Syeikh Dr. Mohamad Idris bin
Abdul Rauf Al-Marbawi AMP
Beliau adalah
seorang tokoh dalam bidang persuratan terutamanya dalam bidang bahasa Arab,
ilmu Hadith, tafsir dan fiqah. Kamus Al-Marbawi, hasil nukilannya ialah kamus
Arab-Melayu yang terunggul sekali di Nusantara sehingga hari ini.
Riwayat hidup
Syeikh Idris dilahirkan
di sebuah kampung bernama Misfallah di Makkah pada 28 Zulkaedah 1313 Hijrah
bersamaan 10 Mei 1896. Ibu bapa beliau berasal dari Kampung Lubok Merbau, Kuala
Kangsar, Perak Darul Ridzuan. Ketika berusia 10 tahun, beliau sudah mampu
menghafal kitab Al-Quran sebanyak 16 juzuk, di samping beberapa buah kitab
lain. Pada tahun 1323 Hijrah, beliau pulang ke Malaysia bersama-sama keluarga.
Sekembalinya ke
Malaysia, beliau meneruskan pengajiannya di Sekolah Melayu Lubok Merbau (kini
dikenali Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi). Seterusnya beliau
melanjutkan pengajiannya di beberapa buah sekolah pondok, antaranya Pondok Wan
Mohammad, Bukit Chandan, Kuala Kangsar (kini dikenali sebagai Madrasah
Idrisiah), Pondok Tuan Hussien Al-Masudi (Kedah), Pondok Syeikh Ahmad al-Fatani
(Bukit Mertajam) dan Pondok Tok Kenali (Kelantan). Setelah menamatkan
pengajian, beliau bertugas sebagai guru agama di Perak.
Pada tahun 1924, beliau
menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir dan berjaya memperoleh Ijazah
'Aliyah (tertinggi). Beliau merupakan anak jati Perak pertama berjaya
melanjutkan pengajiannya di Makkah. Semasa berada di sana, beliau menyusun
kamus Arab-Melayu atau dikenali sebagai Kamus Al-Marbawi yang diterbitkan dalam
tahun 1937 dan telah diulang cetak lebih daripada 24 kali. Kamus ini pada
mulanya disusun oleh tiga orang iaitu beliau sendiri, Syeikh Juned Tola dan
Syeikh Tahir Jalaluddin. Namun, ketika dua tokoh yang terakhir ini kembali ke
tanah air, karya itu diteruskan sendiri oleh Syeikh Idris al-Marbawi sebagai
pengarang kamus itu.
Anugerah dan sumbangan
Atas sumbangan dan jasa
besar dalam keagamaan dan persuratan, Syeikh Idris dianugerahkan Ijazah
Kehormat Doktor Persuratan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 5 Julai
1980. Pada 1 Muharram 1408 Hijrah bersamaan 28 Ogos 1987, beliau diisytihar
sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan yang pertama.
Pada 19 April 1988,
beliau telah dianugerahkan Pingat Ahli Mahkota Perak (AMP) oleh Sultan Perak,
Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Yussuf Izzuddin Shah
sempena hari keputeraan baginda.
Beliau ialah seorang
tokoh ilmuan yang warak dan amat mementingkan hubungan kekeluargaan. Orang
ramai yang mengenali beliau ternyata amat menyenangi dan menghormatinya.
Keperibadian mulia di samping ketajaman fikiran walaupun telah berusia 90-an,
merupakan aset beliau yang amat berharga. Penghayatan beliau terhadap ilmu,
sifat rendah diri, di samping sifat dahagakan ilmu yang dimiliki, tidak dapat
dinafikan lagi.
Bahkan semasa diminta
berucap setelah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah, beliau dengan terus terang
menyatakan yang beliau tidak layak berucap di situ kerana merasakan dirinya
masih kekurangan ilmu. Dalam hallain pula beliau telah dilihat mengambil wuduk
dengan menggunakan air yang sangat minimum yang tidak habis segayung air.
Sepanjang hampir 60
tahun berada di Timur Tengah, beliau banyak menjelajah dan menyaksikan pelbagai
bentuk kebangkitan Islam selain daripada menjalankan kerja dakwah. Pengembaraan
ini telah banyak memberi kesedaran dan pengalaman berguna kepada beliau. Atas
dasar ingin melihat lebih ramai belua memperolehi pendidikan yang sempurna,
beliau telah menggunakan wang ganjaran Tokoh Maal Hijrah untuk membolehkan
anaknya menubuhkan sebuah Kolej Pengajian Islam yang dinamakan Kolej Idris
Al-Marbawi Al-Islami di Ipoh, Perak. Tenaga pengajarnya terdiri daripada
anaknya, Mariam dan cucu-cucunya serta beberapa orang tenaga pengajar luar.
Meninggal
Beliau telah kembali ke
Rahmatullah ketika berusia 93 tahun pada hari Jumaat, 13 Oktober 1989, jam 8.30
pagi di Hospital Besar Ipoh, Perak. Jenazah beliau disemadikan di Tanah
Perkuburan Islam
Kampung Lubok Merbau,
Kuala Kangsar, Perak, bersebelahan pusara isteri beliau, Khadijah binti Mohamad
Idham yang telah meninggal dunia 14 bulan sebelum itu. Beliau telah
meninggalkan seorang anak perempuan, tiga orang cucu dan tujuh orang cicit yang
tinggal di Malaysia. Di samping itu beliau telah meninggalkan balu kedua,
Hajjah Munirah binti Abdul Wahab yang menetap di Mesir.
Bagi mengenang jasa
beliau, namanya telah diabadikan di sebuah kolej kediaman di Universiti
Kebangsaan Malaysia dengan dikenali sebagai Kolej Idris al-Marbawi. Namanya
juga diabadikan di sekolah tempat beliau menuntut ilmu di Kampung Lubok Merbau
iaitu Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi.
Hasil karya
- Kamus al-Marbawi
- Kitab Bahrul Mazi
- Tafsir Quran Al Marbawi
- Tafsir Surah Yasin
- Tafsir Nurul Yaqin
- Tafsir Fathul Qadir
- Kitab Bulughul Maram
- Kitab Jami'ul Ulum
- Usulul Islam
- Nizamul Hayah
- Mu'jamul Ka'inat ( 4 Jilid ) dan lain-lain.
@al-fatehah
Sumber:
Mohammad Redzuan Othman,
kertas kerja pada Seminar Ulama Dalam Sejarah Perak (9 Julai 1989)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan