.

.

Sabtu, 30 Januari 2021

al-Imam as-Sayyid Muhammad al-Hasan bin as-Sayyid 'Alawi al-Māliki al-Hasani


 al-Imam as-Sayyid Muhammad al-Hasan bin as-Sayyid 'Alawi al-Māliki al-Hasani 

“Cintailah Allah dengan apa yang telah Dia berikan kepada kalian daripada nikmatNya, cintailah aku kerana cinta kepada Allah dan cintailah ahlibaitku kerana cinta kepadaku” - hadits

Tulisan ini adalah merupakan ulangsiar tulisan yang pernah al-fagir tulis pada 11 Ramadhan 1430H di blog 'al-fanshuri - kenali ulama kita'. Dan sempena haul al-Imam as-Sayyid Muhammad al-Hasan bin as-Sayyid 'Alawi al-Māliki al-Hasani رضي الله عنه maka al-faqir kongsikan lagi di FB ini untuk manfaat bersama.

Biarpun telah ramai yang menulis dan memaparkan biografi beliau رضي الله عنه di dada internet, namun al-Faqir berhasrat untuk mencoretkan juga walaupun secara ringkas biografi beliau رضي الله عنه demi kerana kecintaan al-Faqir kepada beliau ,رضي الله عنه. Coretan yang al-Faqir kutip dari pelbagai sumber dan al-Faqir kongsikan sebahagian dari koleksi foto al-Faqir yang berkaitan dengan beliau رضي الله عنه .

Beliau رضي الله عنه , seorang ulama yang semerbak harum namanya diserata dunia, terutama dikalangan para pencinta ilmu dan ulama. Kewibawaan dan keilmuan beliau رضي الله عنه diakui dan dihormati oleh para ulama semasa juga oleh mereka yang menentangnya. Kitab karangannya menjadi rujukan. Beliau رضي الله عنه adalah jurucakap kepada golongan ahlus sunnah wal jamaah di dalam menghadapi fahaman-fahaman yang melampau, yang ekstrim … (yang menolak bahkan mencerca ulama silam) . Beliau رضي الله عنه adalah imam ahlus sunnah wal jama’ah abad ke-21. Beliau رضي الله عنه , ulama rabbani di abad ini. Beliau رضي الله عنه ulama yang meneruskan kegemilangan ayahnya, datuknya dan moyang-moyang beliau di dalam dunia keilmuan dan pentarbiyahan. Beliau رضي الله عنه seorang ulama yang teguh dengan pendirian, tidak goyah dengan pelbagai cabaran dan rintangan serta tohmahan yang dihadapi. Beliau رضي الله عنه menjaga adab ketika berbeda pendapat serta menjauhi sifat melampau di dalam tindakan atau perkataan dalam menghadapi golongan yang tidak sependapat dengannya.

Al-Habib Muhammad bin ‘Aydrus al-Haddad menyifatkan keteguhan beliau رضي الله عنه di dalam syairnya:

♡ Sungguh beliau telah mampu mematahkan hujjah orang yang menentangnya. Sedikitpun beliau tidak terlukai

Bahkan beliau bersedia untuk dipenggal lehernya, namun beliau tetap tidak akan berundur dari pendiriannya

Pendirian yang telah dipegang teguh oleh para ulama yang besar-besar, yang telah memimpin umat ini dimasa silam♡

Tatkala melihat kehebatan penguasaan ilmu beliau رضي الله عنه pada usianya yang masih muda, seorang guru beliau, iaitu al-‘Allamah Syeikh Muhammad Nur Saif pernah berkata kepada ayahanda beliau: "Wahai Sayyid ‘Alawi, jangan marah jika perkataanku mengecilkan hatimu, apabila aku katakan bahwa anakmu ini merupakan ranting yang melebihi batangnya. Mendengarkan perkataan itu ayahandanya ketawa lalu menjawab: Tidak, aku tidak berkecil hati, tetapi sebaliknya ini adalah kebanggaan bagiku."

Itulah, sosok ulama besar di abad ini, al-‘Allāmah al-Muhaddits al-‘Ārifbillah Professor Dr. Sayyid Muhammad al-Hasan bin Sayyid ‘Alawi bin Sayyid Abbas bin Sayyid ‘Abdul ‘Aziz bin Sayyid ‘Abbas bin ‘Abdul ‘Aziz al-Māliki al-Idrisi al-Hasani. Di kalangan murid-murid dan pencintanya, beliau lebih dekat dengan panggilan Abuya Māliki @ Buya Maliki.

#Kelahiran dan #keturunan: Beliau رضي الله عنه dilahirkan dirumah ayahandanya yang terletak berhampiran Masjidilharam, Babus Salam Makkah al-Mukarramah pada tahun 1365H bersamaan dengan 1946M.

Beliau رضي الله عنه bernasabkan kepada keturunan yang mulia iaitu daripada keturunan Idris al-Azhar bin Idris al-Akbar bin ‘Abdullah al-Kamil bin Hasan al-Mutsanna bin Hasan, putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah al-Zahra’ binti Rasūlullāh ﷺ. Keturunan beliau terdiri daripada para ulama. Ayahandanya, nendanya dan seterusnya keatas. Beliau رضي الله عنه berkata di dalam menzahirkan nikmat kurniaan itu:

سيد عالم أبي وجد، هكذا إلى المختار

Ertinya: "Dari ayahandaku, kemudian datukku dan seteusnya sampai kepada Rasul Yang Terpilih صلى الله عليه وآله وسلم, adalah penghulu dan orang ‘alim."

Nendanya yang pertama - Sayyid ‘Abbas, kedua -  Sayyid ‘Abdul Aziz, ketiga – Sayyid ‘Abbas, keempat – Sayyid ‘Abdul ‘Aziz, kelima – Sayyid Muhammad al-Maliki dan keenam – Sayyid ‘Abdul ‘Aziz, kesemuanya adalah orang ‘alim dan menjawat jawatan Imam dan Khatib al-Masjidilharam. Dapat dipastikan dengan bukti yang jelas, bahwa sepanjang enam keturunan tersebut sebelum beliau terdiri daripada ulama besar. Sebelum itu ada juga yang menjawat jawatan Imam dan Khatib serta menjadi mudarris di Masjidilharam, namun tidak dirakamkan di dalam daftarrasmi Masjidilharam.

Keluarga beliau رضي الله عنه lebih dikenali dengan dengan gelaran al-Māliki dari al-Hasani kerana salah seorang daripada nenda beliau dilantik menjadi Mufti Mazhab Maliki di Makkah al-Mukarramah pada zaman pemerintahan Syarif ‘Aun. Oleh kerana itulah keluarga beliau lebih dikenali dengan gelaran al-Māliki.

#Pendidikan: Beliau رضي الله عنه mendapat pendidikan formal di Madrasah al-Falah dan Madrasah Tahfiz al-Quran di Makkah. Manakala pengajian tidak formal pula beliau dapati dari halaqah-halaqah ilmu di Masjidilharam.  Beliau رضي الله عنه dikatakan sudah menghafal al-Quran diusia 7 tahun, manakala menghafal kitab Muwattho ketika berusia 15 tahun. Dan mendapat jolokan ‘Muwattho Yang Berjalan’ kerana penguasaan dan kepakaran beliau mengenai kitab tersebut.

Setelah itu beliau رضي الله عنه mengembara ke banyak negara untuk menuntut ilmu daripada para ulama tersohor seperti di India, Libya, Mesir, Maghribi, Pakistan dan Indonesia. Beliau juga menuntut di Universiti al-Azhar diperingkat ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran (PhD). Beliau berjaya meraih ijazah kedoktoran dalam bidang hadits di  Universiti al-Azhar dengan taqdir Muntaz (cemerlang) ketika berusia 25 tahun.

#Guru_guru beliau: Beliau mempunyai guru yang tidak terkira banyaknya samada yang beliau pernah belajar atau mendapat ijazah daripada mereka atau bertemu bermuzakarah dengan mereka. Antaranya:

#Ulama Mekah dan Madinah

• Sayyid ‘Alawi bin Sayyid ‘Abbas al-Maliki al-Hasani (ayahnya, wafat 1391H)
• Syeikh Muhammad Yahya Aman al-Makki  al-Hanafi (1387H)
• Syeikh Muhammad al-‘Arabi at-Tabbani (wafat 1390H)
• Syeikh Hasan bin Said al-Yamani (wafat 1391H)
• Syeikh Hasan bin Muhammad al-Masyaath (wafat 1399H)
• Sayyid Muhammad bin Amin al-Kutbi (wafat 1404)
• Syeikh ‘Abdullah Said al-Lahji (wafat 1410H)
• Syeikh Muhammad Nur Saif bin Hilal (wafat 1403H)
• Syeikh Muhammad Yasin bin ‘Isa al-Fadani al-Makki (wafat 1410H)
• Syeikh ‘Abdullah bin Ahmad Dardum (1407H)
• Syeikh Ishaq bin Hasyim ‘Azuz al-Makki
• Al-Habib Hasan bin Muhammad Fad’aq
• Al-Habib ‘Abdul Qadir bin ‘Aydrus al-Bar
• Syeikh Muhammad Kholil bin ‘Abdul Qadir Toibah al-Makki
• Syeikh Ahmad bin Yāsīn bin Ahmad al-Khiyari asy-Syafie al-Madani, Syeikh al-Qurra di Madinah al-Munawwarah
• Syeikh Hasan bin Ibrahim asy-Syair, Syaikh al-Qurra di Madinah al-Munawwarah
• Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Mubarak al-Ihsaai
• Syeikh Muhammad bin Abu Bakar al-Mulla al-Ihsāi
• Syeikh Muhammad al-Musthofa ibn al-Imam ibn ‘Abdul al-Qadir al-‘Alawi asy-Syanqiti
• Syeikh Muhammad al-Mujtaba bin Mukhtar bin Mujtaba asy-Syanqiti
• Syeikh al-Mu’ammar Dhiyauddin Ahmad ibn asy-Syaikh ‘Abdul ‘Azim al-Qādiri al-Madani (bermuar lebih daripada 100 tahun)
• Syeikh ‘Abdul Ghafur bin Syah al-‘Abbasi al-Madani an-Naqsyabandi

#Ulama Hadramaut/Yaman

• Al-Habib ‘Umar bin Ahmad bin Sumaith
• Al-Habib ‘Alwi ibn ‘Abdullah bin Aydrus bin Syihab at-Tarimi
• Al-Habib Muhammad bin ‘Alwi bin Syihab
• Al-Habib ‘Abdur Rahman ibn Shohib ‘Sabil al-Muhtadin’ al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alwi al-Atthos
• Al-Habib 'Abdul Qadir bin Ahmad as-Seggaf @ as-Saqqaf
• Al-Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad
• Al-Habib “Alwi bin ‘Abdullah as-Saqqaf Aal al-Qādhi
• Al-Habib Muhammad bin Sālim bin Hafidz bin ‘Abdullah bin Syeikh  Abi Bakar bin Sālim
• Al-Habib ‘Ali bin Sālim bin Ahmad bin Hasan al-‘Atthos
• Sayyid Hasan bin Ahmad bin ‘Abdul Baari al-Ahdal al-Yamani
•Sayyid Muthohhar bin Mahdi al-Ghurbani,
• Sayyid Ismail bin Mahdi al-Ghurbani, pengarang kitab Nafasul Rahman.
• Syeikh Fadhl ibn Muhammad bin ‘Awadh BaFadhal at-Tarimi
• Sayyid Ahmad bin Muhammad Zubaarah, Mufti Yaman
• Sayyid Muhammad Yahya Dum al-Ahdal al-Yamani
•Al-Mu’ammar Buhānuddin Abu Muhammad as-Sayyid Ibrahim bin Umar bin ‘Aqiil Ba’alawi al-Husaini al-Hadhrami, Mufti Ta`iz

#Ulama Mesir
• Syeikh Muhammad al-Hafidz bin ‘Abdul Lathif at-Tijani al-Mishri, Syaihul Hadits di Mesir (wafat 1398H)
• Syeikh Hasanain bin Muhammad Makhluf, Mufti Mesir (wafat 1411H)
• Syeikh Sholeh bin Muhammad al-Ja’fari, Imam dan tenaga pengajar di Jami’ al-Azhar
• Syeikh Amin bin Mahmud Khottob al-Subki al-Mishri
• Al-Mu’ammar Syaikh Muhammad bin ‘Abdullah bin Ibrahim al-‘Aqūri, murid kepada al-Amir ash-Shoghir, Syeikh Ibrahim al-Bājūri dan al-Mu’ammar Abi ‘Ali Hasan al-‘Adawi – mereka semua adalah belajar daripada al-Amir al-Kabir
• Syeikh asy-Syarif Muhammad bin Ibrahim Abu al-‘Uyūn al-Azhari al-Khalwati

#Ulama Indonesia

• Al-Habib al-Mu’ammar ‘Ali bin ‘Abdurrahnan bin ‘Abdullah al-Habsyi – Habib Ali Kwitang
• Al-Habib ‘Ali bin Hussin bin Muhammad al-Atthos – Habib ‘Ali Bungur
• Al-Habib Hāmid bin Muhammad bin Sālim as-Sirri
• Al-Habib Muhammad bin Ahmad bin Zein al-Haddad
• Al-Habib Syeikh bin Sālim bin ‘Umar al-‘Atthos
• Al-Habib Sālim bin Ahmad bin Jindan ibn asy-Syeikh Abu Bakar bin Sālim
• Al-Habib Muhammad bin Sālim bin Ahmad bin Hassan al-‘Atthos
• Al-Habib al-Mu’ammar ‘Abdur Rahman bin ‘Abdullah al-Habsyi al-Falimbani – murid kepada Habib ‘Ali bin  Muhammad bin Hussin al-Habsyi, pengarang Simtud Durar
• Al-Habib Ahmad bin Hasan al-‘Atthos
• Al-Habib Muhammad bin Ahmad bin Hasan al-‘Atthos
• Al-Habib Muhammad bin Ahmad bin Hasan al-Kaf  - murid kepada al-Habib Ahmad bin Hasan al-‘Atthos

#Ulama Syam

• Asy-Sayyid asy-Syarif Muhammad al-Makki bin Muhammad bin Ja’far al-Kattani, Mufti Mazhab Maliki di Dimasyq
• Syeikh Hasan bin Muhammad Marzuq Hanabakah al-Maidani al-Dimasyqi
• Syeikh ‘Abdul ‘Aziz bin Muhammad ‘Ali bin ‘Abdul Ghani ‘Uyun al-Sud al-Hims, Syaikh al-Qurra`
• Syeikh Muhammad Sholeh bin ‘Abdullah al-Farfur al-Hasani ad-Dimasyqi
• Syeikh Muhammad As’ad al-‘Abaji, Mufti Mazhab Syafie di Halab
• Abu Ahmad Syaikh Muhammad Sa’id bin Ahmad al-Idlibi ar-Rafie al-Halabi asy-Syafie
• At-Thobib (Dr. – perubatan) asy-Syeikh Muhammad Abu al-Yusr bin Muhammad Abi al-Khair bin Ahmad ‘Ābidin al-Husaini ad-Dimasyqi al-Hanafi, Mufti Negara Syam

#Ulama Maghribi, Tunisia dan al-Jazaair (Algeria)

• Syeikh asy-Syarif ‘Abdul Kabiir bin Muhammad as-Soqili al-Maahi al-Husaini al-Maghribi
• Sayyid ‘Abdullah bin Muhammad bin Siddiq al-Ghumāri al-Maghribi
• Sayyid ‘Abdul ‘Aziz bin Muhammad bin Siddiq al-Ghumāri al-Maghribi
• Syarif Muhammad Munthasir Muhammad az-Zamzami bin Muhammad bin Ja’far al-Kattāni
• Sayyid ‘Abdullah bin Muhammad Qanun al-Hasani al-Maghribi
• Syeikh al-Fāruqi bin ar-Rahāli al-Marakeshi
• Syeikh Muhammad at-Thohir ibn ‘Asyūr at-Tunisi
• Syeikh at-Thoyyib bin al-Maulud bin Musthofa al-Mahāji al-Jazāiri

#Ulama Hind (India) dan Pakistan

• Syeikh Muhammad Zakariyya bin Muhammad Yahya al-Kandahlawi tsumma al-Madani, Syeikhul Hadits di Sahaaranpuur
• Syeikh Habibur Rahman ibn Muhammad Shābir bin ‘InayatuLlah al-A’azomi, Syeikhul Hadits di Madzhar al-Ulum, Madras
• Syeikh as-Sayyid Muhammad Yusuf ibn Muhammad Zakaria al-Banūri, Syeikhul Hadits  di Karachi
• Syeikh Muhammad Syafii’ bin Muhammad Yāsīn al-Utsmāni ad-Deobandi, Mufti Pakistan
• Syeikh Zafar Ahmad al-Utsmāni at-Tahānawi al-Hind
• Syeikh Muhammad Ibrahim al-Balyawi
• Syeikh as-Sayyid Fakhruddin Ahmad al-Murad Abadi, Syeikhul Hadits di Deoband
• Syeikh al-Mufti as-Sayyid Mahdi Hasan Syahjahanburi
• Syeikh al-Mufti Mahmūd bin Syaikh Muhammad Siddiq al-Multani
• Syeikh Muhammad Yusuf bin Muhammad Ilyas al-Kandahlawi, Amir (Ketua) Jemaah Tabligh
• Syeikh In’amul Hasan, Naib Ketua Jemaah Tabligh
• Syeikh Muhammad Anzor Syah bin Muhammad Anwar Syah al-Kasymiri
• Syeikh al-Mufti Musthofa bin al-Imam Ahmad Redho Khan al-Barelwi al-Hind
• Syeikh Abu al-Wafa al-Afghaani al-Haidarābād

#Selain dari seorang yang mahir di dalam selok-belok ilmu hadits, beliau juga adalah seorang yang mahir di dalam ilmu fiqih 4 mazhab. Dan beliau رضي الله عنه pernah mengatakan:

أنا ابن المذاهب الأربعة

Ertinya: "Aku nak kepada empat mazhab. Yakni, beliau رضي الله عنه menguasai keempat-empat mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali."

#Mengajar: 3 hari selepas kewafatan ayahanda beliau, ulama Makkah telah berkumpul dan memberi tanggungjawab kepada beliau untuk mengajar di tempat ayahanda beliau di Masjidilharam. Sewaktu majlis pengajian beliau yang pertama di tempat ayahandanya di Masjidilharam, ianya bukan sahaja dihadiri oleh penuntut ilmu,  bahkan dihadiri oleh ulama besar Makkah, iaitu:

▪︎ Syeikh Hasan bin Muhammd al-Masyaath
▪︎ Syeikh ‘Abdullah Sa’id al-Lahji
▪︎ Syeikh ‘Abdullah Dardum
▪︎ Syeikh Zakaria Bila
▪︎ Sayyid Muhammad Amin al-Kutbi
▪︎ Syeikh Muhammad Nur Saif
▪︎Syeikh Ismail Utsman Zain dan
▪︎ Syeikh Ibrahim al-Fathoni

Beliau juga pernah mengajar kuliyyah syariah di Universiti Malik ‘Abdul ‘Aziz di Jeddah dan kemudian Universiti Ummul Qura di Makkah dari tahun 1390H – 1399H. Kemudian beliau meminta untuk berhenti menjadi pensyarah untuk bermusafir berdakwah dan menubuhkan madrasah beliau sendiri.

#Membuka madrasah: Sewaktu beliau bermusafir ke Indonesia pada tahun 1394H, beliau telah berkumpul dan berbincang dengan para ulama disana, khususnya para habaib, antaranya dengan Habib ‘Ali Bongor. Seterusnya mereka meminta Sayyid Muhammad untuk membuka sebuah madrasah untuk anak-anak mereka di Makkah dengan menghidupakan pengajaran dan amalan para masyeikh terdahulu yang berlandaskan ahlus sunnah wal jama’ah, kerana mereka tidak dapat menghantarkan anak-anak mereka ke Hadramaut disebabkan cengkaman komunis di Yaman ketika itu.

Dan akhirnya madrasah ditubahkan di rumah beliau di Utaibiah yang mana kemudiannya berpindah ke Rusaifah. Disinilah beliau رضي الله عنه mencetak penerus kepada kesinambungan ulama silam. Di dalam penerimaan murid,  beliau رضي الله عنه tidak menerimanya sembarangan, semuanya adalah dengan isyarat.

#Menghasilkan karya 📚: Beliau رضي الله عنه menghasilkan banyak karya di dalam pelbagai disiplin ilmu seperti aqidah, tafsir, hadits, ushul fiqih, fiqih, tasawwuf, sirah nabawiyyah dan lain-lain, antaranya:

Di bidang aqidah:

☆ مفاهيم يجب أن تصحح
☆ منهج السلف في فهم النصوص بين النظرية و التطبيق
☆ هو الله
☆ قل هذه سبيلي
☆ التحذير من المجازفة في التكفير
☆ الغلو وأثره في الإرهاب وإفساد المجتمع
☆ تحقيق الآمال فيما ينفع الميت من اللأعمال
☆ شرح عقيدة العوام
– Perhatian! Kitab ini bukan karya beliau tetapi dihimpun oleh murid kesayangan beliau KH Muhammad Ihya Ulumiddin, Mudir Ma’had Nurul Haramain, Pujun, Malang, Indonesia. Kitab ini merupakan himpunan syarh oleh Abuya Maliki keatas Mundzumah ‘Aqidah al-‘Awwam. Al-Faqir memasukkannya kedalam senarai ini kerana ianya mencerminkan pemikiran Abuya Maliki di dalam aqidah ahlus sunnah wal jamaah.

Di bidang tafsir:

☆ وهو بالأفق الأعلى
☆ زبدة الإتقان
☆ القواعد الأساسية في علوم القران

Di bidang hadits, mustholah hadits dan sanad:

☆ أنوار المسالك إلى روايات موطأ مالك
☆ تحقيق موطإ الإمام مالك – رواية ابن قاسم
☆ المنهل اللطيف في أصول الحديث الشريف
☆ القواعد الأساسية في علم مصطلح الحديث
☆ الطالع السعيد المنتخب من المسلسلات والأسانيد
☆ العقد الفريد المختصر من الأثبات والأسانيد
☆ العقود اللؤلؤية بالأسانيد العلوية
(kitab beliau himpunkan sanad-sanad ayahnya, Sayyid ‘Alawi)

Di bidang ushul fiqih:

☆ القواعد الأساسية في أصول الفقه
☆ شرح منطومة الورقات

Mengenai ibadat haji dan sejarah kota Makkah:

☆ الحج – فضائل وأحكام
☆ في رحاب البيت الحرام
☆ لبيك اللهم لبيك

Di bidang Sirah Nabawiyyah:

☆ محمد الإنسان الكامل
☆ الذخائر المحمدية
☆ خصائص الأمة المحمدية
☆ تاريخ الحوادث والأحوال النبوية
☆ الزيارة النبوية بين الشرعية والبدعة
☆ المدح النبوي بين الغلو والإنصاف
☆ شفاء الفؤاد بزيارة خير العباد
☆ حول الإحتفال بذكرى المولد النبوي الشريف
☆ الأنوار البهية من إسراء ومعراج خير البرية
☆ مولد الحافظ الديبعي
(beliau mentahqiqkan kitab ini)

Di bidang zikir dan amalan kerohanian:

☆ أبواب الفرج
☆ شوارق الأنوار من أدعية السادة الأخيار
☆ الحصون المنيعة

Di bidang pelbagai ilmu lain:

☆ أدب الإسلام في مظام الأسرة
☆ صلة الرياضة بالدين
☆ كشف الغمة في اصطناع المعروف ورحمة الأمة
☆ القدوة الحسنة في منهج الدعوة إلي الله
☆ المستشرقون بين الإنصاف والعصبية
☆ مفهوم التطور والتجديد في الشريعة الإسلامية
☆ ماذا في شعبان

Kitab yang dikumpulkan dan ditahqiq:

☆ مجموع فتاوى ورسائل الإمام السيد علوي المالكي الحسني
(himpunan fatwa-fatwa dan surat-surat Sayyid ‘Alawi al-Maliki al-Hasani)

☆ نفحات الإسلام من البلد الحرام – دروس ومحاضراب العلامة المحدث المسند الإمام السيد علوي المالكي الحسني
(himpunan syarahan dan ucapan Sayyid ‘Alawi al-Maliki al-Hasani)

☆ فهرست الشيوخ والأسانيد للإمام السيد علوي المالكي الحسني
(Himpunan guru-guru dan sanad-sanad Sayyid ‘Alawi al-Maliki al-Hasani)

#Setahun sebelum kewafatannya, beliau رضي الله عنه diundang untuk membentangkan kertas kerja di- dalam Hiwar Fikri di Makkah atas undangan Ketua Umum Masjidil Haram, Syaikh Sholeh bin Abdur Rahman tanggal 5 - 9 Dzulqaidah 1424H dengan kertaskerjanya  berjodol "al-Ghuluw wal I'tidal Ru`ya Manhajiyyah Syamilah". Beliau juga turut melancarkan karangannya berjodol "al-Ghuluw Dairah fil Irhab wa Ifsad al-Mujtama`".

#Pada tanggal 11 Dzulqaedah 1424H, beliau mendapat kesempatan untuk memberikan ceramah di hadapan wakil raja, Amir Abdullah bin ‘Abdul ‘Aziz yang mana intipati ceramahnya, mengenai usaha menyatukan suara ulama dan menjalin persatuan dan kesatuan da’wah.

#Pengiktirafan: Sumbangan beliau رضي الله عنه di bidang keilmuan dan pendidikan mendapat pengiktirafan daripada Universiti al-Azhar di mana beliau رضي الله عنه telah dikurniakan gelaran ‘Ustaziyyah’ atau ‘Professor’ pada tanggal 2 Shafar 1421 bersamaan 6 Mei 2000M.

#Perhatian Ulama Kepada Karangannya -
Kitab tulisan beliau yang paling masyhur dan mendapat perhatian besar daripada para ulama adalah kitab Mafahim, dimana lebih daripada 40 orang ulama besar, seluruh dunia memberikan taqrīdz. Antaranya adalah:

• Fadhilatusy Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf - Mantan Mufti Mesir, Ulama Besar Mesir;
• Al-‘Allamah al-Muarrikh al-Faqih Syeikh Muhammad bin Ahmad bin Hasan al-Khazraji – Menteri Hal Ehwal Islam dan Waqaf Emiriah Arab Bersatu juga Mantan Qadhi Abu Dhabi
• Syeikh Professor Dr. Muhammad at-Thoyyib an-Najjar – Mantan Rektor Universiti al-Azhar;
• Professor Dr. Abu al-Wafa al-Taftazani – Wakil Universiti Qaherah
• Fadhilatul Faqih al-Mufti Syeikh Muhammad bin ‘Abdurramhan Aal asy-Syaikh Abi Bakar bin Salim
• Syeikh Imam Musa Dhaifullah – Anggota Perikatan Islam Sedunia dan Imam Negara Chad;
• Samahah al-Imam al-‘Allāmah al-‘Ārifbillah al-Habib Abdul Qadir bin Ahmad as-Saqqaf – Imam Hadramaut;
• Sayyid Abdullah Kanuun al-Hasani – Setiausaha Agong Perikatan Ulama Maghribi;
• Dr. al-Husaini Abdul Majid Hasyim – Universiti al-Azhar;
• Dr ‘Abdur Rauf Syalabi – Wakil al-Azhar asy-Syarif;
• Sayyid Yusuf Hasyim ar-Rifa`i, Kuwait;.
• Dr. Abdul Fattah ‘Abdullah Barakah – Pusat Penyelidikan Islam Qaherah;
• Dr. Ahmad Umar Hasyim – Mantan Ketua Jabatan Hadits dan Dekan Kuliah Ushuluddin, Zaqaziq;
• Syeikh Muhammad as-Sanrawi – Ketua Pemeriksa di al-Azhar dan Penasihat Agama di Negeri Fayyum, Mesir;
• Syeikh Ahmad al-‘Awadh Madani – Qadhi Mahkamah Tinggi Sudan dan Pengerusi Majlis Fatwa Syar’ie;
• Al-‘Allāmah al-Muhaddits al-Muhaqqiq al-Faqih Syaikh Muhammad asy-Syazuli an-Naifur - Tunisia;
• Al-‘Allāmah al-Faqih Syaikh Muhammad Faal al-Banāni - Mauritania;
• Al-‘Allāmah Syeikh Muhammad Salim bin Muhammad ‘Ali bin ‘Abdul Wadud ( 'Adūd) - Mantan Ketua Mahkamah Tinggi Republik Islam Mauritania;
• Al-‘Allāmah al-Faqīh al-Muhaddits as-Sayyid Abdullah bin Muhammad bin as-Siddiq al-Ghumāri – Ulama Besar Maghribi;
• Al-‘Allāmah al-Muhaddits as-Sayyid ‘Abdul Azīz bin Muhammad bin as-Siddiq al-Ghumāri – Ulama Besar Maghribi;.
• Sayyid Muhammad bin ‘Ali al-Habsyi – Pengerusi Pusat Islam Indonesia;
• Al-'Allāmah as-Sayyid Ibrahim bin Umar bin 'Uqail – Mufti Liwa Ta’iz, Yaman;
• Maulana Muhammad Malik al-Kandahlawi – Syeikhul Hadits Universiti al-Asyrafiyyah Lahore, Pakistan;
• Maulana Muhammad Ubaidulah al-Mufti – Timbalan Cancelor Universiti ‘Abdur Rahman, Pakistan;
• Maulana Hamid Miyah bin Muhammad Miyah – Presiden Persatuan Ulama Pakistan;
• Dr. Abdur Razzaq Iskandar – Pengarah Pelajaran dan Setiausaha Agung Universiti Ilmu-ilmu Islam, Karachi, Pakistan;
• Syeikh Muhammad Yusuf al-Banuri – Timbalan Pengarah Universiti Ilmu-ilmu Islam, Karachi, Pakistan ;
• Sayyid Muhammad ‘Abdul Qadir Azad – YDP Majlis Ulama Pakistan;
• Syeikh Nafis al-Husaini - Pakistan;
• Maulana Ali Ashghar – Khatib Wilayah Punjab, Lahore, Pakistan;
• Maulana Muhammad Abdul Wahid – Khatib Jami’ Islam Wilayah Sailakut, Pakistan;
• Professor Dr. Hasan al-Fatih Qaribullah – Rektor Universiti Umm Durman, Sudan;
• Professor Ahmad Abdul Ghafur 'Athar – Makkah al-Mukarramah;.
• Al-‘Allāmah Syeikh Yusuf bin Ahmad as-Siddiq, Bahrain
• Sayyid Ahmad bin Muhammad Zabbarah – Mufti Republik Yaman;
• Syeikh Asad bin Hamzah bin ‘Abdul Qadir – Ulama Zabid, Yaman;
• Sayyid Abdul Hadi 'Ujail - Yaman;
• Syeikh Muhammad Hizam al-Muqrimi – Ta’iz, Yaman;
• Syeikh Ahmad ‘Ali al-Washobi – Amil Wasiat, Mahkamah Zabid, Yaman;
• Sayyid Muhammad bin Sulaiman – Mufti Zabid, Yaman;
• Syeikh Abd Karim bin Abdullah - Yaman;
• Syeikh Husain bin Abdullah al-Washobi - Yaman;
• Sayyid Muhammad ‘Ali al-Baththah - Yaman;
• Syeikh Muhammad Ali Mukarram – Mufti liwa al-Hudaidah
• Syeikh Muhammad bin ‘Ali al-Manshur – Pengetua Kolej-kolej Antarabangsa di San’aa, Yaman;
• Muhammad ‘Aziz al-Rahman a-Haqqani al-Hazarawi – Khatib dan Imam Masjid as-Siqqid al-Akbar di Rawalpindi, Pakistan dan juga khalifah kepada al-‘Allamah al-Muhaddits Maulana Muhammad Zakaria Kandahlawi.
• Syeikh Abu Zaid Ibrahim Sayyid - Perunding Bahasa ‘Arab Republik Arab Mesir
• Syeikh Muhammad ‘Abdul Wahid Ahmad – Ulama al-Azhar
• Al-‘Allāmah Syaikh Husin Mahmud Mu’awwadh – Ulama al-Azhar
• Syeikh Abdul Salam Jabran – Pengerusi Majlis ilmu Wilayah Marakesh, Maghribi.

#Keperibadiannya: Beliau رضي الله عنه seorang yang tegas. Lidahnya fasih mengatakan kebenaran. Seorang yang tegas dan bersni dalam mengatakan kebenaran. Berhikmah dalam menyampaikan ilmu dan pendapat.  Seorang yang pemurah. Seorang yang penyayang. Sangat memuliakan ilmu dan ulama. Beliau juga seorang yang sangat memulia dan membesarkan guru-guru beliau, serta sangat mengasihi murid-murid beliau. Murid-muridnya dianggap seperti anaknya sendiri. Beliau seorang yang zuhud dan wara’. Sentiasa melazimi sholat berjemaah dan sholat tahajjud.

#Kewafatannya: Shubuh Jum’at 15 Ramadhan 1425H bersamaan 29 Oktober 2004M, sekitar jam 4.30 pagi waktu Makkah umat islam diseluruh dunia dikejutkan dengan berita kewafatan beliau. Beliau رضي الله عنه wafat setelah lebih kurang 2 jam setengah menamatkan kuliah terakhirnya bersama murid²nya. Seluruh masyarakat dunia yang mengenali beliau diselubungi rasa sedih yang mencengkam, menangisi pemergian beliau untuk selamanya. Dunia Islam kehilangan seorang ulama besar yang gigih menegakkan dan mempertahankan yang golongan ahli sunnah wal jamaah yang diwarisi dari zaman Rasulullah ﷺ, ulama yang tidak mengenal letih dalam mendidik, mentarbiah, menyebarkan ilmu, berdakwah, sebagainya.

Semoga Allah Ta’ala mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan menempatkan beliau bersama junjungan besar kita, nendanya Rasulullah ﷺ. Semoga Allah Ta’ala juga membalas jasa beliau atas segala jasa yang dicurahkan oleh beliau kepada umat Islam.

Moga-moga dengan mengingati dan mengasihi ulama besar ini, al-Faqir berharap, kelak beroleh syafaat darinya dan terlebih lebih lagi dari datuknya, Rasulullah ﷺ . Itulah harapan hamba yang faqīr lagi haqīr ini.

أحب الصالحين ولست منهم - لعلي أن أنال بهم شفاعة

♡ Kasih aku akan segala orang yang shāleh, dan tiada aku daripada mereka itu mudah-mudahan bahawa mendapat aku dengan mereka itu akan syafa' at.♡

Para ulama yang berjasa ini, walaupun mereka telah pergi, namun jasa dan sumbangan mereka, kenangan bersama mereka tetap segar di dalam ingatan. Mereka tetap hidup dihati-hati para pencinta mereka.

قد مات قوم وما ماتت مكارهم * ومات قوم وهم في الناس أحياء
فالجاهلون مواتي قبل موتهم * والعالمون وإن ماتوا فأحياء

Telah mati satu kaum namun tidak mati kemuliaan mereka
Dan telah mati satu kaum, sedang mereka masih hidup diantara manusia
Maka orang-orang yang jahil, mereka adalah mayat sebelum kematian mereka
Sedangkan para ulama (orang-orang 'alim), walaupun telah mati mereka itu namun tetap hidup (dalam ingatan dan hati manusia)

اللهم انشر نفحات الرضوان عليه وإمدنا بالأسرار التي أودعتها لديه. اللهم صل وسلم على جده النبي الأمين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

Ya Allah! Sebarkanlah hembusan keredhaanMu keatasnya dan limpahkanlah Ya Allah kepada kami segala rahsia yang Engkau simpan disisinya. Ya Allah kurniakanlah rahmat dan kesejahteraan keatas nendanya, Nabi al-Amin, penghulu kami Muhammad dan keatas keluarga dan shahabat-shahabatnya sekalian.

الفاتحة إلى حضرة النبي صلى الله عليه وآله وسلم و الى روح سيدنا الحبيب محمد بن علوي المالكي الحسني

Sekadar inilah yang mampu al-Faqir kongsikan bersama. Seandainya terdapat kesalahan atau kesilapan, al-faqīr memohon jutaan kemaafan.

Sekian dari,
al-faqīr ilaLlah abu zahrah abdullāh thāhir
fasa 6 taman seri gombak
selesai tulis pada 11 ramadhan 1430H.
#ulangsiar, jumaat 15 Ramadhān 1441H/ 8 Mei 2020.

📚Rujukan:

📖 Ath-Tholi’ as-Sa’iid al-Muntakhib Min al-Musalsalaat wa al-Asaaniid oleh as-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Abbas al-Maaliki al-Hasani
📖 Al-‘Iqdul Farīd al-Mukhtasor Min al-Atsbāt wa al-Asānīd oleh as-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Abbas al-Māliki al-Hasani
📖 Al-Maliki Ulama Rabbani Abad Ke-21 oleh Dato' Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin [buku ini sangat bagus untuk dimiliki  kerana memaparkan biografi Abuya Maliki dengan terperinci)
📖 Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani رحمه الله تعالى : Sejarah Hidup Dan Dasar-dasar Pemikirannya oleh Syaekh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Māliki.
📖 Dan lain-lain 📚

TAREKAT ORANG MAJZUB

 

Tarekat Orang majzub

Manusia pilihan kelas tertinggi adalah Nabi-nabi. Tuhan kurniakan kepada mereka kekuatan rohani yang luar biasa. Mereka mampu menempuh alam ghaib dan berhadap kepada Hadrat Ilahi tanpa berlaku kegoncangan kepada akal fikiran, kesedaran dan sifat-sifat kemanusiaan mereka. Mereka diperkenalkan dengan berbagai-bagai suasana ketuhanan (hakikat ketuhanan) dan mengalami berbagai-bagai perkara yang ganjil dalam keadaan jaga, tidak terbalik pandangan, tidak terlepas kehambaan dan tidak hilang kesedaran terhadap diri sendiri dan makhluk lainnya. Mereka tidak terdorong kepada suasana fana dan jazbah, tidak ada bersatu dengan Tuhan, baqa dengan Tuhan dan berpisah dengan Tuhan. Nabi-nabi menghadap kepada Tuhan tanpa melupai makhluk. Mereka juga melayani makhluk tanpa lalai daripada Tuhan. Makhluk tidak melindungi Tuhan dan Tuhan tidak menghapuskan makhluk. Kedua-duanya berada dalam kesedaran nabi-nabi.

Manusia yang selain nabi-nabi akan menerima kesan yang kuat daripada pengalaman kerohanian yang dinisbahkan kepada suasana ketuhanan. Keadaan ini lebih kuat lagi berlaku kepada orang yang dibawa kepada tarekat ujian bala. Kegoncangan yang hebat oleh ujian bala menyebabkan hati mereka ‘pecah’. Akibatnya kesedaran kepada alam maujud dan diri sendiri hilang. Tabiat dan sifat kemanusiaan juga tertanggal. Kesan yang muncul daripada ‘pertembungan’ dengan suasana ketuhanan itu dinamakan jazbah dan orang yang mengalami jazbah dinamakan majzub.

Jazbah adalah hal yang dialami oleh hati berhubung dengan aspek ketuhanan yang tidak dapat dicapai oleh akal. Hijab diangkatkan dan mata hati mereka menyaksikan perkara ghaib dan kenyataan tentang Tuhan. Suasana jazbah itu berbeza bagi seorang dengan seorang yang lain. Secara umumnya orang yang mengalami jazbah atau ahli majzub boleh dibahagikan kepada empat jenis.

Majzub jenis pertama adalah orang yang dibawa oleh Tuhan kepada beberapa pengalaman kerohanian yang berkait dengan ketuhanan dan mencapai beberapa makam yang tinggi dalam tempuh yang singkat serta mereka mendapat keasyikan terhadap Allah s.w.t tanpa berguru dengan sesiapa dalam hidup mereka. Jazbah merombak keperibadian mereka secara menyeluruh. Mereka menjadi orang yang sangat berlainan daripada keadaan mereka sebelum kedatangan jazbah. Mereka tidak suka bergaul dengan orang ramai. Mereka lebih merasakan kedamaian dan kebahagiaan jika mereka bersendirian dalam keasyikan dengan Allah s.w.t. Apa yang berlaku di sekeliling mereka, baik atau buruk, tidak menarik minat mereka. Kegoncangan yang berlaku dalam masyarakat dan keluarga tidak mampu menarik mereka keluar daripada keasyikan mereka. Mereka hanya gilakan Allah s.w.t. Setiap detik mereka teringatkan Allah s.w.t sahaja. Mereka tidak suka mendengar cerita yang selain Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t dan yang mengenai Allah s.w.t sahaja yang dapat menembusi hati mereka. Bila mereka dikuasai oleh jazbah hilanglah kesedaran, fikiran, penglihatan, pendengaran dan pergerakan mereka. Orang majzub tidak sedarkan diri mereka dan alam maujud sekaliannya. Dalam keadaan demikian mereka mengalami berbagai-bagai hal atau pengalaman kerohanian. Mereka berpindah dari satu makam ke satu makam yang lain dengan cepat. Orang majzub seperti ini dikasihi oleh Allah s.w.t dan Dia melindungi mereka daripada orang jahil yang jahat perangai. Oleh kerana mereka sudah hilang kesedaran dan sifat kemanusiaan, maka hilang juga keupayaan mereka untuk membezakan yang baik daripada yang buruk. Majzub yang seperti ini tidak boleh dijadikan pembimbing orang ramai kerana adab sopan dan peraturan masyarakat tidak ada dalam kesedaran mereka.

Majzub jenis kedua, setelah dilenyapkan akal dan kesedaran seperti jenis pertama, mereka dikembalikan semula kepada kesedaran kemanusiaan sedikit demi sedikit. Mereka diturunkan dari satu makam kepada makam yang lain. Penurunan tersebut mengurangkan kesan jazbah sehingga akhirnya mereka sampai kepada penetapan dan kesedaran sepenuhnya. Ketika menaik kesedaran mereka terhadap yang selain Allah s.w.t hilang dengan cepat dan dalam keadaan demikian mereka ‘menemui’-Nya. Ketika penurunan kesedaran terhadap diri sendiri dan makhluk lainnya tidak kembali dengan cepat. Mereka mengambil masa yang agak lama sebelum kesan jazbah hilang sepenuhnya daripada kesedaran mereka. Ada sebahagian daripada mereka yang kesan jazbah tidak hilang sampai ke akhir hayat mereka. Bagi majzub kumpulan kedua ini jazbah berperanan sebagai ‘kuasa pemaksa’ yang mengheret mereka keluar daripada alam kelalaian dan memasukkan mereka ke jalan yang memperadabkan mereka dengan Tuhan. Rahmat Tuhan yang menarik mereka kembali kepada jalan yang lurus. Perubahan yang berlaku kepada mereka terjadi dengan pantas. Mungkin dalam masa kurang daripada dua bulan mereka sudah melalui semua stesen kerohanian dan mengalami hal ketuhanan yang mencukupi untuk mereka mengenal Tuhan secara hakiki. Setelah kembali kepada sifat kemanusiaan semula mereka meneruskan kehidupan menurut jalan kenabian, menurut Sunah Rasulullah s.a.w dan menjadikan kehidupan nabi-nabi dan wali-wali sebagai iktibar. Proses penurunan majzub jenis kedua ini merupakan pembalikan kepada proses menaik orang salik.

Majzub jenis ke tiga tidak hilang akal fikiran dan kesedaran mereka. Perubahan kerohanian berlaku dalam sedar dan jaga. Tidak ada perpisahan dengan sifat kemanusiaan, tidak ada fana dan bersatu dengan Tuhan. Mereka menetap dalam kehambaan, tidak terbalik pandangan, tidak mengalami mabuk dan tidak mengeluarkan ucapan latah yang menyalahi syariat. Orang yang di dalam kesedaran ini didatangkan jazbah kepada mereka sebagai kurniaan Tuhan untuk memperkenalkan mereka kepada Yang Hakiki kerana ilmu dan amal mereka tidak berupaya menyampaikan mereka kepada yang demikian. Kaum sufi umumnya berpendapat majzub yang menetap dalam kesedaran dan kehambaan lebih baik daripada majzub yang mengalami kefanaan dan mabuk. Majzub yang di dalam kesedaran boleh menjauhkan diri mereka daripada perkara-perkara yang mendatangkan fitnah.

Majzub jenis ke empat adalah orang yang memasuki jalan suluk terlebih dahulu. Ketika bersuluk itulah akal fikiran dan kesedaran mereka dihapuskan. Majzub jenis ini mengenali alam terlebih dahulu sebelum mengenal Tuhan (mengalami hakikat ketuhanan). Bimbingan guru yang mursyid membuat perjalanan jazbah mereka teratur. Mereka meningkat dari satu makam kepada makam yang lain dengan bersistematik. Mereka melalui stesen-stesen kerohanian dengan bimbingan yang benar. Guru yang telah melalui semua stesen kerohanian, memperolehi makam-makam, mengetahui suasana kefanaan, kebaqaan dan Kebenaran Hakiki sesudah fana dan baqa, diperlukan bagi membimbing salik yang didatangi jazbah. Guru yang demikian dapat menyapu kekeliruan daripada mengelabui pandangan hati muridnya. Murid itu dapat maju ke matlamat terakhir dengan selamat dan teratur. Bimbingan guru membuat salik mengalami dan mengetahui pengalaman mereka. Pengenalan melalui pengalaman yang diterangi oleh pengetahuan mempercepatkan salik menjadi orang arif. Majzub jenis inilah dipersetujui oleh kaum sufi.

Majzub jenis pertama hidup terus menerus sebagai orang majzub, tidak kembali lagi kepada kehidupan manusia biasa. makrifat mereka berdasarkan pengalaman kerohanian mereka. Pengalaman mereka hanya untuk diri mereka sahaja, bukan untuk orang lain. Tanpa tajalli ilmu (terbuka pengetahuan tentang pengalaman yang dilalui) mereka tidak boleh dipanggil orang arif dan mereka tidak dibolehkan menjadi pembimbing orang ramai yang di dalam kesedaran biasa.

Majzub jenis ke dua melalui stesen-stesen kerohanian dan mencapai berbagai-bagai makam dalam tempuh yang singkat. Kumpulan ini biasanya memasuki jazbah tanpa persediaan dari segi ilmu dan juga mereka tidak mempunyai guru. Setelah mengalami jazbah mereka kembali kepada kesedaran biasa. Akal fikiran dan sifat kemanusiaan mereka dikembalikan. Mereka mendapati sukar untuk menghuraikan pengalaman kerohanian yang telah mereka lalui. Ketika di dalam zauk pengetahuan tidak penting, tetapi bila kembali sedar akal fikiran memerlukan kefahaman. Dari sini orang majzub yang kembali sedar itu digerakkan untuk menyelidik, mengambil iktibar dan bertanya kepada orang-orang yang arif. Keadaan mereka adalah umpama orang yang bermimpi pada malam hari dan termenung pada siangnya untuk mengingati apa yang dimimpikan dan apa pula maksud mimpi tersebut. Proses memahami dan menyusun perjalanan kerohanian jauh lebih lambat daripada proses pengalaman kerohanian itu sendiri. Pengalaman kerohanian yang dilalui dalam tempuh dua bulan mungkin mengambil masa lebih daripada lima tahun untuk memahaminya dengan jelas dan menyusunnya secara terperinci. Kelambatan proses ini juga disebabkan oleh kesan jazbah yang sukar hilang dari kesedaran seseorang. Kebenaran yang ditemui melalui akal fikiran akan berubah-ubah mengikut kadar kesan jazbah yang sudah hilang daripada mereka. Apabila mereka bebas sepenuhnya daripada kesan jazbah, mereka akan temui Kebenaran Hakiki yang sesuai dengan al-Quran dan as-Sunah. Walaupun mereka mengalami hakikat tetapi tanpa kematangan ilmu mengenai pengalaman tersebut, mereka tidak layak dipanggil orang arif. Ilmu mereka benar-benar matang setelah mereka kembali kepada al-Quran dan as-Sunah.

Majzub jenis ke tiga biasanya terdiri daripada mereka yang mempunyai bekalan ilmu yang mencukupi. Kumpulan ini memasuki jalan kerohanian secara berhati-hati dan diselubungi oleh keraguan. Mereka memerlukan masa untuk mengharmonikan pengalaman yang dilalui dengan pengetahuan yang sedia ada. Apa yang diketahui sebelum mendapat jazbah berbeza daripada apa yang diketahui sesudah mendapat jazbah. Kedua-dua pengetahuan yang kelihatan berbeza itu kemudiannya dapat dipastikan bahawa perbezaan berlaku pada sudut pandangan sedangkan kebenarannya tidak berbeza. Pengalaman mengsahkan apa yang sudah diketahui. Bila kedua-dua jenis pengetahuan itu bersepakat keraguan mereka pun hilang. Pengetahuan yang lahir daripada cantuman dua sudut itu meneguhkan keyakinan.

Majzub jenis ke empat memasuki bidang suluk terlebih dahulu. Ketika menjalani suluk itulah mereka memperolehi jazbah. Tempuh mendapatkan jazbah berbeza-beza di antara seorang salik dengan salik yang lain. Ada yang cepat dan ada yang lambat. Tidak kurang juga yang langsung tidak mendapat jazbah. Salik yang tidak mendapat jazbah atau lambat memperolehinya tidak seharusnya berasa kecewa. Jazbah bukanlah matlamat suluk. Kebaikan bagi orang yang menjalani jalan kerohanian adalah menjaga makam mereka. Jangan meminta makam yang lebih tinggi atau lebih rendah. Intisari bagi perjalanan kerohanian adalah kesabaran dalam menjalankan perintah Allah s.w.t dan kesabaran menanggung takdir-Nya. Salik hanya perlu menjaga takdir yang mereka berada di dalamnya. Sabar mengawal diri dan tidak bertelingkah dengan takdir merupakan kejayaan yang besar bagi salik, sekalipun mereka tidak mendapat jazbah. Teruskan tegak berdiri kerana Allah s.w.t, demi Wajah-Nya semata-mata bukan kerana sebarang keperluan. Salik jenis ini dibawa kepada ikhlas tanpa melalui jazbah. Ikhlas dan benar dengan Allah s.w.t merupakan matlamat perjalanan kerohanian, baik melalui jazbah atau secara sedar. Salik yang menetap dalam kesedaran beriman kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya dengan ikhlas. Mereka beriman kepada perkataan al-Quran dan Hadis dengan ikhlas tanpa memasuki bidang hakikat. Bagi salik yang mengalami jazbah pula berdampingan dengan guru menjadi syarat penting. Mereka perlu merujukkan kepada guru mereka semua pengalaman kerohanian yang mereka lalui semasa jaga mahupun secara mimpi. Salik jangan mudah membuat tafsiran sendiri mengenai sesuatu perkara.

Setiap orang majzub mempunyai jalannya sendiri yang berbeza dengan majzub yang lain. Masing-masing ditarik kepada jalannya oleh ‘kuasa ghaib’ yang diistilahkan sebagai Tarikan Rahmani (ketuhanan), Pembimbing Hakiki ataupun Perintah Batin. Orang majzub menerima Tarikan Rahmani tanpa mereka boleh menahannya. Tarikan tersebut membawa mereka kepada jalan khusus yang Tuhan sediakan untuk mereka. Tarikan tersebut juga mengarahkan mereka melakukan sesuatu perkara tanpa terikat dengan hukum logik. Tarikan yang langsung dari Tuhan itu juga memandu orang majzub sehingga selamat sampai kepada matlamat. Orang yang di dalam keadaan demikian sering mendapat peringatan dari dalam diri mereka sendiri. Peringatan yang demikian dinamakan Suara Hakiki. Jika timbul cita-cita mereka untuk berhenti tatkala terjadi kasyaf suara dari dalam diri mereka akan memberi peringatan: “Apa yang kamu cari masih jauh di hadapan. Oleh itu jangan berhenti!” Jika terbuka kepada mereka rahsia alam maya, mereka diperingatkan oleh hakikat alam maya: “Sesungguhnya kami adalah ujian, kerana itu janganlah kamu kufur!” Hamba yang dipimpin itu menafikan apa juga yang ditemui di sepanjang jalan. Apa yang mereka saksikan adalah gubahan Tuhan, hikmat kebijaksanaan-Nya dan tanda-tanda yang memberi pemahaman tentang Dia. Zat Ilahiat tetap tinggal terhijab, tidak dapat ditembusi oleh sesiapa pun. Akhirnya hamba menemui kenyataan bahawa Dia yang sebenarnya mengenali Diri-Nya. Dia yang mencari, Dia yang dicari dan Dia yang menemui. Tidak ada sesiapa yang ikut campur dalam urusan-Nya.

Orang yang sedang dikuasai oleh Tarikan Rahmani akan kehilangan kekuatan akal fikiran dan kesedaran diri mereka. Pengaruh pancaindera dan alam sekeliling menjadi lemah kepada hati mereka. Rangsangan yang datang dari kehendak diri sendiri menjadi tumpul. Pada peringkat permulaan mengalami hal yang demikian, ketika akal fikiran, kesedaran dan kehendak diri masih mempunyai kekuatan, mereka tidak mengerti apakah yang sedang berlaku kepada diri mereka. Mereka merasakan kelainan tetapi tidak mengerti mengenainya. Walaupun begitu mereka terus juga berjalan menurut cetusan yang muncul dari dalam diri mereka. Setelah beberapa lama mereka mula menyedari kehadiran ‘kuasa ghaib’ yang menguasai mereka, memberi petunjuk dan bimbingan. Kelainan yang mereka alami mereka hubungkan dengan kehadiran kuasa ghaib tersebut. Mereka tidak tahu apakah hakikat kuasa ghaib itu tetapi mereka yakin bahawa ia adalah sesuatu yang suci dan berhubung rapat dengan pekerjaan Tuhan. Mereka yakin hanya dengan mengikuti petunjuk ghaib itu mereka dapat menghampiri Tuhan. Kehadiran kuasa ghaib tersebut dirasakan bertambah kuat dari masa ke masa. Ia membuat mereka berasa tenang dan mereka merasakan jalan menuju Tuhan semakin terang.

Penguasaan petunjuk ghaib ke atas diri mereka membawa mereka kepada peringkat di mana mereka menyaksikan kelakukan dan perbuatan muncul daripada diri mereka tanpa mereka berkehendak melakukannya, tanpa berfikir dan merancang dan juga tanpa menggunakan kekuatan diri sendiri. Segalanya berlaku secara spontan. Mereka tidak ikut campur dalam menghasilkan perbuatan diri mereka sendiri. Mereka hanya menyaksikan ‘kuasa ghaib’ menghasilkan kelakuan dan perbuatan diri mereka. Mereka tidak ada kehendak untuk membantah hal yang demikian, malah hal tersebut membuat mereka memerhatikan sesuatu tentang Tuhan. Apa yang berlaku secara spontan itu membukakan kefahaman mereka tentang Tuhan. Dalam keadaan yang demikian akal mereka menjadi umpama bekas yang dituangkan dengan kefahaman. Banyak perkara mengenai ketuhanan yang mereka tidak fahami sebelumnya ‘difahamkan’ pada peringkat ini. Hal yang demikian membuat hati mereka merasakan kewujudan hubungan di antara Tuhan dengan mereka. Jika kehendak kepada sesuatu yang lain menjadi lemah tetapi kehendak berjumpa dengan Tuhan menjadi kuat. Hati mereka sudah ada rasa kasihkan Tuhan. Mereka juga dapat merasakan kasihan belas Tuhan kepada mereka. Mereka mendapat penghayatan bahawa Tuhan tidak melupakan mereka, Tuhan sentiasa mengambil tahu tentang hal-ehwal mereka. Bertambahlah keseronokan mereka mengintai Tuhan.

Orang yang sedang diheret oleh petunjuk ghaib hilang minat kepada makhluk dan kehidupan dunia seluruhnya. Hati mereka hanya mencintai Allah s.w.t. Mereka menjadi hamba yang gilakan Allah s.w.t. Apa sahaja yang dipandang membalikkan sesuatu tentang Allah s.w.t. Dalam keasyikan mereka mengalami berbagai-bagai hakikat ketuhanan yang menambahkan pengenalan mereka tentang Tuhan. Puncak kecintaan hamba kepada Allah s.w.t adalah pengalaman Allah Maha Esa, tiada sesuatu beserta-Nya. Selepas pengalaman tersebut mereka memasuki suasana baqa dengan Allah s.w.t. Suasana kebaqaan membuat mereka merasakan yang mereka tidak berpisah dengan Allah s.w.t yang mereka cintai, walau di mana mereka berada dan apa juga yang mereka lakukan. Bila suasana demikian sudah menguasai hati mereka baharulah mereka boleh terima kehadiran makhluk kerana pada tahap ini kehadiran makhluk tidak lagi memisahkan mereka dengan Tuhan.

Perjalanan seterusnya membawa mereka kepada kesedaran mengenai tujuan mereka diciptakan. Kesedaran, akal fikiran dan sifat kemanusiaan mereka sudah dikembalikan. Mereka mula bergerak jauh daripada Tuhan tetapi dalam keadaan tidak berpisah. Bila kesedaran, fikiran dan sifat kemanusiaan mereka kembali sepenuhnya, mereka dapat melihat perbezaan di antara Tuhan dengan hamba. Mereka berpindah daripada suasana baqa kepada suasana kehambaan sepenuhnya. Mereka kembali kepada kewujudan diri sendiri dan menghabiskan sisa-sisa hidup mereka sebagai ahli syariat yang taat. Lengkaplah perjalanan kerohanian mereka. Pengalaman jazbah menjadi ingatan yang paling berharga bagi mereka kerana melalui pengalaman tersebut mereka berubah menjadi manusia baharu, mempunyai kehendak dan citarasa yang baharu. Jazbah telah menghancurkan ‘patung-patung’ dalam diri mereka yang mereka tidak berupaya menghancurkannya dengan kekuatan diri sendiri.