.

.

Sabtu, 26 Januari 2019

Keutamaan Wirid

Keutamaan Wirid


Habib Abdullah bin ‘Alwi Al-Haddad berkata: Ketahuilah, bahawa wirid mempunyai pengaruh yang amat kuat untuk menerangi qalbu dan mengendalikan anggota tubuh. Akan tetapi, ia tidak akan efektif kecuali setelah diamalkan secara berulang-ulang dan terus menerus di waktu-waktu tertentu. Jika engkau tidak termasuk orang-orang yang melewatkan seluruh siang dan malam dalam tugas-tugas kebaikan dan amal-amal khair, maka paling sedikit engkau harus mengamalkan beberapa wirid secara teratur pada waktu-waktu tertentu, jika pada suatu saat, dan kerana suatu alasan, engkau tidak mengerjakannya, maka hendaknya engkau segera mengganti (mengqadha’) wirid tersebut di waktu lain, agar nafsumu terbiasa dengan berbagai wirid tersebut.

Dalam setiap keadaan, manusia pasti memerlukan taubat. Tidak ada seorang pun yang terlepas dari keperluan untuk bertaubat, meskipun dia seorang yang Nabi yang maksum (terlindung dari perbuatan dosa), apalagi selainnya. Kerana itulah para malaikat, para nabi dan rasul, serta kaum siddiqin yang terjaga dari perbuatan dosa, mereka senantiasa memohon ampun (istighfar) dan bertaubat kepada Allah. Jika demikian adanya, maka orang-orang yang suka mencampuradukkan kebaikan dan keburukan, yang suka bermaksiat dengan melakukan berbagai perbuatan dosa seperti kita ini, sepatutnya lebih memerlukan dan lebih wajib untuk bertaubat. Oleh kerana itu, jika memperoleh kemudahan, kita harus segera menyusul manusia-manusia terbaik tersebut. Dan hal ini dapat dilaksanakan jika kita senantiasa meneliti niat, perbuatan mahupun ucapan kita. Jika kita mampu memperbaiki dan meluruskan ketiga hal tersebut, maka kita akan memperoleh waridat yang indah.

Waridat yang kita peroleh adalah sesuai dengan amal yang kita kerjakan. Kerana itulah, mereka yang memiliki waridat tersebut menyatakan bahwa waridat yang tiba ke dalam hati adalah sesuai dengan macam wirid yang kita amalkan. Jika kita melakukan hal-hal yang baik, maka kita juga akan memperoleh hal yang baik. Wirid merupakan tubuh waridat. Sebagaimana roh tidak akan masuk ke dalam jasad janin yang berada di perut ibu, kecuali setelah sempurnanya jasad tersebut, maka waridat juga tidak akan tiba di hati seorang hamba sebelum tubuhnya dihias dengan berbagai wirid. Oleh kerana itu, mereka yang mengabaikan dan meremehkan wirid, mereka adalah golongan yang sangat bodoh, lalai dan sangat lemah pemahamannya.

Golongan yang berjalan menuju Allah memiliki perhatian, semangat dan ketekunan dalam membaca berbagai wirid. Mereka menikmati wirid-wirid tersebut. Inilah tanda kesungguhan mereka di dalam berjalan menuju Allah dan kemampuan pemahaman mereka yang besar. Barang siapa memahami kedudukan wirid, maka dia akan menaruh perhatian yang besar terhadap berbagai macam wirid dan zikir. Sehingga perjalanannya menuju Allah berlangsung dengan baik dan dia akan senantiasa memperoleh limpahan kurniaNya.

Adapun seseorang yang berada di dalam kebodohan, sedikit pun dia tidak akan menaruh perhatian terhadap berbagai macam wirid tersebut. Dan seandainya dia membaca salah satu wirid itu, maka ringan baginya untuk meninggalkannya. Jika salah satu wirid yang dia baca dengan lewat kerana satu sebab, maka dia tidak akan pernah merasa kehilangan mahupun merindukannya. Ini merupakan tanda kebodohannya. Seseorang yang demikian keadaannya, sebenarnya ia tidak berjalan menuju Allah Ta’ala.

Oleh kerana itu, kamu semua pasti akan melihat keutamaan dan manfaat nyata yang akan diperoleh mereka yang suka membaca wirid, di dunia ini sebelum di akhirat nanti. Kamu akan melihat perbezaan yang sangat besar antara golongan yang mengisi hari-hari mereka di tempat seperti ini dengan membaca, memuliakan dan mengagungkan wirid — ikut membaca wirid sebelum dan setelah subuh, sebelum dan setelah shalat zohor, zikir sebelum solat asar, doa ketika berjabat tangan selepas solat asar dan wirid selepas asar dengan hati yang khusyuk — dengan golongan yang mengabaikan berbagai macam wirid tersebut. Di antara mereka pasti tampak perbezaan yang sangat besar yang akan tampak dalam perjalanan kehidupan mereka di dunia maupun di Akhirat. Kedua kelompok manusia ini tidak dapat disamakan.

Orang yang memiliki ikatan hati dengan kaum solihin tidak mungkin dapat disamakan dengan orang yang tidak memiliki ikatan hati dengan mereka.

Yang menyandang akhlak mulia tidak mungkin dapat disamakan dengan mereka yang tidak menyandangnya. Orang yang beramal tidak mungkin dapat disamakan dengan orang yang tidak beramal. Bagaimana mungkin keduanya dapat disamakan. Allah Ta’ala mewahyukan:

ام حسب الذين اجترحوا السيئات ان نجعلهم كالذين ءامنوا وعملواالصلحت سواء محياهم ومماتهم ساء ما يحكمون

“Apakah orang-orang yang membuat kejahatan itu menyangka bahwa kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh, yaitu sama antara kehidupan dan kematian mereka? amat buruklah apa yang mereka sangka itu.” (Al-Jatsiah, 45:21)

Dapatkah disamakan seseorang yang ketika turun hujan rahmat hatinya khusyuk (ingat kepada Allah) dengan seseorang yang lalai? Apakah keduanya dapat disamakan? Yang satu hatinya selalu berhubungan dengan Allah sedangkan yang lain hatinya putus hubungan denganNya. Yang satu menghadapkan diri kepada Allah sedangkan yang lain berpaling dariNya. Keduanya tidak mungkin dapat disamakan. Sudah menjadi ketentuan Allah di alam semesta, kedua jenis manusia ini tidak mungkin dapat disamakan. Tidaklah sama kegelapan dengan cahaya, orang yang normal penglihatannya dengan tuna netra, dan yang hidup dengan yang mati, meskipun semuanya adalah makhluk Allah. Kerana itu, jika kamu perhatikan, golongan yang bertaubat senantiasa menekuni berbagai wirid dan zikir. Mereka akan banyak beristighfar memohon ampun kepada Allah.

 🌾Rasulullah salallahu alaihi wasallam bersabda:

طوبى لمن وجد في صحيفته استغفارا كثيرا

. (HR Ibnu Majah)
‘Sungguh beruntung seseorang yang mendapati istighfar yang banyak dalam buku catatan amalnya

Setelah Rasulullah salallahu alaihi wasallam menyatakan mereka sebagai seorang yang sangat beruntung, maka mereka akan merasakan kenikmatan yang luar biasa.




[al Allamah al Habib Umar Bin Muhammad Ben Hafidz hafiza…

Khamis, 3 Januari 2019

Habib Ali bin Jaafar bin Ahmad bin Abdul Qodir bin Salim al-Idrus





BATU PAHAT

Habib Ali bin Jaafar bin Ahmad bin Abdul Qodir bin Salim al-Idrus, seorang wali Allah yang dikasihi dan dicintai sekalian ummah, dilahirkan di Purwarkarta, Jawa Barat, pada tahun 1919.

Beliau mendirikan rumah tangga bersama Syarifah Alawiyah binti Sayyid Ahmad al-Idrus (wafat pada 19 Zulkaedah 1361 bersamaan tahun 1952 dalam usia 33 tahun) dan dikurniakan enam orang cahaya mata.  Sayyid Abdul Qadir (wafat sewaktu kecil -22 Februari 1951-), Syarifah Zahrah (juga wafat semasa kecil -1954-), Syarifah Khadijah, Sayyid Muhammad, Sayyid Omar dan Sayyid Husen.

Sekitar tahun 1926, iaitu ketika beliau berumur tujuh tahun, beliau tiba di Singapura.

Namun cuma seketika, lalu kembali semula ke Indonesia. Kemudian, sekitar tahun 1929, beliau sekali lagi menjejakkan kaki ke Singapura dan menetap di sana hingga tahun 1942.

Dikatakan ayahanda beliau, Habib Jaafar bin Ahmad al-Idrus, datang ke Singapura dari Purwarkarta dan menetap di Kota Singa itu selama beberapa tahun sekitar tahun 1930-an kemudian ayahanda beliau pulang ke Hadhramaut, Yaman pada tahun 1938.

Di Singapura, Habib Ali tinggal bersama ayahanda dan kekandanya, Habib Abdul Qadir bin Jaafar al-Idrus, di sebuah rumah di Arab Street.

Dikisahkan bahawa kekandanya menerima sambutan hangat dan menggalakkan ketika mula sampai ke Kota Singa. Habib Abdul Qadir  wafat di Purwakarta dan dimakamkan di sana.

Sekitar tahun 1942, Habib Ali bin Jaafar telah dibawa ayahandanya, Habib Jaafar bin Ahmad hijrah ke Batu Pahat, Johor. Ketika itu, Habib Jaafar tinggal di Jalan Abdul Rahman, berhampiran Jalan Sultanah, Batu Pahat (dikatakan beliau menetap di Batu Pahat sekitar lapan tahun). Namun, Habib Jaafar kembali semula ke kampung halamannya Hadhramaut. Beliau wafat di sana pada tahun 1976 di kota Tarim.

Jenazahnya dimakamkan di Pemakaman Zanbal, berdekatan dengan makam datuknya, Habib Abdullah al-Idrus.

Dikatakan Habib Ali tinggal di sekitar Jalan Bukit Pasir pada awalnya. Kemudian berpindah ke kawasan penempatan berhampiran Sekolah Kebangsaan Temenggung Ibrahim, Penggaram dan akhirnya menetap di Kampung Solok Wan Moh hingga akhir usia.

Kehidupannya sangat zuhud dan sederhana.

Makan dan minumnya pun sekadar cuma. Bahkan beliau sangat menjaga sumber dari mana dan apa sahaja yang meragukannya.

Hidupnya yang seolah-olah tiada apa, maka tiada siapa yang memberi perhatian padanya. Tiada siapa yang menumpu pada sosok dirinya.

Hinggalah sebahagian besar murid Syeikh Umar Khatib Singapura, datang menziarahinya atas nasihat guru mereka.

Dikatakan bermula detik itu, beliau dikenali dan sering dikunjungi alim ulama mahupun orang biasa, tidak putus-putus bertamu ke rumahnya.

Beliau sering menjadi tempat mengadu pelbagai masalah. Menjadi tumpuan orang ramai sama ada masyarakat setempat, dari Nusantara mahupun negara-negara Arab.

Apabila berkunjung ke Malaysia, mereka akan meluangkan masa untuk mengunjunginya, demi mendapatkan mutiara nasihat dan keberkahan dari sosok yang jiwa dan raganya ini senantiasa bergantung kepada Allah SWT dan Rasulullah s.a.w.

Di antara kalam nasihat yang pernah beliau sampaikan, “Allah SWT adalah Kholiq (Pencipta).

Manusia hanyalah makhluk. maka, manusia harus mematuhi apa pun perintah Sang Maha Pencipta. Bukan Sang Maha Pencipta yang mematuhi perintah manusia.”


Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki, kebiasaannya pasti akan menziarahi Habib Ali di Batu Pahat pada tiap kali berkunjung ke Malaysia.

Dikisahkan pada perjumpaan terakhirnya bersama Habib Ali,  Sayyid Muhammad al-Maliki berkata, dia meyakini bahawa Habib Ali adalah seorang yang diberi anugerah besar disisi Allah di daerahnya ini.

Sebelum pulang, Sayyid Muhammad al-Maliki pun mengarang sebuah qashidah untuknya yang menggambarkan sifat-sifat mulia Habib Ali bin Jaafar al-Aydrus.

Pernah suatu ketika, Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki rahimahullah mengunjungi Habib Ali.

Sepanjang perjalanan, Sayyid Muhammad berbicara tentang perihalnya yang merindui Baginda Rasulullah s.a.w. Ketika sampai di kediaman beliau, sekalian  tetamu tidak diperkenankan masuk, kecuali Sayyid Muhammad al-Maliki.

Mereka berdua masuk bersama dalam jangka masa yang agak lama, lalu keluarlah Sayyid Muhammad al-Maliki dengan linangan air mata yg bercucuran, seraya berkata: "Hajat saya sudah terkabul...terkabul.., sambil menutup wajahnya dengan linangan air mata".

Antara Ulama yang pernah mengunjungi beliau ialah:

Habib Zein bin Ibrahim bin Semith dari Madinah,

Habib Salim bin Abdullah asy-Syatiri (Hadramaut),

Habib Umar bin Hafidh (Hadramaut),
Habib Anis bin Alwi al-Habsyi dari Solo dan tokoh habaib serta ulama lainnya.

Hidupnya menuruti apa yang disabdakan Baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang yang hanya bermusafir." Demikian kehidupan Habib Ali bin Jaafar sedari awal, istiqomah dengan kezuhudan dan kesederhanaan hingga bertemu dengan Tuhan.

Hidupnya amat sederhana. Tiada pernah memiliki kediaman mewah, mahupun harta, melainkan hanya mendiami rumah sewa hingga hujung usia.

Walau sering ditawarkan oleh sekalian pencintanya, agar dibinanya kediaman yang lebih selesa, namun tiada pernah beliau terima.


Cukuplah sekadar apa yang ada, kerana kediaman sebenar, bukan di dunia. Rutin hariannya dipenuhi dengan beribadah dan menghambakan diri pada Yang Maha Esa.

Hatinya begitu lunak dan santun. Tutur katanya sopan dan lembut. Tiada beliau berkata-kata dengan wanita, melainkan kaum kerabat yang terdekat. Jalannya sentiasa menunduk, penuh tawaduk, merendah diri, tidak meninggi. Tiada dipandang perempuan kanan mahupun yang kiri.

Sangat memuliakan tetamu. Tiadalah beliau duduk, melainkan setelah tetamunya duduk dan beliau sendiri yang akan mengiringi mereka hingga ke muka pintu, ketika mereka hendak pulang. Beliau tidak mahu tumbuh walau sedikit, rasa kecewa di hati orang yang mengunjunginya.



Di rumahnya yang amat sederhana, kecil, dan sempit itu, senantiasa muliakan tiap tamu yang datang. Beliau menerima siapa sahaja yang tiba, dengan penerimaan yang menyenangkan, tanpa dipedulikan rupa yang bagaimana, apalagi harta benda mereka.

Berjumpa dengan sosok tubuh insan mulia yang tenang dan bersahaja itu, hati pun terasa menjadi lapang dan tenang.

Meski hidupnya sederhana, hampir tiap tamu yang datang, pasti beliau berikan wang.

Jumlahnya terkadang tidak sedikit. Jika mereka berkunjung pada waktu makan, tidak mungkin tamunya diizinkan pulang sebelum mereka menikmati hidangan bersamanya.

Sifat rendah hatinya kepada setiap tamunya amat mengagumkan. Sebelum mereka pulang, orang semulia dirinya, meminta pula doa dari mereka.

Habib Ali bin Jaafar al-Idrus telah menemui Penciptanya sekitar jam 5.10 atau 5.15 petang Khamis,  28 Jamadil Awal 1431, bersamaan 13 Mei 2010 di rumahnya, Kampung Solok Wan Moh, Batu Pahat.

Batu Pahat dan seluruh alam buana sugul dan suram atas pemergian sebutir bintang yang menyinari alam.

 Ahwalnya sentiasa menjadi tauladan, semasa hayatnya mahupun setelah kewafatannya. Moga kekal ia sebagai pedoman, petunjuk dan panduan buat sekalian insan.

Dari saat kewafatan beliau, tiadalah putus-putus dikunjungi ribuan manusia dari segala penjuru dan lapisan masyarakat, terutama dari Malaysia, Singapura, dan Indonesia. Begitu juga bacaan Al-Quran, Yaasin, dan tahlil,  tiada putus-putusnya dibacakan hingga selesai segala urusan sekitar jam 9.30 pagi Jumaat.

Jenazahnya disolatkan sebanyak dua kali. Pertama, sebagaimana wasiatnya, disolatkan di dalam rumah, di imami Habib Abdullah bin Alwi bin Muhammad al-Idrus, dan kedua di luar rumah, dengan berimamkan Habib Hasan bin Muhammad bin Salim Al-Attas.

Jenazahnya kemudian dimakamkan sebelum solat Jumaat, 29 Jamadil Awal 1431 H bersamaan 14 Mei 2010, di Tanah Pekuburan Islam Bukit Cermai, Batu Pahat, Johor, Malaysia.

Semasa pengkebumian Beliau, Bandar Batu Pahat sesak teruk dengan kerjasama Polis Trafik, Kesesakan dapat dikawal

Beberapa Pembesar dari dalam dan luar Negara hadir semasa Kewafatan beliau

Moga Allah limpahi rahmat ke atas rohnya dan ditempatkannya bersama para Nabi-Nya, Syuhada dan Solihin.

al-faqir catatkan nukilan ini, sebagaimana yang al-faqir dengarkan daripada Putra beliau, Sayyid Omar dan cucunda beliau Sayyid Muhammad bin Sayyid Omar, juga daripada guru al-faqir yang mulia, Ustaz Abu Zaki bin Yusof as-Sanggafuri serta beberapa individu setempat, kaum kerabat dan juga beberapa catatan yang sedia ada di pelbagai medium

Wallahu a'lam

#BatuPahatBumiKeramat




Catatan tambahan:

SECEBIS KISAH HABIB ALI BIN JAAFAR AL-IDRUS R. A.

Pernah al-faqir ke Masjid Jamek Kampung Patah Pedang, Minyak Beku, sambil mencicip juadah yang dihidangkan, salah seorang jemaah menceritakan perihal seorang juru terbang yang memeluk Islam.

Dikisahkan bahawa laluan penerbangannya antara Bangkok dan Singapura. Suatu hari, dia ternampak cahaya dari bumi, ke udara. Ia sangat menakjubkan. Suatu perkara luar jangka, tidak boleh diterima adat biasa.

Dengan teknologi yang ada, beliau simpan dan rakamkan koordinatnya supaya dapat dicari mana punca datang cahaya.

Setelah mendarat dengan selamat, selang beberapa ketika, bermulalah pencariannya, pada lokasi muncul cahaya. Allah telah membawa dia ke rumah Habib Ali yang mulia, di Kampung Solok Wan Moh, Batu Pahat.

Hairan pada fikiran, bagaimana muncul cahaya cemerlang dari rumah yang kelihatan sederhana seperti tiada yang istimewa. Hal demikian ditakdirkan Tuhan, berlaku pada hujung-hujung kehidupan Habib Ali yang penuh kemuliaan. Habib sudah sering gering dan pada waktu itu, Habib berada di rumah anakandanya. Si Juru Terbang, hanya tinggalkan nombor telefon untuk dihubungi bila Habib sudah pulang.

Suatu ketika yang lain, dia bawa kapal terbang dari Bangkok ke Singapura. Kali ini,  penumpangnya kebanyakan datang dari Arab Yaman. Berjubah dan berserban.

Setelah selamat mendarat, dia menerima panggilan dari Batu Pahat. Disampaikan berita, wafatnya tuan Habib yang tercinta. Lantas dia bergegas ke Batu Pahat.

Alangkah terperanjat, sekalian penumpang kapal terbang, turut berada di rumah Habib yang mulia. Bermain lagi pada benaknya. Insan ini pasti istimewa.

Masakan bisa sekejap cuma khabar boleh sampai melata memberitahu kewafatannya.

Hatinya semakin nekad untuk lafaz syahadat setelah diberi hidayat oleh Tuhan pengurnia nikmat.

Akhirnya, dia mengucap dua kalimah syahadat setelah Habib tercinta wafat bertemu Yang Maha Esa.

Wallahu a'lam.

Moga Allah cucuri rahmat buat Habib Ali bin Jaafar bin Ahmad bin Abdul Qadir bin Salim al-Idrus rahimahullah Taala 'anhu.

#BatuPahatBumiKeramat