BATU PAHAT
Habib Ali bin Jaafar bin Ahmad bin Abdul Qodir bin Salim al-Idrus, seorang wali Allah yang dikasihi dan dicintai sekalian ummah, dilahirkan di Purwarkarta, Jawa Barat, pada tahun 1919.
Beliau mendirikan rumah tangga bersama Syarifah Alawiyah binti Sayyid Ahmad al-Idrus (wafat pada 19 Zulkaedah 1361 bersamaan tahun 1952 dalam usia 33 tahun) dan dikurniakan enam orang cahaya mata. Sayyid Abdul Qadir (wafat sewaktu kecil -22 Februari 1951-), Syarifah Zahrah (juga wafat semasa kecil -1954-), Syarifah Khadijah, Sayyid Muhammad, Sayyid Omar dan Sayyid Husen.
Sekitar tahun 1926, iaitu ketika beliau berumur tujuh tahun, beliau tiba di Singapura.
Namun cuma seketika, lalu kembali semula ke Indonesia. Kemudian, sekitar tahun 1929, beliau sekali lagi menjejakkan kaki ke Singapura dan menetap di sana hingga tahun 1942.
Dikatakan ayahanda beliau, Habib Jaafar bin Ahmad al-Idrus, datang ke Singapura dari Purwarkarta dan menetap di Kota Singa itu selama beberapa tahun sekitar tahun 1930-an kemudian ayahanda beliau pulang ke Hadhramaut, Yaman pada tahun 1938.
Di Singapura, Habib Ali tinggal bersama ayahanda dan kekandanya, Habib Abdul Qadir bin Jaafar al-Idrus, di sebuah rumah di Arab Street.
Dikisahkan bahawa kekandanya menerima sambutan hangat dan menggalakkan ketika mula sampai ke Kota Singa. Habib Abdul Qadir wafat di Purwakarta dan dimakamkan di sana.
Sekitar tahun 1942, Habib Ali bin Jaafar telah dibawa ayahandanya, Habib Jaafar bin Ahmad hijrah ke Batu Pahat, Johor. Ketika itu, Habib Jaafar tinggal di Jalan Abdul Rahman, berhampiran Jalan Sultanah, Batu Pahat (dikatakan beliau menetap di Batu Pahat sekitar lapan tahun). Namun, Habib Jaafar kembali semula ke kampung halamannya Hadhramaut. Beliau wafat di sana pada tahun 1976 di kota Tarim.
Jenazahnya dimakamkan di Pemakaman Zanbal, berdekatan dengan makam datuknya, Habib Abdullah al-Idrus.
Dikatakan Habib Ali tinggal di sekitar Jalan Bukit Pasir pada awalnya. Kemudian berpindah ke kawasan penempatan berhampiran Sekolah Kebangsaan Temenggung Ibrahim, Penggaram dan akhirnya menetap di Kampung Solok Wan Moh hingga akhir usia.
Kehidupannya sangat zuhud dan sederhana.
Makan dan minumnya pun sekadar cuma. Bahkan beliau sangat menjaga sumber dari mana dan apa sahaja yang meragukannya.
Hidupnya yang seolah-olah tiada apa, maka tiada siapa yang memberi perhatian padanya. Tiada siapa yang menumpu pada sosok dirinya.
Hinggalah sebahagian besar murid Syeikh Umar Khatib Singapura, datang menziarahinya atas nasihat guru mereka.
Dikatakan bermula detik itu, beliau dikenali dan sering dikunjungi alim ulama mahupun orang biasa, tidak putus-putus bertamu ke rumahnya.
Beliau sering menjadi tempat mengadu pelbagai masalah. Menjadi tumpuan orang ramai sama ada masyarakat setempat, dari Nusantara mahupun negara-negara Arab.
Apabila berkunjung ke Malaysia, mereka akan meluangkan masa untuk mengunjunginya, demi mendapatkan mutiara nasihat dan keberkahan dari sosok yang jiwa dan raganya ini senantiasa bergantung kepada Allah SWT dan Rasulullah s.a.w.
Di antara kalam nasihat yang pernah beliau sampaikan, “Allah SWT adalah Kholiq (Pencipta).
Manusia hanyalah makhluk. maka, manusia harus mematuhi apa pun perintah Sang Maha Pencipta. Bukan Sang Maha Pencipta yang mematuhi perintah manusia.”
Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki, kebiasaannya pasti akan menziarahi Habib Ali di Batu Pahat pada tiap kali berkunjung ke Malaysia.
Dikisahkan pada perjumpaan terakhirnya bersama Habib Ali, Sayyid Muhammad al-Maliki berkata, dia meyakini bahawa Habib Ali adalah seorang yang diberi anugerah besar disisi Allah di daerahnya ini.
Sebelum pulang, Sayyid Muhammad al-Maliki pun mengarang sebuah qashidah untuknya yang menggambarkan sifat-sifat mulia Habib Ali bin Jaafar al-Aydrus.
Pernah suatu ketika, Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki rahimahullah mengunjungi Habib Ali.
Sepanjang perjalanan, Sayyid Muhammad berbicara tentang perihalnya yang merindui Baginda Rasulullah s.a.w. Ketika sampai di kediaman beliau, sekalian tetamu tidak diperkenankan masuk, kecuali Sayyid Muhammad al-Maliki.
Mereka berdua masuk bersama dalam jangka masa yang agak lama, lalu keluarlah Sayyid Muhammad al-Maliki dengan linangan air mata yg bercucuran, seraya berkata: "Hajat saya sudah terkabul...terkabul.., sambil menutup wajahnya dengan linangan air mata".
Antara Ulama yang pernah mengunjungi beliau ialah:
Habib Zein bin Ibrahim bin Semith dari Madinah,
Habib Salim bin Abdullah asy-Syatiri (Hadramaut),
Habib Umar bin Hafidh (Hadramaut),
Habib Anis bin Alwi al-Habsyi dari Solo dan tokoh habaib serta ulama lainnya.
Hidupnya menuruti apa yang disabdakan Baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang yang hanya bermusafir." Demikian kehidupan Habib Ali bin Jaafar sedari awal, istiqomah dengan kezuhudan dan kesederhanaan hingga bertemu dengan Tuhan.
Hidupnya amat sederhana. Tiada pernah memiliki kediaman mewah, mahupun harta, melainkan hanya mendiami rumah sewa hingga hujung usia.
Walau sering ditawarkan oleh sekalian pencintanya, agar dibinanya kediaman yang lebih selesa, namun tiada pernah beliau terima.
Cukuplah sekadar apa yang ada, kerana kediaman sebenar, bukan di dunia. Rutin hariannya dipenuhi dengan beribadah dan menghambakan diri pada Yang Maha Esa.
Hatinya begitu lunak dan santun. Tutur katanya sopan dan lembut. Tiada beliau berkata-kata dengan wanita, melainkan kaum kerabat yang terdekat. Jalannya sentiasa menunduk, penuh tawaduk, merendah diri, tidak meninggi. Tiada dipandang perempuan kanan mahupun yang kiri.
Sangat memuliakan tetamu. Tiadalah beliau duduk, melainkan setelah tetamunya duduk dan beliau sendiri yang akan mengiringi mereka hingga ke muka pintu, ketika mereka hendak pulang. Beliau tidak mahu tumbuh walau sedikit, rasa kecewa di hati orang yang mengunjunginya.
Di rumahnya yang amat sederhana, kecil, dan sempit itu, senantiasa muliakan tiap tamu yang datang. Beliau menerima siapa sahaja yang tiba, dengan penerimaan yang menyenangkan, tanpa dipedulikan rupa yang bagaimana, apalagi harta benda mereka.
Berjumpa dengan sosok tubuh insan mulia yang tenang dan bersahaja itu, hati pun terasa menjadi lapang dan tenang.
Meski hidupnya sederhana, hampir tiap tamu yang datang, pasti beliau berikan wang.
Jumlahnya terkadang tidak sedikit. Jika mereka berkunjung pada waktu makan, tidak mungkin tamunya diizinkan pulang sebelum mereka menikmati hidangan bersamanya.
Sifat rendah hatinya kepada setiap tamunya amat mengagumkan. Sebelum mereka pulang, orang semulia dirinya, meminta pula doa dari mereka.
Habib Ali bin Jaafar al-Idrus telah menemui Penciptanya sekitar jam 5.10 atau 5.15 petang Khamis, 28 Jamadil Awal 1431, bersamaan 13 Mei 2010 di rumahnya, Kampung Solok Wan Moh, Batu Pahat.
Batu Pahat dan seluruh alam buana sugul dan suram atas pemergian sebutir bintang yang menyinari alam.
Ahwalnya sentiasa menjadi tauladan, semasa hayatnya mahupun setelah kewafatannya. Moga kekal ia sebagai pedoman, petunjuk dan panduan buat sekalian insan.
Dari saat kewafatan beliau, tiadalah putus-putus dikunjungi ribuan manusia dari segala penjuru dan lapisan masyarakat, terutama dari Malaysia, Singapura, dan Indonesia. Begitu juga bacaan Al-Quran, Yaasin, dan tahlil, tiada putus-putusnya dibacakan hingga selesai segala urusan sekitar jam 9.30 pagi Jumaat.
Jenazahnya disolatkan sebanyak dua kali. Pertama, sebagaimana wasiatnya, disolatkan di dalam rumah, di imami Habib Abdullah bin Alwi bin Muhammad al-Idrus, dan kedua di luar rumah, dengan berimamkan Habib Hasan bin Muhammad bin Salim Al-Attas.
Jenazahnya kemudian dimakamkan sebelum solat Jumaat, 29 Jamadil Awal 1431 H bersamaan 14 Mei 2010, di Tanah Pekuburan Islam Bukit Cermai, Batu Pahat, Johor, Malaysia.
Semasa pengkebumian Beliau, Bandar Batu Pahat sesak teruk dengan kerjasama Polis Trafik, Kesesakan dapat dikawal
Beberapa Pembesar dari dalam dan luar Negara hadir semasa Kewafatan beliau
Moga Allah limpahi rahmat ke atas rohnya dan ditempatkannya bersama para Nabi-Nya, Syuhada dan Solihin.
al-faqir catatkan nukilan ini, sebagaimana yang al-faqir dengarkan daripada Putra beliau, Sayyid Omar dan cucunda beliau Sayyid Muhammad bin Sayyid Omar, juga daripada guru al-faqir yang mulia, Ustaz Abu Zaki bin Yusof as-Sanggafuri serta beberapa individu setempat, kaum kerabat dan juga beberapa catatan yang sedia ada di pelbagai medium
Wallahu a'lam
#BatuPahatBumiKeramat
Catatan tambahan:
SECEBIS KISAH HABIB ALI BIN JAAFAR AL-IDRUS R. A.
Pernah al-faqir ke Masjid Jamek Kampung Patah Pedang, Minyak Beku, sambil mencicip juadah yang dihidangkan, salah seorang jemaah menceritakan perihal seorang juru terbang yang memeluk Islam.
Dikisahkan bahawa laluan penerbangannya antara Bangkok dan Singapura. Suatu hari, dia ternampak cahaya dari bumi, ke udara. Ia sangat menakjubkan. Suatu perkara luar jangka, tidak boleh diterima adat biasa.
Dengan teknologi yang ada, beliau simpan dan rakamkan koordinatnya supaya dapat dicari mana punca datang cahaya.
Setelah mendarat dengan selamat, selang beberapa ketika, bermulalah pencariannya, pada lokasi muncul cahaya. Allah telah membawa dia ke rumah Habib Ali yang mulia, di Kampung Solok Wan Moh, Batu Pahat.
Hairan pada fikiran, bagaimana muncul cahaya cemerlang dari rumah yang kelihatan sederhana seperti tiada yang istimewa. Hal demikian ditakdirkan Tuhan, berlaku pada hujung-hujung kehidupan Habib Ali yang penuh kemuliaan. Habib sudah sering gering dan pada waktu itu, Habib berada di rumah anakandanya. Si Juru Terbang, hanya tinggalkan nombor telefon untuk dihubungi bila Habib sudah pulang.
Suatu ketika yang lain, dia bawa kapal terbang dari Bangkok ke Singapura. Kali ini, penumpangnya kebanyakan datang dari Arab Yaman. Berjubah dan berserban.
Setelah selamat mendarat, dia menerima panggilan dari Batu Pahat. Disampaikan berita, wafatnya tuan Habib yang tercinta. Lantas dia bergegas ke Batu Pahat.
Alangkah terperanjat, sekalian penumpang kapal terbang, turut berada di rumah Habib yang mulia. Bermain lagi pada benaknya. Insan ini pasti istimewa.
Masakan bisa sekejap cuma khabar boleh sampai melata memberitahu kewafatannya.
Hatinya semakin nekad untuk lafaz syahadat setelah diberi hidayat oleh Tuhan pengurnia nikmat.
Akhirnya, dia mengucap dua kalimah syahadat setelah Habib tercinta wafat bertemu Yang Maha Esa.
Wallahu a'lam.
Moga Allah cucuri rahmat buat Habib Ali bin Jaafar bin Ahmad bin Abdul Qadir bin Salim al-Idrus rahimahullah Taala 'anhu.
#BatuPahatBumiKeramat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan