.

.

Rabu, 3 Jun 2020

Pemimpin Ibadah Suluk Terawal Di Raub Pahang"



Pemimpin Ibadah Suluk Terawal Di Raub Pahang"

Nama lengkap tokoh sufi dan Khalifah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah yang berakhlak mulia ini ialah Al-Marhum Syeikh Haji Umar Bin Haji Muhammad Bin Tun Sulong Bin Tun Surati Bin Tun Jenal yang lahir pada tahun 1860. Beliau sebenarnya berdarah keturunan bangsawan iaitu dari nasab Raja Bendahara Pahang yang berhijrah ke Batu Pahat, Johor. Syeikh Haji Umar berasal dari Parit Ju atau Parit Abdul Rahman, Mukim Empat, Batu Pahat, Johor. 

Beliau menerima pelajaran, asuhan dan didikan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari Wali Allah Syeikh Abdul Wahhab Rokan sewaktu gurunya tersebut datang ke Batu Pahat, Johor, pada tahun 1888 dan Beliau juga adalah Khalifah tertua kepada Syeikh Abdul Wahab Rokan. (Semoga Allah Rahmati Roh Auliya) 

Syeikh Haji Umar mula mengajarkan Tareqat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dan memimpin suluk pada tahun 1910 di Kampung Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang. Tindakan dan usaha beliau mendapat galakan dan sokongan dari Tengku Kudin bin Tengku Abdul Samad iaitu Penghulu Mukim Gali masa itu. Malah mendapat keizinan dari KDYMM Sultan Ahmad melalui Mufti pahang Syeikh Haji Usman Haji Senik dan Orang Kaya Imam Perang Indera Mahkota Haji Abdul Halim bin Jaafar. Kerancakan aktiviti Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah ini bertambah meriah apabila keluarga Penghulu Mukim Gali pertama Raja Abdul Samad Bin Tengku Muda dan anaknya Tengku Kudin Penghulu Mukim Gali kedua , Mengambil Baiah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah pada 1914.

Syeikh Haji Umar mempunyai ramai murid dari kalangan pegawai agama dan orang kenamaan. Murid-murid beliau yang dilantik menjadi khalifah melebihi seratus orang.

Diantara anak muridnya ialah :

1. Tuan Guru Imam Haji Ishaq Raub
2. Imam Luqman Bin Haji Umar - Anaknya
3. Tuan Guru Haji Ziyadi Bin Haji Salim - Kadi daerah Raub yang ke 3
4. Tuan Guru Haji Muhammad Salih Bin Haji Umar
5. Tuan Guru Haji Abdul Wahab Bin Haji Muhammad Siddiq Bin Haji Salim
6. Tuan Guru Kiyai Haji Othman Bin Haji Mohd Amin

Antara muridnya yang paling rapat dengan beliau adalah Tuan Haji ishaq , Setelah hampir tujuh tahun mempelajari serta mengamalkan tarekat dan beberapa kali menjalani suluk di bawah bimbingan dan asuhan Syeikh Haji Umar , Tuan Hj. Ishaq telah diangkat sebagai khalifah serta diizinkan pula mengajar Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah oleh beliau pada 22 Zulhijjah, tahun 1353 hijrah (1934) di Surau Suluk Kubu, Durian Sebatang, Raub, Pahang. Pada waktu itu umur beliau adalah lebih kurang 25 tahun. Walau bagaimanapun Sheikh Haji Umar telah meninggal dunia dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1936 (1355 H.) dan jenazah beliau dimakamkan di perkuburan khas Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang.

Tempat Sheikh Haji Umar sebagai pemimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah telah digantikan oleh anaknya iaitu Imam Luqman bin Haji Umar. Sehubungan dengan itu sebuah surau suluk telah didirikan di kampung Lepar, mukim Gali, Raub, dengan persetujuan Tengku Abdul Hamid bin Tengku Kudin. Tengku Abdul Hamid adalah merupakan penghulu yang ke empat bagi mukim Gali dan juga ketua kampung Durian Sebatang. Imam Luqman telah memimpin perjalanan Tarekat Naqshabandiyyah di Raub lebih kurang 44 tahun. Imam Luqman kemudiannya meninggal dunia pada tahun 1980 dan tempatnya sebagai pemimpin tarekat dan suluk digantikan oleh anaknya iaitu Tuan Haji Abdullah bin Luqman dengan dipimpin bersama oleh Tuan Haji Abdullah Sani bin Abu Uthman iaitu menantu kepada Sheikh Haji Umar.

Selain dari Imam Luqman, terdapat seorang lagi murid serta khalifah kepada Shaikh Haji Umar yang menggantikan beliau sebagai pemimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah selepas kewafatan beliau itu, iaitu Tuan Ziyadi bin Haji Salim. Beliau adalah merupakan kadi daerah Raub yang ke tiga, menggantikan Tuan Haji Muhammad Arif. Sebelum itu, ayahanda beliau, Tuan Haji Salim bin Haji Abdul Manan, juga merupakan seorang kadi di Raub, malah merupakan kadi yang pertama di daerah tersebut. Tuan Haji Ziyadi ini memimpin suluk di kampung Pintu Padang dan juga kampung Gali Tengah, mukim Gali, Raub. Selepas beliau meninggal dunia, tempat beliau sebagai pemimpin suluk Tarekat Naqshabandiyyah telah diambil alih oleh salah seorang murid beliau iaitu Imam Haji Tambi.

Manakala Tuan Haji Ishaq pula, setelah hampir 30 tahun selepas beliau diizinkan mengajar Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah oleh guru beliau itu, barulah beliau mula memimpin suluk. Suluk pertama yang dipimpin oleh beliau itu berlaku pada tahun 1964 di surau kampung Ajai, Raub, Pahang. Selepas itu beliau mendirikan rumah tempat bersuluk yang boleh menampung 500 orang salik. Beliau telah dibantu dan diberi tunjuk ajar oleh dua orang khalifah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah yang lain yang juga merupakan murid kepada Shaikh Haji Umar iaitu Tuan Haji Muhammad Salih bin Haji Umar dan Tuan Haji Abdul Wahab bin Haji Muhammad Siddiq bin Haji Salim.

Syeikh Haji Umar diriwayatkan mempunyai beberapa karomah kurniaan Allah Taala . Diantara yang mahsyur :-

Pada suatu ketika, seorang daripada murid Syeikh Haji Umar yang juga pemegang kunci masjid telah terjatuhkan anak kunci pintu masjid secara tidak sengaja ke dalam perigi. Lalu hal ini diberitahu kepada Syeikh Haji Umar. Terus Syeikh Haji Umar dengan segera mendatangi perigi yang dimaksudkan lalu dikacau-kacaunya permukaan air perigi dengan jari telunjuknya seumpama mengacau air di dalam cawan. Dengan izin Allah sebentar kemudian anak kunci yang tenggelam itu pun timbul ke permukaan.

Syeikh Haji Umar meninggal dunia ketika berusia 76 tahun (1936) dan jenazahnya dimakamkan di perkuburan khas Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang.

Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin 

Kiriman drpd Kalam Sufi Abu Ya Batu Pahat