Dukhan, al-Mulk, as-Sajadah dan al-Ikhlas pada malam Jumaat atau pada harinya kerana pahala membacanya yang amat besar.
Adab kelima belas: Banyakkan berselawat ke atas Nabi SAW pada hari Jumaat dan malamnya melebihi hari-hari lain.
Adab keenam belas: Apabila imam telah naik ke atas mimbar, makruh bercakap-cakap dan sunat memberi tumpuan mendengarkan khutbah.
Adab ketujuh belas: Apabila selesai sembahyang Jumaat, sunat membaca al-Fatihah tujuh kali, al-Ikhlas tujuh kali, al-Falaq tujuh kali dan an-Nas tujuh kali. Baca surah-surah ini sebelum bercakap-cakap; mudah-mudahan terpelihara daripada segala kejahatan dari satu Jumaat ke Jumaat yang lainnya (terpelihara daripada dosa besar), dan terpelihara daripada syaitan. Selepas membaca empat surah itu sebanyak tujuh kali, baca doa ini:
"اَللّهُمَّ يَا غَنِيُّ يَا حَمِيْدُ، يَا مُبْدِئُ يَا مُعِيْدُ، يَا رَحِيْمُ يَا وَدُوْدُ، أَغْنِنِيْ بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَبِطَاعَتِكَ عَنْ مَعْصِيَتِكَ، وَبِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ.”
"اَللّهُمَّ يَا غَنِيُّ يَا حَمِيْدُ، يَا مُبْدِئُ يَا مُعِيْدُ، يَا رَحِيْمُ يَا وَدُوْدُ، أَغْنِنِيْ بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَبِطَاعَتِكَ عَنْ مَعْصِيَتِكَ، وَبِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ.”
Adab kelapan belas: Sunat sembahyang dua rakaat (sunat muakkadah) atau empat rakaat (dua rakaat sunat muakkadah dan dua rakaat sunat tidak muakkadah) atau enam rakaat.
Adab kesembilan belas: Sunat beriktikaf di masjid selepas sembahyang Jumaat hingga Maghrib atau hingga Asar serta bersungguh-sungguh berdoa dengan khusyuk dan tawaduk, kerana di dalam hari Jumaat dan pada malamnya ada satu saat yang mustajab doa. Mudah-mudahan kebetulan doa itu pada saat yang mustajab.
Adab kedua puluh: Bersungguh-sungguh memberi sedekah.
petikan dari Hidayatus salikin