.

.

Selasa, 3 Disember 2019

Mu'alim, Muadib, Murabbi, Mursyid

Mu'alim, Muadib, Murabbi, Mursyid





Mu'alim yaitu pengajar yang mencurahkan ilmu pengetahuan untuk anak didiknya. Seorang mu'allim lebih memfokuskan kepada ilmu akal. Sebagai guru yang bersifat mu'allim, isi kandungan pendidikan perlu disampaikan berserta ilmu yang berkaitan dengan nilai-nilai murni dalam proses melahirkan insan bermoral.

Murabbi bermaksud yang lebih luas melebihi tahap mu'allim. Konsep Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan saja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama mencoba mendidik rohani, jasmani, fisik dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari. 
Guru murabbi lebih memfokuskan penghayatan sesuatu ilmu, sekaligus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya. Tugas murabbi lebih berlegar di hati. Membimbing kerohanian yang dapat dibentuk di dalam diri murid-murid karena pengajaran berbentuk pendidikan jiwa diperkukuhkan dengan memberi kesedaran, keyakinan dan juga melalui amalan.
Mu'addib (Ta'dib) berasal dari perkataan adab yaitu budi pekerti. Mu'addib juga membawa maksud yang hampir kepada istilah rabitha guru (contoh ikutan kepada amalan yang baik dari guru). Mu'addib adalah pemupuk adab, akhlak, nilai atau proses pembentukan disiplin. Peranan mu'addib adalah menyiapkan mu'addab yang dapat melaksanakan pekerjaan-pekerjaan berat yang diletakkan di atas bahu mereka. Mu'addib mempunyai budi pekerti yang tinggi, membina kecerdasan akal dan jasmani selaras dengan falsafah yang menitik beratkan potensi insan bermoral dan berakhlak mulia secara seimbang.
Mursyid bermaksud seseorang yang pakar dalam memberi petunjuk terutama dalam bidang kerohanian. Mursyid secara istilahnya merupakan mereka yang bertanggungjawab memimpin dan membimbing perjalanan rohani murid untuk sampai kepada Allah SWT dalam proses tarbiah serta dsiplin ilmu yang teratur. Mursyid bertanggungjawab untuk mengajar dari sudut dhohir (syariat) dan makna (batin). Tugas membentuk kepimpinan insan merupakan tugas yang berat dan perlu dilaksanakan oleh guru.
Perkataan mursyid berasal dari bahasa arab, dari kata irsyada,yaitu memberi petunjuk. Dalam arti kata lain, mursyid berarti seseorang yang pakar dalam memberi petunjuk terutama dalam bidang kerohanian.

Mursyid secara istilahnya (menurut kaum sufi), merupakan mereka yang bertanggungjawab memimpin murid dan membimbing perjalanan rohani murid untuk sampai kepada Allah SWT dalam proses tarbiah yang teratur, dalam bentuk tarekat sufiyah.

Para mursyid dianggap golongan pewaris Nabi SAW dalam bidang pentarbiah umat dan pemurnian jiwa mereka (tazkiyatun nafs), yang mendapat izin irsyad (izin untuk memberi bimbingan kepada manusia) dari para mursyid mereka sebelum mereka, yang mana mereka juga mendapat izin irsyad dari mursyid sebelum mereka dan seterusnya, sehinggalah silsilah izin irsyad tersebut sampai kepada Rasulullah SAW (tanpa terputus turutannya).
Wallahu A'lam
Petikan daripada https://www.kompasiana.com

Jumaat, 18 Oktober 2019

Siapakah itu Sufi? ~ Al-Habib Umar bin Hafidz




Sipakah itu Sufi ?

Sufi adalah orang yang pernah mencapai natijah dari pengamalan yang baik dan sifat sifat yang baik yang sesuai apa yg telah diperentah oleh Allah SWT dan Rasul SAW secara zaouk secara cita rasa dan secara hakikatnya itulah Sufi, tidaklah disebut sebagai seorang Sufi kecuali siapa saja yang telah mencapai kepada derajat dalam ainul yaqin, telah bersabda Nabi Muhammad SAW ihsan adalah kamu menyembah Allah SWT seperti kamu melihatnya, jika kamu tidak dapat mencapainya pastikan bahwa Allah melihat kamu dan siapa yang melaksanakan daripada perjalanan tersebut di dalam perjalanan mereka kemudian secara bersunguh-sungguh tetapi tidak mencapai derajat Ainul yaqin maka dia adalah orang yang baru belajar daripada tasauf, barangsiapa yg mereka telah sempurna didalam kesunguhan mujahadahnya mengikuti perjalanan Sufi, mereka itu orang yang baru meyerupai orang Sufi, telah bersabda Nabi Muhammad SAW barangsiapa menyerupai sesuatu kaum maka dia juga meyerupai orang itu, bagi mereka yang dekat dengan mereka itu dan mencintaii mereka itu, serta mengikuti pejalanan mereka itu di katakan sebagai mutasyabbih.


 Al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz




Al Imam Ghazali ra

“Ilmu dan amalan tarekat Tasawuf adalah ilmu rasa (zauq) yang hanya dapat dicapai dengan cara merasa (berterusan berzikrullah) dan jalan ‘uzlah (bersuluk) sahaja. Ianya tidak akan dapat dicapai dengan jalan mendengar dan ta’lim (belajar) seperti ilmu hadis, ilmu kalam, ilmu tauhid, ilmu tafsir dan lain-lain.”

Al Imam Ghazali ra




                               





Tariqat Sufiyyah

Tariqat Sufiyyah


Soalan :Adakah tariqat itu dianjurkan oleh syarak atau tidak? 

Jawapan :Tasawuf yang sebenar ialah berusaha untuk memilih akhlaq sepertimana akhlaq RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam di dalam amalan, percakapan dan segala tindakan serta berpegang teguh dengan apa yang disampaikan oleh syarak iaitu dengan cara mematuhi segala perintah , menjauhi segala larangan dan menyerah diri kepada ketentuan qadha' dan qadar. Ahli tasawuf yang benar ialah seorang yang tidak beramal dengan sesuatu yang bercanggah dengan aula (utama) disamping menjauhkan diri daripada perkara haram dan makruh.Dan ahli tasawuf juga tidak menjadikan tasawuf sebagai sumber rezeki dan kehidupan serta tidak menggunakan helah atau mengeluarkan kata-kata melebihi had yang dibenarkan oleh syarak. Dia juga tidak berhasad dengan dan membenci melainkan kerana ALLah dan menghadapi kejahatan dengan kebaikan.Sekiranya sesuatu tariqat bersifat seperti di atas maka ia di kira termasuk di dalam syariat kerana ia berakhlaq dengan apa yang disebut tadi, contohnya : ahli tariqat itu mengeluarkan kata-kata yang tidak diperakui oleh syariat atau berlebih-lebih atau menyifatkan imam-imam tasawuf dengan sifat-sifat yang berlebihan seperti menganggap mereka itu sehingga melebihi taraf sebagai seorang manusia, atau mengambil kesempatan daripada tasawuf untuk mengaut harta dan sumber pendapatan hidup atau malas untuk bekerja sehingga dia bergantung kepad aorang ramai, maka tasawuf seperti ini adalah satu kejahilan. Adakala ia membawa kepada kesesatan dan bukannya tasawuf yang digariskan oleh syarak.Di antara syarat-syarat yang mesti dimiliki oleh ahli tariqat adalah seperti berikut :a. Ahli tariqat mestilah 'alim (pakar) dengan ilmu fiqh dan syariat Islam atau sentiasa belajar dengan alim ulama.b. Di hendaklah beramal dengan ilmunya.d. Dia hendaklah melazimi adab-adab Islame. Dia sentiasa mendampingi orang-orang soleh untuk mencontohi mereka.Sekiranya dia tidak memiliki satu sahaja daripada syarat-syarat di atas, maka dia bukanlah seorang sufi yang sebenar. Manakala pertanyaan mengenai hukum memukul-mukul badan dengan tombak atau pedang, memamah kaca dan memegang ular-ular berbisa. Sekiranya perlakuan itu berlaku daipada seorang lelaki yang bertaqwa, ahli ibadah dan solah, maka tidaklah menjadi tegahan sekiranya dianggap sebagai karomah atau kemuliaan daripada ALlah ta'ala.Sekiranya lelaki itu tidak bertaqwa atau cuai daripada melaksanakan syariat, maka perkara itu dikira sebagai istidraj - yang mana ALLah subhanahu wa ta'ala memberinya perkara seperti itu supaya dia menjadi bertambah tertipu dengan dirinya sendiri, kerana dia merasakan sudah mencapai peringkat orang soleh sedangkan realitinya adalah sebaliknya.Kemungkinan juga perkara-perkara itu boleh dihasilkan melalui kebiasaan dan latihan sepertimana ia terjadi pada kebanyakan orang-orang kafir. Penghuraiannya secara detail akan didatangkan selepas ini.


Image result for dr ali jumaah
Prof DR Ali Juma'ah


Menurut pendapat Prof Dr Ali Jum'ah (Mufti Mesir) apabila ditanyakan mengenai tarekat sufi dan tasawuf. Maka beliau telah mengatakan begini :


Jawapan :Tasawuf adalah kaedah pendidikan kerohanian dan perilaku yang membentuk seorang Muslim hingga mencapai tingkat ihsan, yang didefinisikan oleh Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam yang bererti :" Bahawa kamu menyembah ALLah subahanahu wa ta'ala seakan-akan kamu melihat-Nya, jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat kamu." (Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, vol 1m hlmn 27; Bukhari, Sohih Bukhari, vol 1, hlmn 27; dan Muslim, Sohih Muslim, vol 1, hlmn 37).Jadi tasawuf adalah program pendidikan yang menumpukan perhatian kepada pembersihan jiwa manusia daripada seluruh penyakit-penyakitnya yang menjauhkan manusia dari ALLah subahanahu wa ta'ala dan membetulkan kelakuan dan perilaku yang menyimpang dalam segala hal yang berkaitan dengan hubungan manusia dengan ALlah subahanahu wa ta'ala, hubungan sesama manusia dan dengan ego diri. Tarekat tasawuf adalah lembaga yang melaksanakan pembersihan jiwa dan pelurusan perilaku tersebut. Manakala syeikh adalah khadim atau ustaz yang bertugas melakukan hal itu bersama penuntut atau murid.Jiwa manusia pada tabiatnya merupakan tempat yang di dalamnya terhimpun pelbagai penyakit-penyakit seperti sombong, 'ujub (bangga diri/bongkak), angkuh, egois, kikir (kedekut), marah, riya' (menunjuk-nunjuk), dorongan maksiat dan derhaka, hasrat memuaskan diri dan membalas dendam, benci, dengki, menipu, tamak, dan loba.ALLah subahanahu wa ta'ala berfirman dalam mengungkapkan perkataan isteri al Aziz (penguasa Mesir) yang bererti : "Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), sebab sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Yusuf:53)Oleh itu, orang-orang yang awal daripada para pendahulu kita bersikap arif dan cerdas memandang pentingnya pendidikan akhlaq dan membersihkan peribadi daripada penyakit-penyakit ego agar dapat berjalan selaras dengan masyarakat dan beruntung di dalam melangkah menuju Tuhannya.




Tarekat tasawuf mesti dilengkapi dengan beberapa syarat antara lain:Pertama : Berpegang teguh dengan al Quran dan Sunnah sebab tarekat tasawuf itu adalah kaedah al Quran dan Sunnah. Setiap perkara yang menyalahi al Quran dan Sunnah, maka bukan bahagian dari tarekat, bahkan tarekat sendiri menolak perkara itu dan melarangnya.Kedua : Tarekat tidak mengajarkan ajaran-ajaran yang terpisah dari syariat, tetapi ke arah mempersiapkan manusia menuju kepada intinya.


Tasawuf mempunyai tiga fenomena pokok yang seluruhnya dilandaskan di atas ajaran al Quran al Karim iaitu :1. Menumpukan perhatian terhadap keadaan jiwa, mengawasinya dan membersihkannya dari unsur tercela. ALlah subahanahu wa ta'ala berfirman yang bererti :"Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka ALLah subahanahu wa ta'ala mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasiqan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah bagi orang-orang yang mneyucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya, merugilah bagi orang-orang yang mengotorinya (jiwa itu)." (Surah Asy Syams :7-10)2. Banyak-banyaklah berzikir dan mengingat ALLah subahanahu wa ta'ala. ALLah subahanahu wa ta'ala berfirman yang bererti :"Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) ALLah subahanahu wa ta'ala, zikirlah sebanyak-banyaknya". (Surah al Ahzab : 41)Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :"Sentiasa basahkan lidahmu dalam berzikir mengingati ALlah subahanahu wa ta'ala (Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad vol 4, hlmn 188; Tirmidzi, Sunan Tirmidzi vol 5, hlmn 485; Ibnu Majah, Sunan Ibnu Majah, vol 2 hlmn 1246; Ibnu Hibban, Sohih Ibnu Hibban, vol 3, hlmn 96 ; dan Hakim, al Mustadrak, vol 1, hlmn 672)3. Zuhud terhadap dunia dan tidak bergantung dengannya, dan cinta terhadap akhirat. ALlah subahanahu wa ta'ala berfirman yang bererti :"Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka (kesenangan-kesenangan duniawi yang bersifat sementara dan tidaklah kekal). Dan, sesungguhnya negeri akhirat itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka, tidakkah kamu memahaminya?" (Surah al An'am :3

Adapun tentang syeikh yang menerangkan secara terperinci mengenai pelajaran zikir-zikir kepada para murid; membantu mereka di dalam membersihkan karenah-karenah (perilaku) jiwa dan sifat tercela dan menyembuhkan hati mereka dari penyakit-penyakit , maka dia adalah seorang 'pelayan' atau ustaz yang dapat melihat kaedah mana yang lebih sesuai dengan penyakit hati pada peribadi diri, keadaan tertentu, dengan murid atau penuntut.Dalil dari Hadith :Adalah merupakan Sunnah RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam memberikan nasihat kepada setiap manusia tentang apa yang mendekatkan dirinya kepada ALlah subahanahu wa ta'ala sesuai dengan keadaan dan konsep jiwa yang berbeza-beza. Seseorang datang kepada Baginda sallaLLahu 'alaihi wasallam bertanya :
"Wahai rasuluLLah, sampaikanlah kepadaku tentang perkara yang menjauhkan diriku dari kemarahan ALLah subahanahu wa ta'ala." Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam menjawab, "Janganlah marah!" (Hadith riwayat Bukhari, Sohih Bukhari, vol 5, hlmn 2267; dan Tirmidzi, Sunan Tirmidzi, vol 4 hlmn 371)
Seorang lelaki yang lain lagi datang kepada RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam dan berkata :
"Sampaikanlah kepadaku tentang perkara yang aku jadikan pegangan; Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam berkata kepadanya, "Sentiasalah basahkan lidahmu dengan berzikir kepada ALlah subahanahu wa ta'ala."(Hadith Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, vol 4, hlmn 188; Tirmidzi; Sunan Tirmidzi vol 5m hlmn 485; Ibnu Majah, vol 2, hlmn 1246; Ibnu Hibban. Sohih Ibnu Hibban, vol 3, hlm 96; dan Hakim, al Mustadrak, vol 1, hlmn 672)


Demikian juga, kehidupan para Sahabat radiyaLLahu anhu (semoga ALlah subahanahu wa ta'ala meredhai mereka). Di antara mereka ada yang memperbanyakkan solat malam, ada yang memperbanyakkan membaca al Quran, ada yang memperbanyakkan jihad, ada yang memperbanyakkan zikir dan ada yang memperbanyakkan sedekah.Ini semua tidak bererti mesti meninggalkan urusan dunia. Ada ibadah tertentu, yang diperbanyakkan oleh orang yang menempuh jalan kepada ALlah subahanahu wa ta'ala. Di atas penjagaan dan dasar itu, kita juga menyaksikan pintu-pintu syurga pun banyak dan bermacam-macam. Akan tetapi, pada akhirnya semua itu hanya tempat masuk yang banyak dan berbeza-beza, sedangkan syurga itu sendiri satu :
Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti:"Bagi setiap ahli (orang yang menekuni) suatu amal ada pintu dari pintu-pintu syurga yang dinamakan dengan amal tersebut. Dan bagi orang-orang yang berpuasa ada pintunya yang mereka akan dipanggil dari sana. Pintu itu disebut ar Rayyan."(Hadith Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, vol 2 hlmn 449, Bukhari, Sohih BUkhari, vol 2 hlmn 671; dan Muslim, Sohih Muslim, vol 2 hlm 808. teks hadith daripada riwayat Imam Ahmad RadiyaLLahu anhu)

Demikian juga tarekat-tarekat menjadi banyak dan bermacam-macam pintu-pintu masuk dan kaedah-kaedah sesuai dengan syeikh dan muridnya sendiri. Di antara mereka ada yang lebih mengutamakan dan memperhatikan puasa, dan ada yang mengutamakan al Quran lebih banyak dengan tanpa mengabaikan puasa. Begitulah seterusnya.Keterangan yang telah dikemukakan di atas menjelaskan tentang tasawuf yang sebenar, tarekat yang sohih, dan syeikh yang teguh dengan syariat dan sunnah. Kita sedia maklum mengenai tarekat itu sendiri ada bermacam-macam jenis tarekat atas beberapa faktor yang mendorong disebabkan oleh bermacam-macam corak pendidikan dan tarbiah serta berbeza-beza kaedah dalam usaha untuk sampai ke arah tujuan.


Namun, semuanya adalah dalam satu tujuan, sebab ALLah subahanahu wa ta;ala yang menjadi tujuan semuanya.Di sini kami tekankan bahawa keterangan tersebut tidak menyesuaikan kebanyakan orang-orang yang menghukum dirinya bertasawuf. Iaitu, mereka yang mengotori wajah tasawuf dari kelompok orang-orang yang tidak ada agama dan tidak memiliki kesolehan; orang-orang yang berjoget-joget (Ada perbahasannya DI SINI))pada acara-acara peringatan dan maulid-maulid dan mereka melakukan perbuatan orang-orang yang jadzab (hilang kesedaran) dan pengamal perkara khurafat. Ini semuanya bukan tasawuf dan sama sekali tidak tergolong daripada tarekat tasawuf.Sesungguhnya tasawuf yang kami ajak untuk mengikutinya adalah tidak ada hubungannya dengan fenomena-fenomena negatif dan buruk yang dilihat kebanyakan orang. Tidak boleh bagi kita mengenal tasawuf dan menarik kesimpulan tentangnya daripada sebahagian orang-orang yang bodoh (jahil mengenai tasawuf) yang mengaku-tasawuf. Akan tetapi, semestinya kita bertanya kepada para ulamak yang memberikan pujian terhadap tasawuf sehingga kita mengerti sebab pujian mereka terhadapnya (tasawuf).

Terakhir kami berikan jawapan kepada orang-orang yang bertanya, "Kenapa kita tidak belajar sahaja etika-etika (adab-adab) perilaku dan pembersihan jiwa itu dari Al Quran dan Sunnah secara langsung?."


Jawapan :Ini adalah ungkapan yang pada zahirnya mengandungi rahmat, sedangkan di sisi batinnya mengandung azab. Sebab, sesungguhnya kita tidak mempelajari rukun-rukun solat, perkara-perkara sunatnya dan perkara-perkara makruhn di dalamnya dengan membaca al Quran dan Sunnah. Akan tetapi, kita mempelajari semua itu dari bidang ilmu yang disebut ilmu feqah.Para ahli feqah telah mengarang buku-buku dan menyimpulkan seluruh hukum-hukum itu dari al Quran dan Sunnah. Lalu bagaimana seandainya muncul di tengah-tengah kita orang yang mengatakan bahawa kita harus mempelajari feqah dan hukum hukum agama daripada al Quran dan Sunnah secara langsung? Sedangkan kamu tidak akan menjumpai seorang alim pun yang mempelajari feqah dari al Quran dan Sunnah secara langsung.


Demikian juga, terdapat perkara-perkara yang tidak disebutkan di dalam al Quran dan Sunnah. Perkara-perkara itu mesti dipelajari dari syeikh dengan cara bertalaqi; tidak layak dengan mencukupkan diri hanya dengan al Quran seperti ilmu Tajwid. Sedangkan, di dalam perkara-perkara itu harus kukuh mengikuti istilah-istilah khusus dengan kefahaman ilmunya.Misalnya mereka mengatakan, :"Mad Lazim itu enam harakat." Siapakah yang menjadikan mad itu sebagai Mad Lazim? Mereka adalah ulama'-ulama' dalam bidang ini.


Begitu juga ilmu tasawuf adalah bidang ilmu yang diletakkan oleh para ulama' tasawuf sejak era Junaid al Baghdadi radiyaLlahu 'anhu dari abad ke 4 hingga masa kita sekarang.Manakala kehidupan zaman yang sudah rosak sehingga moral pun turut menjadi rosak, dengan sebahagian tarekat-tarekat tasawuf juga rosak, sehingga mereka bergantung dengan fenomena-fenomena yang bertentangan dengan agama ALlah subahanahu wa ta'ala. ALLah subhahanahu wa ta'ala akan membela tasawuf dan para pengikutnya; Dia akan memelihara mereka dengan kuasa-Nya. ALlah subahanahu wa ta'ala berfirman yang bererti :
"Sesungguhnya ALLah subahanahu wa ta'ala membela orang-orang yang telah beriman.Dan, ALLah subahanahu wa ta'ala tidak menyukai tiap-tiap orang yang menkhianati lagi mengingkari nikmat" (surah al Hajj:38)

Semoga apa yang telah kami kemukakan cukup untuk menjelaskan tentang makna tasawuf, tarekat, syeikh dan sebab wujudnya bermacam jenis tarekat. Demikian juga, tentang persoalan kenapa kita mempelajari perilaku dan pembersihan akhlaq dari bidang ilmu yang dinamakan tasawuf itu; kenapa kita mengambilnya dari para syeikh dan tidak secara langsung mengambilnya dari Al Quran dan Sunnah. Kita memohon kepada ALLah subahanahu wa ta'ala semoga membuka mata kita terhadap perkara-perkara agama kita.. Dan ALlah subahanahu wa ta'ala Maha Tinggi dan lagi Maha Mengetahui.


Sumber Ambilan :
Sahib as-Samahah Mufti Mesir Prof Dr Ali Jum’ah,

- Penjelasan Terhadap Masalah-masalah KhilafiahAl Bayan – Al Qawin li Tashbih Ba’dhi al Mafahim, .


- al-Bayan Lima Yasghilul al-Azhar


Selasa, 10 September 2019

10 PENYAKIT PENGAMAL TAREKAT (Yang Tersasar)


10 PENYAKIT PENGAMAL TAREKAT (Yang Tersasar)
Oleh: Tuan Guru Dr Hj Jahid Bin Hj Sidek al-Khalidi hafizahullah.
(Ahli Turuq Jilsah Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Malaysia)

                                                         
Tn. Guru Dr. Hj. Jahid Bin  Hj. Sidek

T
erdapat berbagai penyakit batin yang sukar disedari oleh pengamal tarekat yang boleh membinasakan perjalanan zahir dan batin mereka kepada Allah. Antaranya ialah:

1. TERASA ADA AMALAN

Maksudnya seseorang itu merasakan bahawa dirinya itu telah banyak berbuat amal soleh; banyak sembahyang, puasa, zikir, banyak sedekah dan sebagainya lagi. Jika ada rasa demikianmaka rosaklah perjalanan keruhaniannya. Rasa yang demikian itu bukan sahaja akan menimbulkan sifat riak, ujub dan sebagainya tetapi ianya boleh menyebabkan syirik atau menyengkutukan Allah. Oleh kerana itu seseorang salik itu dikehendaki merasa-rasakan secara bersungguh-sungguh bahawa segala amalnya yang soleh itu adalah kurnia Allah semata-mata, hal Allah semata-mata, dari Allah semata-mata.

Setelah rasa begitu dapat dihayati sebenar-benarnya, maka InshaAllah ia akan dikurniakan oleh Allah Tauhid Af’al atau tauhid pada perbuatan Allah, di mana seorang itu pada peringkat tersebut dapat melihat keesaan perbuatan Allah semata-mata akan tercapailah ketiga-tiga syarat bagi penerimaan amal iaitu ikhlas, fana’ (amalan diri dalam perbuatan Allah) dan benar-benar berasa bahawa tidak ada daya dan kekuatan kecuali Allah semata-
mata.Kesimpulannya: Bila terasa ada amal maka Tauhid Af’al tidak akan tercapai.

2. PANJANG ANGAN-ANGAN NAFSU KEDUNIAANNYA

Khalifah Ali (r.a.) pernah menyebutkan bahawa panjang angan-angan nafsu keduniaan itu adalah punca segala kesalahan atau dosa. Orang yang panjang angan-angan nafsu keduniaannya itu sentiasa lena dihayun oleh berbagai jenis angan-angannya itu. Pada setiap saat hatinya berkata-kata: “Aku akan buat ini, buat itu. Kalau aku buat ini akan jadi begini dan kalau aku buat yang lain akan jadi begitu…”

Tegasnya ia akan dilamun oleh berbagai fikiran dan rancangannya sendiri yang tidak akan ada titik perhentiannya sama sekali. Hal demikian adalah mengambarkan bahawa orang tersebut jahil terhadap Tauhid, sebab orang yang jahil Tauhid menurut Ibn Ata’illah hatinya sentiasa berkata: “Apakah yang akan aku buat”.

Orang yang benar Tauhidnya pula menurut beliau, hatinya sentiasa berkata:”Apakah yang Allah akan buat terhadap dirinya itu”. Di samping itu orang yang panjang angan-angan keduniaan itu hatinya akan menjadi gelap disebabkan berbagai gambaran kebendaan sentiasa memenuhi ruang di hatinya sehingga Allah tidak akan mendapat ruang di hati lagi, pada hal hati itu untuk Allah. Nabi bersabda, ertinya: ”Hati itu rumah Allah” Maksudnya hati itulah tempat yang dipilih dan dibersihkan oleh Allah dan dimuliakan sebagai jalan perhubungan antara Allah dengan hambaNya. Oleh itu hati itu tidak boleh dimasuki sesuatu yang lain dari Allah.

Samalah keadaan hati itu seperti Kaabah, kerana Kaabah itu adalah dikatakan sebagai Rumah Allah. Kalau Kaabah itu mesti bersih dari perkara-perkara yang boleh menjatuhkan kesuciannya, maka begitu jugalah dengan hati, ia mesti bersih dari sesuatu yang mengotori ruang hati serta mengelapkannya.

Dari angan-angan keduniaan itu maka akan timbullah berbagai sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, gemar kemasyhuran dan sebagainya. Perlu diingatkan bahawa sebahagian daripada angan-angan keduniaan itu ialah angan-angan seorang itu mengenai akhirat, tetapi cita-cita dan angan-angan itu telah dikotori oleh berbagai kehendak nafsunya.

Ramai orang terjerat di dalam perangkap ini tidak dapat menyedari dirinya itu sendiri. Misalnya, seorang itu membanyakkan usahanya berzikir siang dan malam, tetapi hati kecilnya terlintas bahawa dengan berbuat demikan maka ia akan cepat menjadi wali atau menjadi seorang Syeikh atau lekas fana’ dan sebagainya.

Sepatutnya ia bercita-cita supaya dapat ma’rifatullah dan keredhaanNya. Demikian juga seorang salik yang berhenti dari kerja mencari rezeki atau berhenti dari belajar Ilmu Islam kerana didorong supaya cepat naik maqam atau cepat mencapai matlamat perjalanannya; kononnya jika ia menumpukan zikir dan beramal ibadat sahaja maka cepatlah sampai kepada matlamat yang dituju. Sebenarnya hal demikian itu masih dipenuhi nafsu keduniaan yang pada zahirnya macam cita-cita akhirat.

3. HATI BERKATA ATAU TERLINTAS BAHAWA DIRINYA TELAH MENCAPAI TARAF WALI

Sifat demikian adalah berlawanan dengan kehendak Allah, kerana Allah melarang seseorang itu dari perbuatan mengaku diri sendiri itu suci dan bersih. Allah berfirman, maksudnya :“Maka janganlah kamu mengaku bahawa diri kamu itu suci. Dialah (Allah) yang lebih mengetahui tentang orang-orang yang bertakwa”.

Nabi bersabda yang bermaksud: “Tanda kecelakaan (masuk neraka) itu empat perkara: (Pertama), Lupakan dosa-dosa yang dilakukan, pada hal dosa-dosa itu masih utuh di sisi Allah. (Kedua), Ingatkan berbagai kebaikan yang dilakukan, pada hal ia tidak tahu samada kebaikan itu diterima atau ditolak oleh Allah. (Ketiga), Memandang orang yang di atas mengenai hal keduniaan. (Keempat), Memandang orang yang di bawah (lebih rendah) mengenai hal-hal agama. maka Allah berfirman (kepada orang ini): “Aku mahukan orang ini, tetapi ia tidak mahukan Aku, maka Aku pun tinggalkan sahaja”

Sebenarnya, bila seseorang itu tinggi darjatnya di sisi Allah, maka ia akan terasa rendah; bila ruhaninya bersih, maka ia terasa kotor dan banyak dosa; bila telah menjadi wali, maka terasa dirinya masih jauh dari kecintaan Allah. Sebaliknya, orang yang masih bergelumang dengan dosa itu biasanya merasakan dirinya sudah bersih, sudah menjadi wali Allah. Oleh yang demikian seseorang itu yang terasa telah menjadi wali itu telah tersimpang jauh dari arah perjalanannya yang sebenar. Ia tidak akan sampai ke matlamat yang dituju dan ia tetap jatuh tersungkur yang sukar untuk bangun semula.

4. SUKA DAN SENANG HATI BILA DIKERUMUNI OLEH ORANG RAMAI.

Bila ramai orang berada di sekelilingnya, kerana menyokong dan menyukainya maka ia berasa seronok, suka dan senang hati. Sebaliknya, bila orang ramai menjauhkan diri daripadanya maka ia berasa susah hati. Sifat demikian boleh merosakkan keruhanian seseorang salik, kerana pada hakikatnya ia masih memandang makhluk dan tidak memandang Allah. Di samping itu, sifat demikian itu menunjukkan bahawa ia masih sukakan kemasyhuran, kemuliaan, keagungan dan sifat-sifat lain yang seumpamanya.

Semua sifat tersebut adalah pakaian Allah bukan pakaian makhluk atau manusia. Ibrahim bin Adham berkata: ”Seseorang yang tidak meninggalkan kemuliaan kepada kehinaan, ia tidak akan sampai ke darjat orang yang solihin”. Seorang murid Syeikh Abu Yazid Al-Bustami pernah mengadu kepadanya bahawa ia telah beramal di bawah pimpinan Syeikh Abu Yazid selama 30 tahun, tetapi ia terasa tidak mendapat apa-apa perubahan, masih tetap di tahap dahulu juga, maka apakah yang menyebabkan jadi begitu? Syeikh Abu Yazid Al-Bustami menjelaskan bahawa jika muridnya itu beramal selama 1,000 tahun lagi pun, tetap tidak akan berubah keadaan dirinya itu, kecuali ia membuang semua sifat berasa mulia dan tinggi di mata masyarakat itu.

Seorang itu dikehendaki menjadi hamba Allah, bukan hamba manusia. Bila seseorang itu suka kepada manusia, maka ia jadi hamba manusia, bukan hamba Allah. Seorang hamba Allah hanya sibuk dengan Allah, senang dengan Allah, cinta hanya terhadap Allah, harapannya hanya pada Allah dan tidak kepada yang lain.

5. BERASA PUAS HATI DENGAN BERBAGAI BAYANGAN MIMPI

Sifat tersebut akan mendorongkannya untuk berpegang terhadap berbagai tafsiran mimpi yang dialaminya itu. Lama kelamaan ia akan disesatkan oleh syaitan menerusi tafsiran-tafsiran mimpi itu sendiri, tanpa dapat menyedari kesalahan dirinya itu sampai bila-bila. Malahan setiap ia beramal, maka ia mengharapkan untuk mendapat mimpi yang baik-baik atau yang ia anggap dapat menguntungkan dirinya.

Bagaimana akibatnya nanti bila dia itu bermimpi bahawa si pulan itu berzina, si pulan bin pulan itu mesti dibunuh dan sebagainya lagi? Tentu akan menimbulkan fitnah besar di dalam masyarakat. Ternyata orang yang berpegang terhadap mimpi itu telah hanyut dari tujuan perjalanannya yang dirumuskan dalam doa munajatnya sendiri.

6.  BERASA JINAK, SERONOK TERHADAP WIRID ATAU ZIKIR YANG DILAKUKAN

Sifat ini juga dilarang, kerana ianya boleh melalaikan seseorang itu dari mengingati Allah yang sebenar. Apa yang disuruh oleh Allah ketika berzikir atau berwirid itu ialah mengingati Allah, seronok dan senang hati terhadap Allah, bukan terhadap wirid dan zikir yang dibaca itu. Jika seronok dan senang hati dengan wirid dan zikir yang dibacakan itu, maka samalah juga ia seronok mendengar lagu atau nyanyian dari penyanyi.

Sifat tersebut akan menjadi hijab, kerana seseorang akan terhenti di tahap wirid dan zikirnya itu sahaja, sedang perjalanannya yang sebenar masih jauh lagi.

Bagaimana jika seseorang itu mendapat mimpi? Jika mimpi itu baik maka hendaklah ia bersyukur dan jika sebaliknya maka hendaklah ia berlindung dengan Allah, jalan terus, jangan dihiraukan sangat mimpi itu.

7. BERASA LAZAT DAN PUAS HATI TERHADAP NATIJAH-NATIJAH ZIKIR AL-WARIDAT

Demikian juga berbagai pemandangan ruh atau mata hati terhadap rahsia-rahsia perjalanan menuju Allah itu adalah juga termasuk di dalam makna al-waridat itu. Di kalangan ahli Tariqat di Malaysia ini, al-waridat itu di istilahkan sebagai natijah-natijah zikir. Al-Imam Al-Ghazali mengibaratkan orang yang berasa seronok dan lazat dengan al-waridat itu seperti anak-anak kecil yang menangis, lalu diberikan gula-gula atau anak -anak patung, maka iapun merasa seronok lalu diam dan berhenti dari menangis, kerana ia puas hati dengan gula-gula atau anak-anak patung itu.

Al-Imam Al-Ghazali juga mengambarkan bahawa perjalanan ruhani seseorang menuju Allah itu dapat disamakan dengan perjalanan seseorang menemui raja yang bersemayam di atas singgahsana di dalam istananya; bila seseorang yang mahu menemuinya maka keluar dari rumahnya untuk menemui raja itu, sudah tentu akan mengambil masa yang lama disebabkan perjalanannya yang jauh itu; dalam perjalanannya itu tentu ada kampung, kebun, ladang, dan berbagai pemandangan lagi; bila sampai di kawasan istana pula tentulah pemandangan lebih menarik dan indah. Jika seseorang salik itu tertarik dengan pemandangan pemandangan itu semua dan berasa seronok, sudah tentulah ia akan terlupa tujuan asal untuk menemui raja itu.

Apa yang paling membahayakan ialah seseorang itu berasa telah sampai kepada raja yang dituju, pada hal ia masih jauh lagi dari istana atau mungkin juga ia masih berlegar-legar di halaman istana. Oleh yang demikian, maka sifat berasa lazat, seronok dengan al-waridat itu menjadi hijab hati atau ruhani yang merosakkan perjalanannya. Lebih hebat lagi bila seseorang itu telah dihantui dan dicandui oleh perasaan seronok dan lazat dengan al-waridat tersebut. Di tahap tersebut, orang tersebut akan dihanyutkan oleh al-waridat itu sendiri, sehingga bila satu masa nanti al-waridat terasa tidak ada maka hati kecilnya mula berperangsangka buruk terhadap Allah, dirinya sendiri, terhadap gurunya dan para sahabatnya.

Bagaimana mahu menerima al-waridat itu? Terimalah dengan bersyukur kepada Allah, jika ianya tidak berlawanan dengan Al-Quran dan sunnah Nabi dan jika tidak berlawanan dengan kata-kata ulama yang arif billah. Tetapi janganlah dihiraukan sangat al-waridat tersebut. Jika al-waridat tersebut berlawanan dengan Al-Quran dan Sunnah Nabi atau pandangan ulama arif billah, maka hendaklah ianya kita sisihkan sahaja, jangan pandang langsung.

Di sinilah letaknya bahawa seseorang itu mesti terus menimba ilmu, tauhid, feqah dan tasauf, kerana tanpa ilmu sukar untuk menentukan al-waridat itu hak atau batil.Seorang yang tidak mahu mengerjakan sembahyang, tidak mahu menceburkan diri dalam masyarakat atau sebagainya, pada hal gurunya tidak ada mengajarkan demikian adalah berpunca dari kesilapannya sendiri iaitu terlalu berpegang terhadap al-waridat, walaupun ia jahil mengenai Al-Quran, Sunnah Nabi dan pandangan para ulama yang sebenarnya.

8.  DIAM, NEGATIF TIDAK POSITIF TERHADAP JANJI-JANJI BAIK ALLAH

Allah menyuruh hamba-hambaNya untuk berbuat baik, malahan Allah menyuruh supaya para hambaNya itu berlumba-lumba untuk berbuat berbagai kebaikan. Allah berfirman, maksudnya: “Hendaklah kamu berlumba-lumba untuk membuat berbagai kebaikan”
(Surah Al-Anbia: Ayat 90)

Kebaikan yang Allah perintahkan untuk dilakukan selain daripada perkara-perkara yang difardhukan adalah terlalu banyak. Oleh itu seseorang itu, setelah menunaikan yang difardhukan, maka hendaklah ia aktif, cergas dan bersegera berbuat kebaikan itu.

Ingatlah bahawa orang yang berhenti (waqif) itu adalah orang yang masih mula berjalan, seorang salik pula adalah berjalan terus (sair) sedang seorang yang telah sampai kepada hakikat (wasil) pula adalah sentiasa terbang, bukan hanya ruhaniyahnya tetapi juga aspek zahirnya.

Contoh kita ialah Nabi Muhammad S.A.W. Tidakkah Baginda itu sentiasa aktif, cergas dalam hidupnya untuk berbuat kebaikan yang sebaik-baiknya. Sebab itulah Allah menyatakan bahawa hamba – hamba Allah yang sebenarnya itu ialah mereka yang mendengar ajaran Allah lalu melakukan yang terbaik sekali.

Maksudnya:
“Hamba-hamba Allah yang sebenar itu ialah mereka yang mendengar ajaran Allah lalu diikuti (dibuat) yang lebih dalam lagi dalam perkara- perkara yang membantu menyempurnakan amalan salik”.

9.  BERPADA DENGAN BERPEGANG KEPADA SANGKAAN-SANGKAAN SAHAJA

Perjalanan ruhaniyah adalah amat sulit dan banyak liku-likunya yang mudah menyesatkan, lebih sulit dan lebih bahaya lagi jika dibandingkan dengan perjalanan di dalam hutan dara yang terlalu tebal. Oleh itu ia perlukan ilmu yang tepat dan benar sebagaimana yang ada di dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi serta yang terdapat di dalam kitab-kitab yang mu’tabar.

Jika seseorang hanya berpandu kepada sangkaan-sangkaannya sahaja, sudah tentulah ia akan sesat. Dari sudut yang lain pula dapat kita gambarkan bahawa jalan keruhanian itu seperti sebuah cermin yang bersih, tetapi ada garis pembahagi sebelah kiri dan kanan; sebelah kiri adalah iblis dan kesesatan sedang sebelah kanan adalah yang hak atau yang benar yang dikehendaki oleh Allah.

Tetapi garis pembahagi di cermin yang memisahkan kiri dan kanan itu tidak Nampak dan terlalu sukar untuk dilihat sehingga orang yang berjalan di atasnya telah jauh terseleweng ke kiri, tetapi ia masih yakin berada di sebelah kanan (Ia telah sesat, tetapi ia merasakan masih berada di dalam kebenaran).

Hanya bila kita berpegang dengan Al-Quran dan Sunnah serta pandangan ulama yang arif billah sahajalah yang dapat menyedarkan diri samada kita telah sesat atau berada di dalam kebenaran Allah.Kebanyakan kesesatan dan tindakan serta tingkah laku pengamal-pengamal ilmu tasauf yang menyalahi syariat Islam adalah berpunca
dari sangkaan-sangkaan mereka sendiri seperti yang disebutkan itu.

10.  MENIPU ALLAH

Perbuatan menipu Allah ini banyak berlaku di kalangan orang-orang yang jahil, terutamanya seseorang yang jahil murakkab iaitu ia jahil dan tidak mahu belajar serta tidak mahu mendengar kebenaran yang disampaikan kepadanya, malahan ia bersikap bodoh sombong dengan sifat kejahilan dirinya itu.

Contoh – contoh perbuatan menipu Allah itu ialah seperti tidak mahu sembahyang kononnya ia telah melakukan sembahyang daim (hatinya terus sembahyang tanpa putus) , berjudi itu rezeki yang Allah beri juga seperti sumber-sumber rezeki lainnya, kerana hakikat rezeki itu datangnya dari Allah belaka; berdoa itu syirik kerana bila berdoa bererti menuduh Allah tidak tahu untuk mengurus diri para makhluknya, sembahyang itu syirik kerana ada niat sengaja aku sembahayang, tidak sembahyang dosa besar, dosa besar diampunkan, tetapi syirik tidak diampunkan.

Oleh itu tidak buat sembahyang adalah lebih baik daripada melakukannya. Kata-kata si jahil seperti itu adalah merupakan kata-kata loyar buruk semata-mata. Mereka akan dimasukkan ke neraka oleh Allah dengan cara yang amat menyakitkan hatinya.

Tegasnya Allah akan berloyar buruk terhadap mereka. Misalnya, orang itu akan dimasukkan di dalam satu bekas dan bekas itu dimasukkan ke neraka; bila mereka bertanya mengapa mereka dimasukkan ke neraka, maka Allah menjawab bahawa Allah tidak membakar mereka tetapi hanya mahu membakar bekas itu sahaja.

WaAllahu'alam


Tokoh Maal Hijrah Yang Pertama

Syeikh Dr. Mohamad Idris bin Abdul Rauf Al-Marbawi AMP



Beliau  adalah seorang tokoh dalam bidang persuratan terutamanya dalam bidang bahasa Arab, ilmu Hadith, tafsir dan fiqah. Kamus Al-Marbawi, hasil nukilannya ialah kamus Arab-Melayu yang terunggul sekali di Nusantara sehingga hari ini.

Riwayat hidup

Syeikh Idris dilahirkan di sebuah kampung bernama Misfallah di Makkah pada 28 Zulkaedah 1313 Hijrah bersamaan 10 Mei 1896. Ibu bapa beliau berasal dari Kampung Lubok Merbau, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan. Ketika berusia 10 tahun, beliau sudah mampu menghafal kitab Al-Quran sebanyak 16 juzuk, di samping beberapa buah kitab lain. Pada tahun 1323 Hijrah, beliau pulang ke Malaysia bersama-sama keluarga.

Sekembalinya ke Malaysia, beliau meneruskan pengajiannya di Sekolah Melayu Lubok Merbau (kini dikenali Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi). Seterusnya beliau melanjutkan pengajiannya di beberapa buah sekolah pondok, antaranya Pondok Wan Mohammad, Bukit Chandan, Kuala Kangsar (kini dikenali sebagai Madrasah Idrisiah), Pondok Tuan Hussien Al-Masudi (Kedah), Pondok Syeikh Ahmad al-Fatani (Bukit Mertajam) dan Pondok Tok Kenali (Kelantan). Setelah menamatkan pengajian, beliau bertugas sebagai guru agama di Perak.

Pada tahun 1924, beliau menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir dan berjaya memperoleh Ijazah 'Aliyah (tertinggi). Beliau merupakan anak jati Perak pertama berjaya melanjutkan pengajiannya di Makkah. Semasa berada di sana, beliau menyusun kamus Arab-Melayu atau dikenali sebagai Kamus Al-Marbawi yang diterbitkan dalam tahun 1937 dan telah diulang cetak lebih daripada 24 kali. Kamus ini pada mulanya disusun oleh tiga orang iaitu beliau sendiri, Syeikh Juned Tola dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Namun, ketika dua tokoh yang terakhir ini kembali ke tanah air, karya itu diteruskan sendiri oleh Syeikh Idris al-Marbawi sebagai pengarang kamus itu.

Anugerah dan sumbangan

Atas sumbangan dan jasa besar dalam keagamaan dan persuratan, Syeikh Idris dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 5 Julai 1980. Pada 1 Muharram 1408 Hijrah bersamaan 28 Ogos 1987, beliau diisytihar sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan yang pertama.

Pada 19 April 1988, beliau telah dianugerahkan Pingat Ahli Mahkota Perak (AMP) oleh Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Yussuf Izzuddin Shah sempena hari keputeraan baginda.

Beliau ialah seorang tokoh ilmuan yang warak dan amat mementingkan hubungan kekeluargaan. Orang ramai yang mengenali beliau ternyata amat menyenangi dan menghormatinya. Keperibadian mulia di samping ketajaman fikiran walaupun telah berusia 90-an, merupakan aset beliau yang amat berharga. Penghayatan beliau terhadap ilmu, sifat rendah diri, di samping sifat dahagakan ilmu yang dimiliki, tidak dapat dinafikan lagi.

Bahkan semasa diminta berucap setelah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah, beliau dengan terus terang menyatakan yang beliau tidak layak berucap di situ kerana merasakan dirinya masih kekurangan ilmu. Dalam hallain pula beliau telah dilihat mengambil wuduk dengan menggunakan air yang sangat minimum yang tidak habis segayung air.

Sepanjang hampir 60 tahun berada di Timur Tengah, beliau banyak menjelajah dan menyaksikan pelbagai bentuk kebangkitan Islam selain daripada menjalankan kerja dakwah. Pengembaraan ini telah banyak memberi kesedaran dan pengalaman berguna kepada beliau. Atas dasar ingin melihat lebih ramai belua memperolehi pendidikan yang sempurna, beliau telah menggunakan wang ganjaran Tokoh Maal Hijrah untuk membolehkan anaknya menubuhkan sebuah Kolej Pengajian Islam yang dinamakan Kolej Idris Al-Marbawi Al-Islami di Ipoh, Perak. Tenaga pengajarnya terdiri daripada anaknya, Mariam dan cucu-cucunya serta beberapa orang tenaga pengajar luar.

Meninggal

Beliau telah kembali ke Rahmatullah ketika berusia 93 tahun pada hari Jumaat, 13 Oktober 1989, jam 8.30 pagi di Hospital Besar Ipoh, Perak. Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam
Kampung Lubok Merbau, Kuala Kangsar, Perak, bersebelahan pusara isteri beliau, Khadijah binti Mohamad Idham yang telah meninggal dunia 14 bulan sebelum itu. Beliau telah meninggalkan seorang anak perempuan, tiga orang cucu dan tujuh orang cicit yang tinggal di Malaysia. Di samping itu beliau telah meninggalkan balu kedua, Hajjah Munirah binti Abdul Wahab yang menetap di Mesir.

Bagi mengenang jasa beliau, namanya telah diabadikan di sebuah kolej kediaman di Universiti Kebangsaan Malaysia dengan dikenali sebagai Kolej Idris al-Marbawi. Namanya juga diabadikan di sekolah tempat beliau menuntut ilmu di Kampung Lubok Merbau iaitu Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi.

Hasil karya


  • Kamus al-Marbawi
  • Kitab Bahrul Mazi
  • Tafsir Quran Al Marbawi
  • Tafsir Surah Yasin
  • Tafsir Nurul Yaqin
  • Tafsir Fathul Qadir
  • Kitab Bulughul Maram
  • Kitab Jami'ul Ulum
  • Usulul Islam
  • Nizamul Hayah
  • Mu'jamul Ka'inat ( 4 Jilid ) dan lain-lain.


@al-fatehah

Sumber:
Mohammad Redzuan Othman, kertas kerja pada Seminar Ulama Dalam Sejarah Perak (9 Julai 1989)