AMALAN WUQUF QALBI : KONSEP, KEPENTINGAN DAN PRAKTIKNYA
MENURUT TAREKAT NAQSHABANDIYYAH KHALIDIYYAH
Oleh: Syed Hadzrullathfi bin Syed Omar
Pendahuluan
Perkataan wuquf dalam bahasa Arab adalah merujuk makna berhenti daripada berjalan atau bangun berdiri daripada duduknya, manakala perkataan qalbi pula berasal daripada perkataan qalb iaitu jantung, kemudian disandarkan kepada perkataan tersebutya’ nisbah bertujuan membangsakan perbuatan berhenti itu kepada jantung. Dari sudut istilah pula wuquf qalbi adalah sebagai satu simbolik dalam mengingati Allah (s.w.t.) sampai ke peringkat tidak menghiraukan pelbagai lintasan ingatan terhadap perkara lainNya.
Wuquf qalbi adalah merujuk dua perkara yang dilakukan oleh murid. Pertama, murid menghadirkan ingatan terhadap makna lafaz kalimah Allah yang disebut, iaitu ‘Dia (Allah) adalah Zat Yang Tidak Menyerupai sesuatu’. Perbuatan tersebut adalah bertujuan melenyapkan lintasan ingatan terhadap perkara selain daripada Allah.
Amalan Wuquf Qalbi
Amalan wuquf qalbi adalah satu daripada sebelas asas penting dalam Tarekat Naqshabandiyyah yang menjadi garis panduan utama bagi para murid untuk mencapai matlamat ma`rifah Allah. Lapan daripada sebelas asas tersebut telah diketengahkan oleh Shaykh `Abd al-Khaliq al-Ghujdawani (m.575H), manakala tiga asas lagi disempurnakan oleh Shaykh Baha’ al-Din Naqshaband (m.791H). Artikel ini cuba mencungkil secara khusus konsep amalan tersebut sebagaimana ditonjolkan oleh para tokohnya, untuk melihat aspek kepentingan amalan itu dalam institusi tarekat berkenaan. Di samping itu, artikel ini juga cuba mengenal pasti bentuk praktiknya dalam institusi Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah di Malaysia kini untuk melihat aspek persamaan dan perbezaan atau pembaharuan yang berlaku apabila dibandingkan dengan para tokoh Naqshabandiyyah silam. Sempena menyambut kedatangan hari raya Aidilfitri yang mulia tahun ini, penulis dengan rendah diri menghadiahkan artikel kecil ini untuk tatapan rohani para ikhwan, dengan harapan pelbagai mutiara berharga yang terdapat padanya boleh dijadikan panduan dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.
Kedudukan Amalan Wuquf Qalbi Dalam Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah
Amalan wuquf qalbi adalah satu asas yang telah diperkenalkan oleh Shaykh Baha’ al-Din Naqshaband. Beliau menyifatkan bahawa wuquf qalbi merupakan satu syarat yang wajib kerana ia adalah merupakan maksud tujuan setiap amalan zikir. Tanpanya amalan zikir yang dilaksanakan adalah tidak lebih menjadi suatu pergerakan lidah atau hati yang menyebut-nyebut lafaz zikir yang tidak mendatangkan faedah kepada pengamalnya. Oleh sebab itu, wuquf qalbi semestinya wujud sepanjang waktu berzikir dilangsungkan dan juga dalam semua aktiviti yang dilakukan di luar waktu zikir. Jika diteliti, wuquf qalbiyang juga diistilahkan oleh sesetengah tokoh Naqshabandiyyah sebagai al-hudur, al-shuhud, al-wusul dan al-wujud, adalah satu amalan berkait rapat dengan pelbagai asas lain yang telah diketengahkan oleh Shaykh `Abd al-Khaliq al-Ghujdawani sebelum kedatangan Shaykh Baha’ al-Din.
Semua istilah tersebut mengandungi pengertian tersendiri dan ia juga merupakan pelbagai adab yang perlu dipenuhi oleh seseorang murid bagi mencapai matlamat mengenal Allah menurut keyakinan mereka. Asas-asas yang dimaksudkan itu ialah pertama; murid hendaklah mengingati Allah (hudur) dalam setiap hembusan nafas (hush dardam); kedua akal dan fikirannya pula tidak dipenuhi dengan perkara selain Allah (nazar bar qadam); ketiga berubah daripada sifat tercela kepada sifat terpuji (safar dar watan); keempat hati hendaklah sentiasa hudur serta Allah walaupun sewaktu bergaul dalam masyarakat (khalwah dar anjuman); kelima berkekalan berzikir dengan bentuk zikir yang ditetapkan (yad kard); keenam hendaklah sentiasa bermunajat kepada Allah dengan satu doa khas iaitu Ilahi Anta maqsudi wa ridaka matlubi (bazkusht); ketujuh memelihara hati daripada sebarang bentuk lintasan ingatan selain Allah (nakah dashat); kelapan hendaklah berkekalan hudur serta Allah tanpa paksaan (yad dashat). Manakala dua asas lain yang pernah diperkenalkan oleh Shaykh Baha’al-Din Naqshaband selainwuquf qalbi ialah wuquf zamani dan wuquf `adadi. Maksud wuquf zamani ialah seseorang murid hendaklah sentiasa memeriksa hal dirinya dalam tempoh setiap satu atau dua jam, sama ada ia berada dalam keadaan mengingati Allah atau sebaliknya. Wuquf `adadi pula ialah seseorang murid yang melaksanakan amalan zikir nafi ithbat hendaklah melakukannya dalam bilangan ganjil.
Merujuk pelbagai asas di atas, boleh dikatakan kesemuanya dibentuk bertujuan menyempurnakan tuntutan wuquf qalbi yang dimaksudkan itu. Hal demikian adalah kerana wuquf qalbi mengandungi makna berkekalan mengingati Allah (dawam al-hudurma`a Allah). Oleh kerana itu, tidak hairanlah jika ia disimpulkan sebagai satu asas yang wajib dalam Tarekat Naqshabandiyyah.
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ
“(Ulul Albab ialah) orang-orang yang menyebut dan mengingati ALLAH semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi.”
رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
“(sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini (kejadian langit dan bumi serta semua kejadian) dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab api neraka.”
Berhadap kepada hati bukan bermakna murid membayangkan bentuk hati dalam khayalan lalu berhadap kepadanya. Dengan lain perkataan, deria mata, telinga, bau, rasa dan deria sentuhan seolah-olah memberi tumpuan kepada hal kelakuan hati yang sedang melangsungkan amalan zikir, serta memutuskan hubungan ingatan terhadap perkara lain.
Konsep Wukuf Qalbi
Perlu ditegaskan bahawa, konsep berkekalan wuquf qalbi atau hudur al-qalb menurut para tokoh Naqshabandiyyah, bukan bermaksud tidak wujud satu pun lintasan ingatan terhadap perkara selain Allah dalam hati murid sepanjang waktu. Sebaliknya apa yang dimaksudkan ialah, ingatan kepada Allah semata-mata mendominasi ingatan terhadap perkara lain. Seandainya wujud lintasan ingatan selain Allah sekalipun, kehadirannya tidak kekal bertapak di hati, malahan tidak mengganggu tumpuan ingatan murid kepada Allah. Hal berkaitan telah diakui sendiri oleh para tokoh Naqshabandiyyah silam seperti Shaykh `Ala’ al-Din al-`Attar (m.898H), Shaykh `Ubayd Allah ‘Ahrar dan al-Sirhindi yang menyifatkan bahawa tumpuan ingatan kepada Allah tanpa wujud satu pun lintasan selainNya adalah suatu perkara sukar, dan hanya boleh berlaku pada beberapa tempoh tertentu sahaja, bukan tidak sepanjang masa
Amalan Wuquf Qalbi Suatu Teknik Penghayatan Tauhid
Penghayatan amalan wuquf qalbi yang digandingkan bersama-sama dengan zikir Allahatau La Ilaha Illa Allah, ia adalah dianggap sebagai suatu penghayatan permulaan yang mesti dicapai oleh para murid. Tanpanya, murid tidak mungkin mencapai matlamat untuk sampai kepada mengenal Allah. Hal ini kerana, tujuan teknik penghayatan tersebut adalah supaya tertanam dalam hati murid rasa yakin tentang wujud Allah S.W.T. yang tidak boleh digambarkan hakikat kewujudanNya dengan sesuatu apapun. Amalan tersebut jika diteliti, merupakan suatu penghayatan kepada firman Allah:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ البَصِير'
Maksudnya: Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya)Surah al-Shura (42)
Sebahagian petikan dari Tn Guru Dr. Hj Jahid Sidek
Tiada ulasan:
Catat Ulasan