10 PENYAKIT PENGAMAL TAREKAT (Yang
Tersasar)
Oleh: Tuan Guru Dr Hj Jahid Bin Hj
Sidek al-Khalidi hafizahullah.
(Ahli Turuq Jilsah Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Malaysia)Tn. Guru Dr. Hj. Jahid Bin Hj. Sidek |
Terdapat berbagai penyakit batin yang sukar disedari oleh pengamal tarekat yang boleh membinasakan perjalanan zahir dan batin mereka kepada Allah. Antaranya ialah:
1. TERASA ADA AMALAN
Maksudnya seseorang itu merasakan
bahawa dirinya itu telah banyak berbuat amal soleh; banyak sembahyang, puasa,
zikir, banyak sedekah dan sebagainya lagi. Jika ada rasa demikianmaka rosaklah
perjalanan keruhaniannya. Rasa yang demikian itu bukan sahaja akan menimbulkan
sifat riak, ujub dan sebagainya tetapi ianya boleh menyebabkan syirik atau
menyengkutukan Allah. Oleh kerana itu seseorang salik itu dikehendaki
merasa-rasakan secara bersungguh-sungguh bahawa segala amalnya yang soleh itu
adalah kurnia Allah semata-mata, hal Allah semata-mata, dari Allah semata-mata.
Setelah rasa begitu dapat dihayati
sebenar-benarnya, maka InshaAllah ia akan dikurniakan oleh Allah Tauhid Af’al
atau tauhid pada perbuatan Allah, di mana seorang itu pada peringkat tersebut
dapat melihat keesaan perbuatan Allah semata-mata akan tercapailah ketiga-tiga
syarat bagi penerimaan amal iaitu ikhlas, fana’ (amalan diri dalam perbuatan
Allah) dan benar-benar berasa bahawa tidak ada daya dan kekuatan kecuali Allah
semata-
mata.Kesimpulannya: Bila terasa ada
amal maka Tauhid Af’al tidak akan tercapai.
2. PANJANG ANGAN-ANGAN NAFSU
KEDUNIAANNYA
Khalifah Ali (r.a.) pernah
menyebutkan bahawa panjang angan-angan nafsu keduniaan itu adalah punca segala
kesalahan atau dosa. Orang yang panjang angan-angan nafsu keduniaannya itu
sentiasa lena dihayun oleh berbagai jenis angan-angannya itu. Pada setiap saat
hatinya berkata-kata: “Aku akan buat ini, buat itu. Kalau aku buat ini akan
jadi begini dan kalau aku buat yang lain akan jadi begitu…”
Tegasnya ia akan dilamun oleh
berbagai fikiran dan rancangannya sendiri yang tidak akan ada titik
perhentiannya sama sekali. Hal demikian adalah mengambarkan bahawa orang
tersebut jahil terhadap Tauhid, sebab orang yang jahil Tauhid menurut Ibn
Ata’illah hatinya sentiasa berkata: “Apakah yang akan aku buat”.
Orang yang benar Tauhidnya pula
menurut beliau, hatinya sentiasa berkata:”Apakah yang Allah akan buat terhadap
dirinya itu”. Di samping itu orang yang panjang angan-angan keduniaan itu
hatinya akan menjadi gelap disebabkan berbagai gambaran kebendaan sentiasa
memenuhi ruang di hatinya sehingga Allah tidak akan mendapat ruang di hati
lagi, pada hal hati itu untuk Allah. Nabi bersabda, ertinya: ”Hati itu rumah
Allah” Maksudnya hati itulah tempat yang dipilih dan dibersihkan oleh Allah dan
dimuliakan sebagai jalan perhubungan antara Allah dengan hambaNya. Oleh itu
hati itu tidak boleh dimasuki sesuatu yang lain dari Allah.
Samalah keadaan hati itu seperti
Kaabah, kerana Kaabah itu adalah dikatakan sebagai Rumah Allah. Kalau Kaabah
itu mesti bersih dari perkara-perkara yang boleh menjatuhkan kesuciannya, maka
begitu jugalah dengan hati, ia mesti bersih dari sesuatu yang mengotori ruang
hati serta mengelapkannya.
Dari angan-angan keduniaan itu maka
akan timbullah berbagai sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, gemar
kemasyhuran dan sebagainya. Perlu diingatkan bahawa sebahagian daripada
angan-angan keduniaan itu ialah angan-angan seorang itu mengenai akhirat,
tetapi cita-cita dan angan-angan itu telah dikotori oleh berbagai kehendak
nafsunya.
Ramai orang terjerat di dalam
perangkap ini tidak dapat menyedari dirinya itu sendiri. Misalnya, seorang itu
membanyakkan usahanya berzikir siang dan malam, tetapi hati kecilnya terlintas
bahawa dengan berbuat demikan maka ia akan cepat menjadi wali atau menjadi
seorang Syeikh atau lekas fana’ dan sebagainya.
Sepatutnya ia bercita-cita supaya
dapat ma’rifatullah dan keredhaanNya. Demikian juga seorang salik yang berhenti
dari kerja mencari rezeki atau berhenti dari belajar Ilmu Islam kerana didorong
supaya cepat naik maqam atau cepat mencapai matlamat perjalanannya; kononnya
jika ia menumpukan zikir dan beramal ibadat sahaja maka cepatlah sampai kepada
matlamat yang dituju. Sebenarnya hal demikian itu masih dipenuhi nafsu
keduniaan yang pada zahirnya macam cita-cita akhirat.
3. HATI BERKATA ATAU TERLINTAS
BAHAWA DIRINYA TELAH MENCAPAI TARAF WALI
Sifat demikian adalah berlawanan dengan
kehendak Allah, kerana Allah melarang seseorang itu dari perbuatan mengaku diri
sendiri itu suci dan bersih. Allah berfirman, maksudnya :“Maka janganlah kamu
mengaku bahawa diri kamu itu suci. Dialah (Allah) yang lebih mengetahui tentang
orang-orang yang bertakwa”.
Nabi bersabda yang bermaksud: “Tanda
kecelakaan (masuk neraka) itu empat perkara: (Pertama), Lupakan dosa-dosa yang
dilakukan, pada hal dosa-dosa itu masih utuh di sisi Allah. (Kedua), Ingatkan
berbagai kebaikan yang dilakukan, pada hal ia tidak tahu samada kebaikan itu
diterima atau ditolak oleh Allah. (Ketiga), Memandang orang yang di atas
mengenai hal keduniaan. (Keempat), Memandang orang yang di bawah (lebih rendah)
mengenai hal-hal agama. maka Allah berfirman (kepada orang ini): “Aku mahukan
orang ini, tetapi ia tidak mahukan Aku, maka Aku pun tinggalkan sahaja”
Sebenarnya, bila seseorang itu
tinggi darjatnya di sisi Allah, maka ia akan terasa rendah; bila ruhaninya
bersih, maka ia terasa kotor dan banyak dosa; bila telah menjadi wali, maka
terasa dirinya masih jauh dari kecintaan Allah. Sebaliknya, orang yang masih
bergelumang dengan dosa itu biasanya merasakan dirinya sudah bersih, sudah
menjadi wali Allah. Oleh yang demikian seseorang itu yang terasa telah menjadi
wali itu telah tersimpang jauh dari arah perjalanannya yang sebenar. Ia tidak
akan sampai ke matlamat yang dituju dan ia tetap jatuh tersungkur yang sukar
untuk bangun semula.
4. SUKA DAN SENANG HATI BILA
DIKERUMUNI OLEH ORANG RAMAI.
Bila ramai orang berada di sekelilingnya,
kerana menyokong dan menyukainya maka ia berasa seronok, suka dan senang hati.
Sebaliknya, bila orang ramai menjauhkan diri daripadanya maka ia berasa susah
hati. Sifat demikian boleh merosakkan keruhanian seseorang salik, kerana pada
hakikatnya ia masih memandang makhluk dan tidak memandang Allah. Di samping
itu, sifat demikian itu menunjukkan bahawa ia masih sukakan kemasyhuran,
kemuliaan, keagungan dan sifat-sifat lain yang seumpamanya.
Semua sifat tersebut adalah pakaian
Allah bukan pakaian makhluk atau manusia. Ibrahim bin Adham berkata: ”Seseorang
yang tidak meninggalkan kemuliaan kepada kehinaan, ia tidak akan sampai ke
darjat orang yang solihin”. Seorang murid Syeikh Abu Yazid Al-Bustami pernah
mengadu kepadanya bahawa ia telah beramal di bawah pimpinan Syeikh Abu Yazid
selama 30 tahun, tetapi ia terasa tidak mendapat apa-apa perubahan, masih tetap
di tahap dahulu juga, maka apakah yang menyebabkan jadi begitu? Syeikh Abu
Yazid Al-Bustami menjelaskan bahawa jika muridnya itu beramal selama 1,000
tahun lagi pun, tetap tidak akan berubah keadaan dirinya itu, kecuali ia
membuang semua sifat berasa mulia dan tinggi di mata masyarakat itu.
Seorang itu dikehendaki menjadi
hamba Allah, bukan hamba manusia. Bila seseorang itu suka kepada manusia, maka
ia jadi hamba manusia, bukan hamba Allah. Seorang hamba Allah hanya sibuk
dengan Allah, senang dengan Allah, cinta hanya terhadap Allah, harapannya hanya
pada Allah dan tidak kepada yang lain.
5. BERASA PUAS HATI DENGAN BERBAGAI
BAYANGAN MIMPI
Sifat tersebut akan mendorongkannya
untuk berpegang terhadap berbagai tafsiran mimpi yang dialaminya itu. Lama
kelamaan ia akan disesatkan oleh syaitan menerusi tafsiran-tafsiran mimpi itu
sendiri, tanpa dapat menyedari kesalahan dirinya itu sampai bila-bila. Malahan
setiap ia beramal, maka ia mengharapkan untuk mendapat mimpi yang baik-baik
atau yang ia anggap dapat menguntungkan dirinya.
Bagaimana akibatnya nanti bila dia
itu bermimpi bahawa si pulan itu berzina, si pulan bin pulan itu mesti dibunuh
dan sebagainya lagi? Tentu akan menimbulkan fitnah besar di dalam masyarakat.
Ternyata orang yang berpegang terhadap mimpi itu telah hanyut dari tujuan
perjalanannya yang dirumuskan dalam doa munajatnya sendiri.
6. BERASA JINAK, SERONOK
TERHADAP WIRID ATAU ZIKIR YANG DILAKUKAN
Sifat ini juga dilarang, kerana
ianya boleh melalaikan seseorang itu dari mengingati Allah yang sebenar. Apa
yang disuruh oleh Allah ketika berzikir atau berwirid itu ialah mengingati
Allah, seronok dan senang hati terhadap Allah, bukan terhadap wirid dan zikir
yang dibaca itu. Jika seronok dan senang hati dengan wirid dan zikir yang
dibacakan itu, maka samalah juga ia seronok mendengar lagu atau nyanyian dari
penyanyi.
Sifat tersebut akan menjadi hijab,
kerana seseorang akan terhenti di tahap wirid dan zikirnya itu sahaja, sedang
perjalanannya yang sebenar masih jauh lagi.
Bagaimana jika seseorang itu
mendapat mimpi? Jika mimpi itu baik maka hendaklah ia bersyukur dan jika
sebaliknya maka hendaklah ia berlindung dengan Allah, jalan terus, jangan
dihiraukan sangat mimpi itu.
7. BERASA LAZAT DAN PUAS HATI
TERHADAP NATIJAH-NATIJAH ZIKIR AL-WARIDAT
Demikian juga berbagai pemandangan
ruh atau mata hati terhadap rahsia-rahsia perjalanan menuju Allah itu adalah
juga termasuk di dalam makna al-waridat itu. Di kalangan ahli Tariqat di
Malaysia ini, al-waridat itu di istilahkan sebagai natijah-natijah zikir.
Al-Imam Al-Ghazali mengibaratkan orang yang berasa seronok dan lazat dengan
al-waridat itu seperti anak-anak kecil yang menangis, lalu diberikan gula-gula atau
anak -anak patung, maka iapun merasa seronok lalu diam dan berhenti dari
menangis, kerana ia puas hati dengan gula-gula atau anak-anak patung itu.
Al-Imam Al-Ghazali juga mengambarkan
bahawa perjalanan ruhani seseorang menuju Allah itu dapat disamakan dengan
perjalanan seseorang menemui raja yang bersemayam di atas singgahsana di dalam
istananya; bila seseorang yang mahu menemuinya maka keluar dari rumahnya untuk
menemui raja itu, sudah tentu akan mengambil masa yang lama disebabkan
perjalanannya yang jauh itu; dalam perjalanannya itu tentu ada kampung, kebun,
ladang, dan berbagai pemandangan lagi; bila sampai di kawasan istana pula
tentulah pemandangan lebih menarik dan indah. Jika seseorang salik itu tertarik
dengan pemandangan pemandangan itu semua dan berasa seronok, sudah tentulah ia
akan terlupa tujuan asal untuk menemui raja itu.
Apa yang paling membahayakan ialah
seseorang itu berasa telah sampai kepada raja yang dituju, pada hal ia masih
jauh lagi dari istana atau mungkin juga ia masih berlegar-legar di halaman
istana. Oleh yang demikian, maka sifat berasa lazat, seronok dengan al-waridat
itu menjadi hijab hati atau ruhani yang merosakkan perjalanannya. Lebih hebat
lagi bila seseorang itu telah dihantui dan dicandui oleh perasaan seronok dan lazat
dengan al-waridat tersebut. Di tahap tersebut, orang tersebut akan dihanyutkan
oleh al-waridat itu sendiri, sehingga bila satu masa nanti al-waridat terasa
tidak ada maka hati kecilnya mula berperangsangka buruk terhadap Allah, dirinya
sendiri, terhadap gurunya dan para sahabatnya.
Bagaimana mahu menerima al-waridat
itu? Terimalah dengan bersyukur kepada Allah, jika ianya tidak berlawanan
dengan Al-Quran dan sunnah Nabi dan jika tidak berlawanan dengan kata-kata
ulama yang arif billah. Tetapi janganlah dihiraukan sangat al-waridat tersebut.
Jika al-waridat tersebut berlawanan dengan Al-Quran dan Sunnah Nabi atau
pandangan ulama arif billah, maka hendaklah ianya kita sisihkan sahaja, jangan
pandang langsung.
Di sinilah letaknya bahawa seseorang
itu mesti terus menimba ilmu, tauhid, feqah dan tasauf, kerana tanpa ilmu sukar
untuk menentukan al-waridat itu hak atau batil.Seorang yang tidak mahu
mengerjakan sembahyang, tidak mahu menceburkan diri dalam masyarakat atau
sebagainya, pada hal gurunya tidak ada mengajarkan demikian adalah berpunca
dari kesilapannya sendiri iaitu terlalu berpegang terhadap al-waridat, walaupun
ia jahil mengenai Al-Quran, Sunnah Nabi dan pandangan para ulama yang
sebenarnya.
8. DIAM, NEGATIF TIDAK POSITIF
TERHADAP JANJI-JANJI BAIK ALLAH
Allah menyuruh hamba-hambaNya untuk
berbuat baik, malahan Allah menyuruh supaya para hambaNya itu berlumba-lumba
untuk berbuat berbagai kebaikan. Allah berfirman, maksudnya: “Hendaklah kamu
berlumba-lumba untuk membuat berbagai kebaikan”
(Surah Al-Anbia: Ayat 90)
Kebaikan yang Allah perintahkan
untuk dilakukan selain daripada perkara-perkara yang difardhukan adalah terlalu
banyak. Oleh itu seseorang itu, setelah menunaikan yang difardhukan, maka
hendaklah ia aktif, cergas dan bersegera berbuat kebaikan itu.
Ingatlah bahawa orang yang berhenti
(waqif) itu adalah orang yang masih mula berjalan, seorang salik pula adalah
berjalan terus (sair) sedang seorang yang telah sampai kepada hakikat (wasil)
pula adalah sentiasa terbang, bukan hanya ruhaniyahnya tetapi juga aspek
zahirnya.
Contoh kita ialah Nabi Muhammad
S.A.W. Tidakkah Baginda itu sentiasa aktif, cergas dalam hidupnya untuk berbuat
kebaikan yang sebaik-baiknya. Sebab itulah Allah menyatakan bahawa hamba –
hamba Allah yang sebenarnya itu ialah mereka yang mendengar ajaran Allah lalu
melakukan yang terbaik sekali.
Maksudnya:
“Hamba-hamba Allah yang sebenar itu
ialah mereka yang mendengar ajaran Allah lalu diikuti (dibuat) yang lebih dalam
lagi dalam perkara- perkara yang membantu menyempurnakan amalan salik”.
9. BERPADA DENGAN BERPEGANG
KEPADA SANGKAAN-SANGKAAN SAHAJA
Perjalanan ruhaniyah adalah amat
sulit dan banyak liku-likunya yang mudah menyesatkan, lebih sulit dan lebih
bahaya lagi jika dibandingkan dengan perjalanan di dalam hutan dara yang
terlalu tebal. Oleh itu ia perlukan ilmu yang tepat dan benar sebagaimana yang
ada di dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi serta yang terdapat di dalam kitab-kitab
yang mu’tabar.
Jika seseorang hanya berpandu kepada
sangkaan-sangkaannya sahaja, sudah tentulah ia akan sesat. Dari sudut yang lain
pula dapat kita gambarkan bahawa jalan keruhanian itu seperti sebuah cermin
yang bersih, tetapi ada garis pembahagi sebelah kiri dan kanan; sebelah kiri
adalah iblis dan kesesatan sedang sebelah kanan adalah yang hak atau yang benar
yang dikehendaki oleh Allah.
Tetapi garis pembahagi di cermin
yang memisahkan kiri dan kanan itu tidak Nampak dan terlalu sukar untuk dilihat
sehingga orang yang berjalan di atasnya telah jauh terseleweng ke kiri, tetapi
ia masih yakin berada di sebelah kanan (Ia telah sesat, tetapi ia merasakan
masih berada di dalam kebenaran).
Hanya bila kita berpegang dengan
Al-Quran dan Sunnah serta pandangan ulama yang arif billah sahajalah yang dapat
menyedarkan diri samada kita telah sesat atau berada di dalam kebenaran
Allah.Kebanyakan kesesatan dan tindakan serta tingkah laku pengamal-pengamal
ilmu tasauf yang menyalahi syariat Islam adalah berpunca
dari sangkaan-sangkaan mereka
sendiri seperti yang disebutkan itu.
10. MENIPU ALLAH
Perbuatan menipu Allah ini banyak
berlaku di kalangan orang-orang yang jahil, terutamanya seseorang yang jahil
murakkab iaitu ia jahil dan tidak mahu belajar serta tidak mahu mendengar
kebenaran yang disampaikan kepadanya, malahan ia bersikap bodoh sombong dengan
sifat kejahilan dirinya itu.
Contoh – contoh perbuatan menipu
Allah itu ialah seperti tidak mahu sembahyang kononnya ia telah melakukan
sembahyang daim (hatinya terus sembahyang tanpa putus) , berjudi itu rezeki
yang Allah beri juga seperti sumber-sumber rezeki lainnya, kerana hakikat
rezeki itu datangnya dari Allah belaka; berdoa itu syirik kerana bila berdoa
bererti menuduh Allah tidak tahu untuk mengurus diri para makhluknya,
sembahyang itu syirik kerana ada niat sengaja aku sembahayang, tidak sembahyang
dosa besar, dosa besar diampunkan, tetapi syirik tidak diampunkan.
Oleh itu tidak buat sembahyang
adalah lebih baik daripada melakukannya. Kata-kata si jahil seperti itu adalah
merupakan kata-kata loyar buruk semata-mata. Mereka akan dimasukkan ke neraka
oleh Allah dengan cara yang amat menyakitkan hatinya.
Tegasnya Allah akan berloyar buruk
terhadap mereka. Misalnya, orang itu akan dimasukkan di dalam satu bekas dan
bekas itu dimasukkan ke neraka; bila mereka bertanya mengapa mereka dimasukkan
ke neraka, maka Allah menjawab bahawa Allah tidak membakar mereka tetapi hanya
mahu membakar bekas itu sahaja.
WaAllahu'alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan