HABIB ALI BIN JAAFAR AL IDRUS
اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki rahimahullah bersama Habib Ali Jaafar Al Idrus |
Habib Ali bin Jaafar bin Ahmad bin Abdul Qadir bin Salim al-Idrus, seorang wali Allah yang dikasihi dan dicintai sekalian ummah, dilahirkan di Purwarkarta, Jawa Barat, pada tahun 1919.
Nasab keturunannya bersambung kepada Nabi S.A.W. Habib Soleh bin Ahmad al-Idrus, daripada Malang, Indonesia menuliskan nasab beliau sebagaimana berikut:
Al-Habib Ali bin Jaafar bin Ahmad bin Abdul Qadir bin Salim bin Alwi bin Salim bin Alawi bin Abdullah bin Alawi bin Ahmad bin Alawi bin Abi Bakar bin Umar bin Abdullah bin Alawi bin Abdullah al-Idrus bin Abi Bakar bin Abdurrahmman as-Seggaf bin Muhammad Maulad Dawilah bin Ali Alawi bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin Ali bin Muhammad Shahib Mirbath bin Ali Khali' Qasam bin Alwi bin Muhammad bin Alawi bin Ubaidillah bin Ahmad al-Muhajir bin Isa bin Muhammad bin Ali al-'Uraidhi bin Jaafar Shadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin Husain putra Sayyiduna Ali karramallah wajhah dan Sayyidatuna Fatimah az-Zahra putri Rasulullah s.a.w.
Beliau mendirikan rumah tangga bersama Syarifah Alawiyah binti Sayyid Ahmad al-Idrus (wafat pada 19 Zulkaedah 1361 bersamaan tahun 1952 dalam usia 33 tahun) dan dikurniakan enam orang cahaya mata. Sayyid Abdul Qadir (wafat sewaktu kecil -22 Februari 1951-), Syarifah Zahrah (juga wafat semasa kecil -1954-), Syarifah Khadijah, Sayyid Muhammad (wafat pada 8 Jamadil Akhir 1438 H), Sayyid Omar dan Sayyid Husen.
Sekitar tahun 1926, iaitu ketika beliau berumur tujuh tahun, beliau tiba di Singapura. Namun cuma seketika, lalu kembali semula ke Indonesia. Kemudian, sekitar tahun 1929, beliau sekali lagi menjejakkan kaki ke Singapura dan menetap di sana hingga tahun 1942.
Dikatkatakan ayahanda beliau, Habib Jaafar bin Ahmad al-Idrus, datang ke Singapura dari Purwarkarta dan menetap di Kota Singa itu selama beberapa tahun sekitar tahun 1930-an kemudian ayahanda beliau pulang ke Hadhramaut, Yaman pada tahun 1938.
Di Singapura, Habib Ali tinggal bersama ayahanda dan kekandanya, Habib Abdul Qadir bin Jaafar al-Idrus, di sebuah rumah di Arab Street. Beliau sempat bersekolah di Madrasah al-Juneid al-Islamiah, Singapura. Dikisahkan bahawa kekandanya menerima sambutan hangat dan menggalakkan ketika mula sampai ke Kota Singa. Habib Abdul Qadir wafat di Purwakarta dan dimakamkan di sana.
Sekitar tahun 1942, Habib Ali bin Jaafar telah dibawa ayahandanya, Habib Jaafar bin Ahmad hijrah ke Batu Pahat, Johor. Ketika itu, Habib Jaafar tinggal di Jalan Abdul Rahman, berhampiran Jalan Sultanah, Batu Pahat (dikatakan beliau menetap di Batu Pahat sekitar lapan tahun). Namun, Habib Jaafar kembali semula ke kampung halamannya Hadhramaut. Beliau wafat di sana pada tahun 1976 di kota Tarim. Jenazahnya dimakamkan di Pemakaman Zanbal, berdekatan dengan makam datuknya, Habib Abdullah al-Idrus.
Dikatakan Habib Ali tinggal di sekitar Jalan Bukit Pasir pada awalnya. Kemudian berpindah ke kawasan penempatan berhampiran Sekolah Kebangsaan Temenggung Ibrahim, Penggaram dan akhirnya menetap di Kampung Solok Wan Moh hingga akhir usia.
Beliau pernah diminta berkhidmat sebagai imam di Masjid Wadi Hassan, Johor Bahru oleh Mufti Johor ketika itu, Habib Alwi bin Tohir al-Haddad. Hanya sekitar empat tahun sahaja perkhidmatan beliau di sana. Dikatakan beliau kurang selesa dengan jawatan yang disandangnya kerana ia mengundang perhatian dan sanjungan ramai. Sedangkan beliau lebih suka dengan ahwalnya yang rendah hati dan penuh kezahidan.
Kehidupannya sangat zuhud dan sederhana. Makan dan minumnya pun sekadar cuma. Bahkan beliau sangat menjaga sumber dari mana dan apa sahaja yang meragukannya. Hidupnya yang seolah-olah tiada apa, maka tiada siapa yang memberi perhatian padanya. Tiada siapa yang menumpu pada sosok dirinya. Hinggalah sebahagian besar murid Syeikh Umar Khatib Singapura, datang menziarahinya atas nasihat guru mereka. Dikatakan bermula detik itu, beliau dikenali dan sering dikunjungi alim ulama mahupun orang biasa, tidak putus-putus bertamu ke rumahnya.
Beliau sering menjadi tempat mengadu pelbagai masalah. Menjadi tumpuan orang ramai sama ada masyarakat setempat, dari Nusantara mahupun negara-negara Arab. Apabila berkunjung ke Malaysia, mereka akan meluangkan masa untuk mengunjunginya, demi mendapatkan mutiara nasihat dan keberkahan dari sosok yang jiwa dan raganya ini senantiasa bergantung kepada Allah SWT dan Rasulullah s.a.w.
Di antara kalam nasihat yang pernah beliau sampaikan, “Allah SWT adalah Kholiq (Pencipta). Manusia hanyalah makhluk. Maka, manusia harus mematuhi apa pun perintah Yang Maha Pencipta. Bukan Yang Maha Pencipta mematuhi perintah manusia.”
Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki, kebiasaannya akan menziarahi Habib Ali di Batu Pahat pada tiap kali berkunjung ke Malaysia. Dikisahkan pada perjumpaan terakhirnya bersama Habib Ali, Sayyid Muhammad al-Maliki berkata, dia meyakini bahawa Habib Ali adalah seorang yang diberi anugerah besar disisi Allah di daerahnya ini. Sebelum pulang, Sayyid Muhammad al-Maliki pun mengarang sebuah qashidah untuknya yang menggambarkan sifat-sifat mulia Habib Ali bin Jaafar al-Idrus.
Pernah suatu ketika, Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki rahimahullah mengunjungi Habib Ali. Sepanjang perjalanan, Sayyid Muhammad berbicara tentang perihalnya yang merindui Baginda Rasulullah s.a.w. Ketika sampai di kediaman beliau, sekalian tetamu tidak diperkenankan masuk, kecuali Sayyid Muhammad al-Maliki. Mereka berdua masuk bersama dalam jangka masa yang agak lama, lalu keluarlah Sayyid Muhammad al-Maliki dengan linangan air mata yg bercucuran, seraya berkata: "Hajat saya sudah terkabul...terkabul.., sambil menutup wajahnya dengan linangan air mata".
Antara Ulama yang pernah mengunjungi beliau ialah:
Habib Zein bin Ibrahim bin Semith dari Madinah,
Habib Salim bin Abdullah asy-Syatiri (Hadramaut),
Habib Umar bin Hafidh (Hadramaut),
Habib Anis bin Alwi al-Habsyi dari Solo dan tokoh habaib serta ulama lainnya.
Hidupnya menuruti apa yang disabdakan Baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang yang hanya bermusafir." Demikian kehidupan Habib Ali bin Jaafar sedari awal, istiqomah dengan kezuhudan dan kesederhanaan hingga bertemu dengan Tuhan.
Hidupnya amat sederhana. Tiada pernah memiliki kediaman mewah, mahupun harta, melainkan hanya mendiami rumah sewa hingga hujung usia. Walau sering ditawarkan oleh sekalian pencintanya, agar dibinanya kediaman yang lebih selesa, namun tiada pernah beliau terima. Cukuplah sekadar apa yang ada, kerana kediaman sebenar, bukan di dunia. Rutin hariannya dipenuhi dengan beribadah dan menghambakan diri pada Yang Maha Esa.
Hatinya begitu lunak dan santun. Tutur katanya sopan dan lembut. Tiada beliau berkata-kata dengan wanita, melainkan kaum kerabat yang terdekat. Jalannya sentiasa menunduk, penuh tawaduk, merendah diri, tidak meninggi. Tiada dipandang perempuan kanan mahupun yang kiri.
Sangat memuliakan tetamu. Tiadalah beliau duduk, melainkan setelah tetamunya duduk dan beliau sendiri yang akan mengiringi mereka hingga ke muka pintu, ketika mereka hendak pulang. Beliau tidak mahu tumbuh walau sedikit, rasa kecewa di hati orang yang mengunjunginya. Di rumahnya yang amat sederhana, kecil, dan sempit itu, senantiasa muliakan tiap tamu yang datang. Beliau menerima siapa sahaja yang tiba, dengan penerimaan yang menyenangkan, tanpa dipedulikan rupa yang bagaimana, apalagi harta benda mereka. Berjumpa dengan sosok tubuh insan mulia yang tenang dan bersahaja itu, hati pun terasa menjadi lapang dan tenang.
Meski hidupnya sederhana, hampir tiap tamu yang datang, pasti beliau berikan wang. Jumlahnya terkadang tidak sedikit. Jika mereka berkunjung pada waktu makan, tidak mungkin tamunya diizinkan pulang sebelum mereka menikmati hidangan bersamanya. Sifat rendah hatinya kepada setiap tamunya amat mengagumkan. Sebelum mereka pulang, orang semulia dirinya, meminta pula doa dari mereka.
Habib Ali bin Jaafar al-Idrus telah menemui Penciptanya sekitar jam 5.10 atau 5.15 petang Khamis, 28 Jamadil Awal 1431, bersamaan 13 Mei 2010 di rumahnya, Kampung Solok Wan Moh, Batu Pahat.
Batu Pahat dan seluruh alam buana sugul dan suram atas pemergian sebutir bintang yang menyinari alam. Ahwalnya senantiasa menjadi tauladan, semasa hayatnya mahupun setelah kewafatannya. Moga kekal ia sebagai pedoman, petunjuk dan panduan buat sekalian insan.
Dari saat kewafatan beliau, tiadalah putus-putus dikunjungi ribuan manusia dari segala penjuru dan lapisan masyarakat, terutama dari Malaysia, Singapura, dan Indonesia. Begitu juga bacaan Al-Quran, Yaasin, dan tahlil, tiada putus-putusnya dibacakan hingga selesai segala urusan sekitar jam 9.30 pagi Jumaat. Jenazahnya disolatkan sebanyak dua kali. Pertama, sebagaimana wasiatnya, disolatkan di dalam rumah. Diimami Habib Abdullah bin Alwi bin Muhammad al-Idrus, dan kedua di luar rumah, dengan berimamkan Habib Hasan bin Muhammad bin Salim Al-Attas.
Jenazahnya kemudian dimakamkan sebelum solat Jumaat, 29 Jamadil Awal 1431 H bersamaan 14 Mei 2010, di Tanah Pekuburan Islam Bukit Cermai, Batu Pahat, Johor, Malaysia.
Moga Allah limpahi rahmat ke atas rohnya dan ditempatkannya bersama para Nabi-Nya, Syuhada dan Solihin.
Al-Fatehah.
Wallahu a'lam.
Dengan izin al-faqir (Amli Haji Halimi) catatkan nukilan ini, sebagaimana yang al-faqir dengarkan daripada Putra beliau, Sayyid Omar dan cucunda beliau Sayyid Muhammad bin Sayyid Omar, juga daripada guru al-faqir yang mulia, Syeikh Abu Zaki bin Yusof al-Hadhrami, Cikgu Sayyid Ali bin Salim al-Jufri, Sayyid Yusof bin Ali al-Jufri serta beberapa individu setempat, kaum kerabat dan juga beberapa catatan yang sedia ada di pelbagai medium. Catatan ini juga sebagaimana yang terdapat dalam buku PERMATA BATU PAHAT siri 1. Nukilkan pada 2017.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan