.

.

Sabtu, 2 Julai 2016

Bersuluk


Pengertian Suluk
Perkataan suluk itu datangnya dari perkataan Indonesia seperti rujukan dalam Kamus 
Besar Indonesia iaitu :
1. suluk - jalan ke arah kesempurnaan batin; tasawuf; tarekat
2. pengasingan diri; khalwat;
bersuluk - mengasingkan diri; berkhalwat.

Bersuluk itu adalah kombinasi perbuatan beruzlah dan berkhalwah dalam istilah Ilmu 
Tasawuf.Ia dipanggil iktikaf di dalam ilmu Feqah.Iktikaf itu tertentu di dalam masjid.

Beruzlah itu meninggalkan kampong halaman atau rumah menuju ke suatu tempat 
kemudian duduk di tempat itu tidak keluar-keluar 10 hari 10 malam atau 40 hari 40 
malam itu dinamakan khalwah.Ia juga dipanggil khalwah fil uzlah manakala
khalwah fil jalwah pula , walaupun si salik itu berjalan,hatinya nampak Allah.

Ia adalah satu praktis secara intensif melakukan zikrullah bermula dengan berbilang
-bilang hinggalah berzikir sampai tidak terbilang seperti air yang mengalir.

Maka mudah dan cepatlah hati sanubari itu menerima tarqiyah dari Allah, 
dibukakan hijab dan tutupan hati untuk melangkah dari alam nasut ( alam sifat 
kemanusiaan ) ke alam malakut ( alam lakaran ) kemudian ke alam jabarut 
( alam sifat ) seterusnya ke alam lahut ( kesedaran sifat ketuhanan ).
Salik akan dapat memerhatikan Allah dengan Allah, basrahu bi basrihi.

Ia suatu bentuk beribadat yang terasing daripada manusia lain atau orang lain 
yang bukan dari kalangan jamaah supaya tiada gangguan ketika bersuluk itu.
Ia suatu cara atau kaedah untuk tabattal ilaihi tabtiila , memutuskan 
hubungan dengan yang lain selain dari ingat Allah.

Ahli-ahli Sufi sepakat mengatkan bahawa jiklu hendak menemui Allah 
mestilah melalui jalan fana’’dan jalan fana’ itu boleh diperolehi melalui suluk.

Salik atau orang yang bersuluk itu dipimpin taubat dan zikirnya oleh Guru Mursyid.
Salik melakukan solat taubat dan berzikir berterusan sepanjang suluk itu berjalan.J
ika duduk seorang diri di dalam bilik di rumah itu tidak dipanggil bersuluk kerana 
tiada pengawasan guru.

Hikmah Dan Laduni
Orang yang bersuluk itu akan dikurniakan pelbagai hikmah dan ilmu laduni sekiranya 
mereka itu benar-benar ikhlas dan segala kejadian itu lalui dengan mata kepala 
samada dengan penglihatan, dengan bau atau rasa.Ketika itu murid tidak boleh 
mengendalikan dirinya sendiri kecuali ada bimbingan guru yang faham akan setiap
situasi yang berlaku kepada murid ketika itu kerana untuk mengenal Allah itu 
mestilah dengan wasitah.Syeikh (Guru Mursyid) itulah yang menjadi wasitah bagi 
menyampaikan murid kepada Allah.

Imam Ghazali menerangkan mengenai Ilmu Suluk ini iaitu sangat jauh perbezaan 
antara mengetahui makna sihat atau kenyang dengan mengalami sendiri rasa sihat 
dan kenyang itu malah beliau ada mengarang sebuah kitab mengenainya diberi 
nama Suluk as-Sultanah.

Kita pergi menunaikan haji dengan tubuh yang zahir menziarahi Kaabah manakala 
bersuluk pula pergi menemui Tuan Kaabah secara rohaniah.Salik akan berzikir 
dengan zikir Ismu Dzat ,yakni zikir yang membolehkan salik itu mendapat tarikan 
(jazbah ) kepada Allah.Apabila salik telah mendapat tarikan yang kuat kepada Allah ,
si salik ini akan dapat memulakan semula kata-kata yang pernah manusia ucapkan 
suatu ketika dahulu di alam roh iaitu " alastu birobbikum ; qooluu balaa syahidna "
- Al A'raf ayat 172.

Kita lihat bagaimana bayi yang baru lahir ke dunia akan menanggis kerana sedih 
untuk meninggalkan Allah dan bila seseorang itu bersuluk dan sempurna suluknya 
itu hingga sampai ke peringkat makrifatullah ,Tuhan ibaratnya berkata ; 'dah lama 
hati engkau tidak memandang Aku. Jadi, silakan...silakan..masuklah engkau dengan
musyahadah'..
Ya aiyatuhannafsul muttmainnah irjie..irjie..ila robbikiriroodhiatammardhiah'.

Hati itu tempat simpannya iman, wadah berbagai rahsia ghaib dan juga punca 
terpancarnya berbagai nur.Hati itu perlu digilap,perlu dihidupkan agar tidak ia menjadi 
seperti ais ; gelap dan tidak telus.Cara mengasuhnya adalah dengan berzikrullah 
secara khusus ,istiqamah dan terpimpin.

Zikirullah dan Khalwat Sunnah Nabi
Zikrullah dan khalwat ini adalah sunah Nabi yang paling awal,sejak di Gua Hira' lagi.
Nabi Muhammad S.A.W juga telah pergi berkhalwah di Jabal Thur bahkan Nabi 
Musa a.s juga berkhalwah di Bukit Tursina seperti Firman Allah : “ dan telah Kami 
janjikan kepada Musa (memberikan Taurat) sesudah berlalu waktu tiga puluh malam,
dan Kami sempurnakan jumlah malam itu dengan sepuluh (malam lagi), Maka 
sempurnalah waktu yang telah ditentukan Tuhannya empat puluh malam.. ".
Surah al-A’raaf ayat 142.

Sabda Nabi S.A.W :
“ Wajiblah atas engkau sentiasa berzikrullah di tempat-tempat yang sunyi “ 
Syeikh Abdul Kadir Isa, Haqaiq anittasawuf.

“ Orang yang ikhlas kepada Allah selama 40 hari akan timbul sumber hikmah dari 
hatinya pada lisannya ”.“ Barangsiapa menambatkan akan dirinya satu malam pada
jalan Allah adalah satu malam itu baginya seperti seribu malam sembahyang dan 
puasa “ HR Ibn Majah dan Usman.

“ Haqiqun bilmar’i inyyakuunalahu majaalisu yakhluu fiihaa wayazkuruu zunuubahu
fayastaqfirullaha minha
 – sebenar-benar bagi seseorang itu mempunyai tempat 
duduk untuk ia berkhalwat di dalamnya dan mengingati dosa-dosanya dan ia meminta 
ampun kepada Allah terhadap dosa-dosanya“

Darjat atau peringkat ehsan itu menurut Imam Ghazali tidak dapat dicapai dengan
cara ta’alim atau mendengar kecuali dengan cara merasa atau dzauq.Bagi mencapai
dzauq yang cepat perlulah mengikuti jalan bersuluk. ( Ihya’ Ulumuddin )


Dari ‘Aisyah r.h., dia berkata, “ Adalah Nabi S.A.W melaksanakan iktikaf dalam sepuluh
hari akhir Ramadhan, lalu saya buatkan kelambu untuk beliau, lalu Rasulullah solat Subuh, 
kemudian memasukinya. (H.R. Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Ibnu Majah).

Tempat Bersuluk
Tempat-tempat untuk bersuluk itu ada berbagai , ada yang di surau,ada yang dibuat di
rumah Syeikh atau Guru jika murid yang bersuluk itu tidak ramai.Kalau dulunya Nabi 
S.A.W beriktikaf di Gua Hira’ dan sekarang ibadat itu kebanyakannya dibuat di surau/
madrasah khas atau lazimnya dipanggil rumah suluk.

Ada sesetengah rumah suluk itu menyediakan bilik-bilik kecil yang hanya muat seorang 
sahaja sebagai tempat berzikir tetapi ia terhadkan bilangan murid yang ingin bersuluk
Oleh kerana murid yang bersuluk saban tahun makin bertambah,para syeikh memikirkan 
menyediakan kelambu kecil yang digantung di dalam surau atau rumah suluk sebagai 
tempat atau sempadan murid berzikir.

Bersuluk Perlu Pimpinan Guru Yang Mursyid
Bersuluk itu bukan bertapa.Bersuluk itu dipimpin oleh Guru Mursyid yang 
menyampaikan murid atau salik itu kepada Allah,zikirnya dipimpin,taubatnya dipimpin 
sedangkan bertapa itu seorang diri sahaja.Solat jamaah adalah wajib bagi murid yang 
bersuluk yang jika dihitung selama 10 hari 10 malam,mereka akan solat jemaah selama
50 waktu.

Suluk selalunya bermula pada hari Isnin atau Khamis dan berlangsung selama 10 hari 10 
malam dan ada yang melakukannya selama 40 hari 40 malam.Kekangan masa dengan 
kesibukan bekerja dan mencari rezeki membuatkan kebanyakan para Guru mengadakannya
untuk tempoh pendek sahaja.

Nabi S.A.W bersabda,"Bahawa amalan hamba dibentang pada hari Isnin dan hari 
Khamis"-Hujjatullah al Balighah- Syah Waliyullah ad-Dahlavi.

Sabda Baginda lagi," Penghulu hari di sisi Allah adalah hari Jumaat,lagi besar dari Hari 
Raya Haji dan Hari Raya Fitri.Padanya 5 macam,Pertama : menjadikan Allah Nabi Adam.
Kedua : diusirnya dari syurga ke bumi, Ketiga : dia diwafatkan. Keempat,tak adalah 
hamba Allah yang meminta pada hari itu akan diberi Allah selama ia tidak memperbuat
dosa atau memutuskan saliturrahim.Kelima : padanya berdiri hari Kiamat.Dan tak 
adalah dari malaikat yang hampir dan tidak pula langit dan angin dan bukit dan batu 
melainkan semuanya sayang pada hari Jumaat " HR as-Syafie

Maka jamaah akan mula bersuluk pada petang Khamis untuk menanamkan bibit-bibit 
zikrullah dalam hati sanubari.
Kaedah bersuluk itu ialah duduk berzikir siang malam beribu ribu berjuta-juta.Firman Allah,
” dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang perempuan
yang menyebut nama Allah banyak-banyak,Allah menyediakan bagi mereka semuanya 
keampunan dan pahala yang besar “ Surah al-Ahzab : 35.

Banyakkan Bezikir Dan Bertaubat
Berzikir secara intensif. Bertaubat dan berzikir .Berzikir bertaubat berzikir bertaubat berzikir 
sehinggalah Allah kurniakan warid dan tarqiyah kepada murid itu dalam bentuk pandangan 
atau rasa atau bau atau seumpamanya.

Barulah masa itu keadaan murid itu membetuli panggilan dari Allah  ,”  
Ya aiyatuhannafsul muttmainnah”.Rasa seperti baru dilahirkan semula.Barulah RASA
Allah itu ada bukan setakat tahu Allah itu ada sahaja. Maka cairlah hati kita pada masa itu
dalam mujahadah dengan zikrullah secara berterusan.

Bersuluk tertakluk kepada adab-adab sebelum suluk,adab ketika bersuluk dan adab 
selepas bersuluk.Bersuluk ini seperti suatu jihad dimana salik akan meninggalkan 
segala kelaziman dalam kehidupannya,tinggalkan keseronokan,tinggalkan kemewahan
dan segala perbuatan rutin seharian semata-mata untuk berzikir kepada Allah dalam 
satu jangkamasa yang tertentu.

Bagaimana nak cepatkan caj hati , kenalah bersuluk dan beramal dengan amalan tariqat
iaitu satu amalan yang boleh diistilahkan sebagai amalan tertentu,dengan bilangan tertentu
dan di tempat-tempat tertentu.


Hikmah Bersuluk 
Apa yang kita dapat selepas bersuluk itu ? Setiap mereka yang bersuluk itu yang datang 
dengan niat yang ikhlas semata kerana Allah ; mudah-mudahan mereka itu nanti akan :

1.   Bertambah keyakinan mereka tentang wujud Allah , lebih kenal dan lebih tahu tentangNya.
2.   Merasai atau melalui pengalaman dzauki dan fana'fillah, faham apa yang dinamakan makrifah , 
tahu dimana berlakunya musyahadah , faham apa itu baqo’billah dan istilah-istilah seumpamanya.
3.   Menyakini kepentingan bertawassul dan berabitah.
4.   Mempraktikkan adab-adab berzikir dan adab-adab bersama Guru atau orang yang alim.
5.   Istiqamah dalam solat taubat.
6.   Lebih memahami apa yang dikatakan oleh Ibn Atho'illah dalam Kitab Hikam.
7.   Memahami kepenting ilmu tasawuf ( ilmu tariqat ) dan kepentingan beramal dengannya.
8.   Rasa rendah diri ; tidak lagi mudah menilai orang lain berdasarkan kepada pakaian atau pangkat.
9. Faham apa yang dikatakan ilmu Laduni dan mudah mendapat natijah-natijah zikir.
10. Mantap pegangan kepada tauhid uluhiyyah dan rububiyyah.
11. Menyembah Allah yang sudah dikenal seperti umpama bercakap dengan orang yang kita kenal 
dengan orang yang tidak kita kenal.
12. Hatinya benar-benar yakin apa yang wajib diimani.
13. Dengan bersuluk,kita dapat sebahgian walaupun tidak sepenuhnya sifat-sifat orang
Ulul albab.

Prisnsip Sebenar Perjalanan Seorang Sufi
Seorang Tokoh Sufi, Imam Qusyairi menerangkan bahawa prinsip sebenar 
perjalanan seorang sufi kepada Allah bersandarkan pegangan teguh kepada
ajaran Al-Quran dan sunnah.Mereka dapat mencapai hakikat kebenaran 
(makrifatullah)  bukan hanya dengan dalil akal semata-mata bahkan melalui 
penjernihan hati dan latihan jiwa seperti bersuluk ini.

Imam Ghazali berkata : “ Ketahuilah bahawa berjalan menuju kepada Allah
Taala untuk menghampiriNya sebenarnya adalah hati bukan badannya.
Maksudku ,bukan hati yang berdaging ini bahkan ia adalah satu rahsia 
daripada rahsia-rahsia Allah Azzawajalla yang tidak difahami oleh deria zahir.”

Siapakah yang patut bersuluk ? Ramai orang yang ingin menjadi muslim dan
mukmin tetapi jarang-jarang orang berdoa untuk menjadi mukhsein dan mukhlis.
Hanya mereka yang bersungguh-sungguh memohon kepada Allah agar ditunjuki 
jalan dan dituntuniNya (dipimpin) ke arah itu.
Hanya dengan jalan dzauqi sahaja,yakni melalui pengembaraan rohani semasa
bersuluk ; seseorang itu akan lebih mudah sampai ke darjat ehsan. 

Alasan Biasa Tidak Mau Bersuluk
Ada yang menolak amalan bersuluk atau mendalami ilmu tasawuf ini dengan
alasan mereka belum lagi habis belajar fardu ain,belum habis belajar feqah, 
belum habis belajar tauhid lagi.Ada yang kata ilmu ini bukan untuk orang yang
biasa-biasa kerana ia ilmu yang tinggi.

Ada juga yang kata susah untuk bercuti selama 10 hari,tidak boleh tinggalkan
kerja,tidak boleh tinggalkan mengajar,ada yang kata susah nak tinggalkan 
keluarga,ada yang kata bila bersuluk,tidak bebas melakukan sesuatu ;namun 
semua alasan itu bukanlah suatu perkara yang boleh menghalang mereka yang
betul-betul dan bersungguh-sungguh mahu mengenal Allah semasa hayat ini 
kerana di masa hayat lain,kita belum tentu lagi dapat berjumpa dengan Allah 
SWT walaupun disaat itu kita berada di syurga sekali pun.

Ketika bersuluk,salik akan berzikir sebanyak mungkin dan menghantar zikirnya
itu ke maqam-maqam zikir tertentu kerana zikir itu ada tempat hantarannya
agar ia lebih cepat memberikan kesan pada lataif-lataif.Jika tidak tahu tempat
hantarannya,ia ibarat tiada bekas tadahan untuk penyucian.Bila tiada tempat
penyuciannya,zikir itu tercurah seperti tercurahnya air ke daun keladi.
Sebab itu zikrullah itu perlu mendapat baiahnya supaya seseorang yang berzikir 
itu tahu di mana hendak ditempatkan zikirnya itu walaupun kita boleh berzikir
duduk,berdiri,berbaring,secara sirr atau jihar.

Firman Allah Diantara Matfhumnya
Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang muslim, laki-laki dan
perempuan yang mukmin[1218], laki-laki dan perempuan yang tetap 
dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan
perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyuk, laki-laki 
dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa,
laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, 
laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah,
Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang
besar.
 Surah Al-Ahzab ayat 35


Barangsiapa membereskan hubungan antara dirinya dengan Allah, 
nescaya Allah akan membereskan hubungan antara dia dan manusia 
semuanya.Barangsiapa membereskan urusan akhiratnya nescaya Allah 
akan membereskan baginya urusan dunianya.Barangsiapa selalu menjadi 
penasihat yang baik bagi dirinya sendir nescaya Allah akan menjaganya 
dari segala bencana.

Kamu akan disebut sebagai orang yang beruntung bukan dengan bertambahnya
harta dan putra tetapi dengan bertambahnya ilmu dan akhlak serta pengabdian
kepada Allah.Setiap kali berbuat kebajikan,kamu bersyukur kepadaNya.Setiap
kali berbuat keburukan, segera kamu memohon keampunanNya.Dan sesungguhnya
tidakada kebaikan dalam dunia ini kecuali bagi dua orang yakni mereka yang 
merasa telah berbuat dosa lalu ia segera mengikutinya dengan bertaubat dan
mereka yang bersegera dalam mengerjakan kebajikan setiap kali hal itu terlintas
di hatinya.

Terbuka Hijab
PENBUKAAN HIJAB atau singkapan hijab mudah terjadi ketika bersuluk
dan memang itu pun antara tujuan diadakan suluk itu.Singkapan hijab
terbuka apabila hati sanubari murid itu telah bersih kerana adanya
taubat yang berterus-terusan dan zikrullah yang sangat banyak.

Masa terjadinya singkapan hijab itu tidak tertentu pada waktunya 
kerana ia bergantung seikhlas mana murid itu mencari keredhaan 
Allah,kesungguhannya bertaubat dari dosa besar dosa kecil,dosa
yang diketahui dosa yang tidak diketahui,dosa yang disengajakan 
dan dosa yang tidak disengajakan dan bergantung juga banyak 
mana murid itu telah berzikir.

Jikalau murid itu banyak melanggar adab dalam suluk,banyak 
bercakap,banyak berfikir-fikir,malas berzikir dan melanggar 
adab-adab bersuluk dan tiada beradab pada Syeikh maka
lambatlah hijab itu terbuka malah jika berterusan dia melanggar 
adab , berkemungkinan suluknya itu menjadi sia-sia kerana untuk 
masuk ke syurga itu dengan amal ibadat tetapi untuk sampai
kepada Allah itu mesti dengan adab.Adab kepada guru digarap
dari adab para sahabat kepada Rasulullah S.A.W. 

Hadis ada menyebutkan tentang 7 golongan manusia yang dapat perlindungan dan naugan Allah
di akhirat nanti , antaranya " dan seorang lelaki yang berzikrullah dalam keadaan bersunyi 
sehingga kedua-dua matanya berlinangan air mata".HR as-Syaihani.


Adab Bersulok
Adab di dalam perjalanan tariqah diambil atau digarap dari adab para sahabat dengan
Rasulullah S.A.W.Maka disambungkan ia menjadi adab antara murid dengan Guru kerana
Gurulah yang menyambungkan salik atau muridnya sampai ke makrifatullah, adab di majlis-
majlis ilmu adalah ketentuan juga pada adab sebelum suluk,adab semasa suluk dan adab 
selepas dari suluk kerana majlis-majlis ini memungkinkan kedatangan roh para Nabi dan roh 
para ambia' , sebab itu adab-adab sangat-sangat perlu dijaga.

Menurut Syeikh Imam Ishak an-Naqsyabandi al-Khalidi ," sampai kepada makrifat dengan 
adab ; jatuh juga kerana adab ".

Firman Allah,"Allah tidak menghendaki untuk memberikan kamu sesuatu beban yang berat, 
tetapi ia berkehendak untuk membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu
supaya kamu berterima kasih." (al-Maidah: 6)

Kenapa tak boleh cerita natijah dalam suluk pada orang lain ?

Kurniaan itu hanya diberikan atau diilhamkan Allah S.W.T kepada kita dan ia menjadi rahsia yang 
mesti disimpan.Hanya perlu melaporkan atau merepot kepada Guru mengenai sesuatu natijah itu 
sebagai adab.
Semasa peristiwa isra' dan mikra',Saidina Jibrail pun tidak mengikut Nabi S.A.W ketika Baginda 
mengadap Allah SWT di Sidratulmuntaha.Baginda Rasulullah S.AW bersabda,
' sesungguhnya setengah daripada ilmu itu sangat rahsia seperti keadaan sesuatu yang 
tersembunyi.'


"Berpanjangan lah ubudiyah zahir dan batin serta berkekalan lah
hadir hati serta Allah".Wallahu a'lam bishowab


2 ulasan: