.

.

Jumaat, 9 November 2018

AL-IMAM ABDULLAH MA CHANG QING

AL-IMAM ABDULLAH MA CHANG QING
Beliau merupakan seorang tuan guru besar di China. Beliau lahir pada tahun 1936 masihi. Beliau mula mempelajari ilmu agama ketika berumur 13 tahun. Beliau berguru dengan bapanya sendiri yang merupakan salah seorang ulama masyhur di sana sehingga beliau menjadi seorang alim. Pada waktu siang beliau mencari rezeki dengan membaiki jam dan pada waktu malam beliau sibukkan diri dengan mengajar.

Sehinggalah pada tahun 80-an, apabila beliau dilantik menjadi imam besar di Masjid Dongguan (salah satu masjid terbesar di China), beliau telah mewakafkan seluruh hidupnya untuk menyebarkan ilmu agama siang dan malam tanpa mengenal musim sejuk mahupun panas. Masjid itulah madrasahnya dan masjid itu jugalah tempat tinggalnya. Beliau mempunyai himmah (semangat) yang tinggi dalam mengajar. Pada tahun 2001, beliau telah pergi menunaikan haji. Sekembalinya daripada tanah suci, beliau terus memulakan kembali kuliahnya pada hari yang sama sedangkan beliau masih belum pulang ke rumah keluarganya.
Beliau telah berjaya melahirkan ribuan alim dan da'i di China. Kebanyakan asatizah madrasah di sana adalah anak murid beliau. Beliau telah mengajar kitab Raddul Muhtar atau nama lainnya Hasyiah Ibn 'Abidin (kitab fiqh hanafi berbelas-belas jilid) dan telah mengkhatamkannya berpuluh kali. Antara kitab lain yang diajarkannya ialah Ihya' 'Ulumiddin (tasawwuf), al-'Aqaid al-Nasafiyyah (aqidah), Mukhtasar al-Ma'ani karangan al-Taftazani (balaghah), Hasyiah al-'Isam 'Ala Syarh al-Kafiyah (nahu) dan lain-lain.
Di samping mengajar, beliau juga memegang beberapa jawatan penting dalam persatuan komuniti muslim di sana. Beliau juga merupakan seorang pemimpin masyarakat yang suaranya didengari dan ditaati oleh seluruh kaum muslimin di China. Pada tahun 2006, telah berlaku gempa bumi di sana. Beliau telah menyeru masyarakat muslim di sana untuk menghulurkan sumbangan. Jumlah sumbangan yang terkumpul ketika itu ialah kira-kira 1 juta USD.
Pada hari Isnin, 16/7/2018, iaitu dalam usia 83 tahun, beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dan meninggalkan dunia yang fana ini. Dikatakan bahawa jenazahnya diiringi oleh 300000 orang yang terdiri daripada para alim ulama, da'i, penuntut ilmu dan pencinta beliau. Semoga Allah merahmati beliau dan mengurniakan sebesar-besar ganjaran kepada beliau.

جنازة عبد الله ما جانغ جينغ أمام المسلمين فى الصين


Tiada ulasan:

Catat Ulasan