Adab-adab al-sālik ke atas dirinya.
Dari kedudukan seorang yang sālik di hadapan syeikhnya yang dilihat
dari sudut adab-adab, jelas kepada kita bahawa seorang yang sālik itu
sebenarnya memerlukan banyak perkara yang berkait rapat dengan bimbingan
dan asuhan daripada seorang yang bergelar syeikh dalam disiplin ilmu
dan amalan tasawwuf.
Kita juga dapat melihat bagaimana seorang
al-sālik itu sebenarnya mempunyai banyak kekurangan dan kelemahan yang
menyulitkan untuk dia sampai kepada Allah S.W.T dalam erti kata wusul
ilā Allah S.W.T. Dengan membincangkan kedudukan seorang yang sālik
dalam hal ini akan dapat memperjelaskan kepada kita tentang peranan yang
perlu dimainkan oleh kedua-dua pihak (syeikh dan al-sālik) yang
terlibat dalam perjalanan ini (al-sā’ir ilā Allah S.W.T.).
Daripada
huraian di atas, kita juga diperlihatkan bagaimana konsep al-rābitah
itu muncul dalam beberapa situasi ketika seorang al-sālik melaksanakan
adab-adab yang telah ditentukan ke atas dirinya terhadap syeikh. Untuk
menjelaskan lagi kedudukan dan peranan al-rābitah dalam ilmu dan amalan
tasawwuf kita tinjau pula adab-adab seorang yang sālik terhadap dirinya
ketika menjalani al-suluk ini.
a) Sebagai seorang yang al-sālik
hendaklah sentiasa merasakan bahawa seluruh ingatan dan hatinya meyakini
bahawa Allah S.W.T sentiasa melihat dan mengetahui semua keadaannya.
Oleh itu, seorang yang al-sālik hendaklah sentiasa menumpukan usaha
untuk zikrullah di dalam hati, baik semasa berjalan, duduk dan
berbaring. Atau dalam ertikata yang lain, dalam seluruh kegiatan
hidup kita hendaklah tertumpu kepada Allah S.W.T. Sebagai ikutan Nabi
Muhammad s.a.w berzikir ketika Baginda s.a.w sedang tidur. Oleh itu
tidak ada sesuatu keadaan pun yang boleh menghalang seorang yang
al-sālik itu untuk berzikrullah. Dengan demikian, hati seorang yang
al-sālik itu hanya dipenuhi dengan lafaz “Allah” yang dengannya mengatur
segala gerak dan diam seorang yang al-sālik.
b) Seorang yang
al-sālik harus menjauhkan diri dari bersahabat dengan orang-orang yang
jahat, sebaliknya hendaklah mencari teman dan rakan di kalangan
orang-orang yang baik dan soleh. Dengan bersama-sama orang yang soleh
itu akan membantu melembutkan hati seorang yang al-sālik. Kenyataan ini
berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w:
Kawan yang soleh itu
seperti seorang yang mempunyai kasturi, boleh jadi ia akan memberikan
kasturi itu kepada engkau,atau engkau membelinya daripadanya atau engkau
mendapatkan bau wanginya.
Hadis di atas membawa maksud adanya
kesan yang bersifat rohaniah kepada seseorang yang menjadikan orang yang
soleh sebagai sahabat, pembimbing dan pengasuh dalam kehidupan
hariannya.
c) Sebagai seorang yang al-sālik apabila mahu
melakukan zikir hendaklah ia menutup pintu agar tidak dapat dilihat oleh
anak dan isterinya. Apabila tempat berzikir itu sempit dan gelap, maka
akan lebih memudahkan hatinya merasakan hudur dan menjauhkan dari
lintasan-lintasan yang jahat, jika dibandingkan dengan tempat yang luas
dan terang. Orang-orang lain selain daripada isteri dan anak-anak yang
menentang ilmu dan amalan tasawwuf juga hendaklah dihalang dari melihat
seorang yang al-sālik itu melakukan zikir. Larangan ini adalah
disebabkan mungkin mereka yang menentang itu akan mengejek dan
memperolok-olok seorang yang al-sālik menutup kepala ketika mereka
berzikir. Mungkin juga dengan sebab diejek dan dipermainkan menyebabkan
seorang yang al-sālik akan lemah semangat dan terus meninggalkan amalan
ilmu tasawwuf ini.
d) Sebagai seorang yang al-sālik hendaklah
bersederhana dalam kehidupan harian. Memadailah dengan sekadar yang
mencukupi untuk dia hidup sahaja. Imam al-Ghazāli berkata:
جعل الله فضول المطعم والمشرب فى الدنيا سببا لقسوة القلب وابطأ الجوارح عن الطاعة والصمم عن السماع الموعظة .
Maksudnya:
Allah
telah menjadikan berlebih-lebihan makan dan minum di dunia ini sebagai
satu sebab timbulnya keras hati, melambatkan anggota tubuh badan untuk
taat, tuli untuk mendengar nasihat-nasihat yang baik.
e) Seorang
yang al-sālik hendaklah berusaha menghindarkan diri dari sifat cintakan
dunia di samping menumpukan perhatiannya kepada kehidupan akhirat.
Justeru Allah S.W.T.menjelaskan kepada kita dengan firmanNya:
بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا . وَالاْخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَى .
Maksudnya:
Tetapi
kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian),bahkan kamu utamakan
kehidupan dunia. Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.
Perasaan
kasih dan cinta kepada Allah S.W.T. dan hari akhirat itu tidak akan
masuk ke dalam hati orang yang cinta kepada dunia. Hal ini ada
dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w seperti yang disabdakan dalam sebuah
hadisnya yang diriwayatkan al-Tabrāni dan al-Bayhaqi:
حسب ابن آدم من الشرإلا من عصمه الله تعالى أن يشار إليه بالاصابع فى دينه أو دنياه .
Maksudnya:
Seorang
itu sudah cukup dikira sebagai jahat bila ia jadi terkenal kerana
agamanya atau dunianya kecuali orang yang dipelihara oleh Allah.
f) Sebagai seorang al-sālik ia tidak boleh tidur dalam keadaan berhadas dan hendaklah ia suci dari hadas dan najis.
g)
Sebagai seorang al-sālik jangan sekali-kali mahukan apa yang ada di
tangan orang lain. Tidak merasa hairan dengan kedudukan, kemewahan dan
kekayaan mereka. Sebaliknya hendaklah menaruh segala keyakinan dan
harapan hanya kepada Allah S.W.T.
h) Seorang yang al-sālik
apabila berhadapan dengan suasana masyarakat yang keras hatinya maka
hendaklah ia bersabar dan jangan sekali-kali ia mengeluh. Seorang yang
al-sālik yang menjalani kehidupan bertariqat secara umumnya akan
mengalami perubahan keadaan kehidupan keduniaannya, sehingga mungkin
akan mendorong seorang yang al-sālik supaya meninggalkan tariqatnya.
Jika hal ini berlaku bererti ia telah membatalkan perjanjiannya sendiri
dan ia tidak akan berjaya buat selama-lamanya. Oleh yang demikian perlu
diingatkan kepada setiap al-sālik supaya menyedari bahawa dengan
kesukaran dan kesusahan itu adalah sebab di mana Allah S.W.T. memelihara
dan membuka mata hatinya (al-basirah).
i) Sebagai seorang
yang al-sālik hendaklah berterusan melakukan muhāsabah terhadap diri
untuk berjalan terus di jalan Allah S.W.T. Apabila terasa bahawa
perjalanannya terhenti maka hendaklah ia membisikkan kepada dirinya
dengan berkata:
Sabarlah engkau kerana masa berehat-rehat untukmu itu
adalah di masa hadapan, kesusahan dan kepenatanmu sekarang ini adalah
untuk engkau berihat di akhirat kelak.
j) Sebagai seorang yang
al-sālik hendaklah mengurangkan tidur, terutamanya apabila di waktu
menjelang subuh, kerana waktu itu adalah waktu yang paling mudah
permohonan dan doa dimakbulkan oleh Allah S.W.T.
k) Dari sudut
makan seorang yang al-sālik hendaklah sentiasa memastikan makanan yang
dimakannya dari yang halal dan bersumberkan dari sumber yang halal.
Dia juga harus berusaha agar mengurangkan makan. Menjamah makanan
ketika sedang lapar dan apabila ia makan tidak sampai kenyang seperti
yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w kepada kita dengan sabadanya yang
bermaksud:
Kami satu kaum yang kami tidak akan makan kecuali kami
telah lapar dan apabila kami makan,kami akan berhenti sebelum kami
kenyang.
l) Sebagai seorang yang al-sālik hendaklah menjaga
lidahnya dari bercakap dengan perkara-perkara yang sia-sia dan yang
melalaikan. Dia juga harus berusaha menjaga hatinya dari segala
lintasan-lintasan yang tidak baik. Seorang yang al-sālik yang berjaya
menjaga lidah dan hatinya akan mudah baginya terbuka hijab berbagai
rahsia yang ghaib. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w ada menjelaskan
dengan sabdanya:
Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari qiamat maka berkatalah dengan perkataan yang baik atau pun dia diam.
m)
Sebagai seorang yang al-sālik hendaklah sentiasa menjaga pandangan
matanya dari perkara-perkara yang diharamkan oleh hukum syarak.
Pandangan mata terhadap perkara-perkara yang diharamkan itu adalah
umpama racun yang membunuh, terutamanya apabila pandangan itu dengan
penuh nafsu syahwat. Justeru seorang yang al-sālik mestilah menjauhkan
diri dari sebarang kegiatan yang melibatkan pergaulan yang bebas
terutamanya di tempat-tempat yang sunyi.
n) Seorang yang
al-sālik hendaklah sentisa menjauhkan diri dari perbuatan bergurau
senda, kerana perbuatan tersebut boleh mematikan hati dan jiwa yang
membawa kepada kegelapan batin seorang yang al-sālik. Hal ini ada
dijelaskan oleh Baginda s.a.w dengan sabdanya yang bermaksud:
Janganlah anda mengganggu dan janganlah anda bergurau-senda dengan saudara anda.
Yang
paling utama dalam hal ini, seorang yang al-sālik hendaklah
meninggalkan perbuatan bergurau senda, kecuali pada sesetengah waktu
yang tertentu seperti ketika berasa sempit dada dan ketika menghadapi
sesuatu cubaan daripada Allah S.W.T.
o) Seorang yang al-sālik
hendaklah berusaha meninggalkan perbuatan berbahas, berdebat, bertikam
lidah dan pertengkaran dalam sesuatu usaha untuk mencari ilmu
pengetahuan. Dengan berbuat demikian akan mewarisi perbuatan lalai,
lupa dan meninggalkan kekotoran dalam hati seorang yang al-sālik. Jika
hal ini berlaku ke atas seorang yang al-sālik maka hendaklah segera
bertaubat kepada Allah S.W.T. Di samping memohon kemaafan daripada
orang yang diajak berdebat itu, jika disedari kebenaran memihak kepada
orang itu.
p) Seorang yang al-sālik hendak mendampingi sahabat,
saudara-mara ketika ia berada dalam keadaan sempit dada atau susah hati.
Di samping itu dia hendaklah membincangkan mengenai adab-adab
perjalanan kepada Allah S.W.T sehinggalah ia merasa lapang dadanya.
q)
Seorang yang al-sālik hendaklah menghindarkan diri dari ketawa dengan
berdekah-dekah, kerana perbuatan seperti itu mematikan hati.
Berdasarkan sejarah Rasulullah s.a.w., Nabi kita tidak pernah ketawa
dengan sedemikian rupa kecuali senyuman yang hanya memperlihatkan
giginya.
r) Seorang yang al-sālik hendaklah berusaha
menghindarkan diri dari sifat cintakan kebesaran dan pangkat kemuliaan.
Sifat ini boleh memutuskan perjalanan kepada Allah S.W.T. Dalam hal
ini Nabi Muhammad s.a.w ada bersabda:
Tidaklah dua ekor serigala
yang lapar dan ganas dan kedua-duanya tinggal di dalam kandang seekor
kambing itu lebih membahayakannya daripada (bahaya) cinta seseorang itu
kepada kemuliaan dan harta lebih dari agamanya.
s) Sebagai
seorang yang al-sālik hendaklah bersifat dengan sifat yang al-tawādu‘,
dikenali juga di kalangan masyarakat kita sebagai merendah diri. Dengan
sifat ini seorang yang al-sālik itu boleh mengangkat darjatnya di sisi
Allah S.W.T. Ibn ‘Atā’illah tidak ketinggalan menjelaskan hal ini
dengan kata-kata hikmahnya:
ادفن وجودك في أرض الخمول , فما نبت مما لم يدفن, لا يتم نتاجه .
Maksudnya:
Tanamkanlah
kewujudanmu di dalam bumi yang sunyi sepi,kerana sesuatu yang tumbuh
dari benda yang tidak ditanam maka tidak sempurna hasilnya.
Sebagai
seorang al-sālik yang sedang berjalan menuju Allah S.W.T dengan amal
ibadatnya untuk menghampiri Allah S.W.T. dengan ma‘rifah kepadaNya,
antara syarat yang perlu ada ialah al-tawādu‘. Iaitu tidak bermaksud
apa lagi berusaha untuk masyhur dikenal orang dan disebut orang namanya
di mana-mana. Dalam hal ini ia wajib menguburkan dirinya dalam bumi
yang sunyi sepi. Maksudnya ialah seorang yang al-sālik itu wajib tidak
menonjolkan dirinya untuk tujuan tersebut. Ditahannya diri dari
mencapai pangkat dan kedudukan, kerusi dan jabatan dan lain-lain
sebagainya yang boleh membawa tersiar namanya di mana-mana.
t)
Seorang al-sālik mestilah memiliki sifat al-taqwā dan sentiasa
mengharapkan keampunan daripada Alah S.W.T. Dia mestilah merasakan
bahawa segala ibadatnya itu tidak mempunyai sebarang makna di hadapan
Allah S.W.T., malahan Allah S.W.T. boleh memasukkannya ke dalam neraka
dengan amal ibadatnya itu, jika sekiranya ia tidak mendapat rahmat dan
kemurahan daripadaNya.
u) Seorang yang al-sālik hendaklah
sentiasa berkeyakinan bahawa segala gerak-geri, perbuatan dan
perkataannya adalah menurut kehendak dan kekuasaan Allah S.W.T. Apabila
dia hendak melakukan sesuatu perbuatan atau tidak melakukannya maka
hendaklah mengatakan dengan ucapan in shā’ Allah.
v) Sebagai
seorang yang al-sālik pada umumnya akan didatangi dengan berbagai-bagai
rahsia baik semasa ia jaga atau semasa ia tidur. Oleh itu dia hendaklah
merahsiakan hal tersebut daripada sesiapa juapun kecuali kepada
syeikhnya sahaja. Perbuatan suka menceritakan rahsia ghaib yang telah
dilihat seperti itu adalah menyebabkan kebencian daripada Allah S.W.T
dan menutup perjalanan seorang yang al-sālik itu sendiri. Hal ini ada
disebutkan oleh Ibn ‘Atā’illah al-Iskandari dalam kata-kata hikmahnya
yang antara lain menyatakan:
من رأيته مجيبا عن كل ما يسئل ومعبرا عن كل ما شهد وذاكرا لكل ما علم فاستدل بذلك على وجود جهله .
Maksudnya:
Barangsiapa
yang anda lihat dia itu menjawab setiap pertanyaan dan menerangkan
setiap penglihatan (perasaannya) dan menyebut setiap yang ia ketahui.
Maka membuktikan seseorang itu dengan demikian atas ada kebodohannya
(kejahilannya).
Apabila seseorang telah dinaikkan darjat oleh
Allah S.W.T ke tingkat al-sālikun iaitu satu tingkatan di mana seorang
hamba Allah S.W.T. itu telah dinaikkan darjat ilmu dan amalannya pada
mengharap supaya Allah S.W.T. membukakan pintu hatinya agar dapat
mengenal Allah S.W.T, atau jika seseorang hamba Allah S.W.T. itu telah
dinaikkan martabatnya dengan sedemikian rupa, adalah merupakan tingkatan
yang tinggi dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf. Maka orang-orang
yang telah sampai ke taraf karam dalam lautan al-ridā dan qadar ilāhiy
itu sehingga hati dan seluruh lahiriyyah dan batiniyyahnya telah tertuju
kepada Allah S.W.T. Justeru hamba-hamba Allah S.W.T. yang sedemikian
bererti mereka telah mendapat limpahan kurnia berupa ilmu ma‘rifat
daripada Allah S.W.T.
Ilmu-ilmu yang mereka perolehi itu seperti
hati mereka dibukakan oleh Allah S.W.T. bahkan mereka melihat dan
merasakan pemberian Allah S.W.T. tersebut. Seorang al-sālik yang
menerima kurnia daripada Allah S.W.T. tersebut akan terjadilah salah
satu dari perkara ini:
i- Membawa kepada kebaikan kerana mereka tidak menceritakan kepada orang lain kecuali syeikhnya.
ii-
Membawa kepada keburukan dan kerendahan disebabkan kerana mereka itu
dayus atau mempermudahkan sesuatu yang telah dikurniakan oleh Allah
S.W.T. kepadanya. Mereka ini juga tergolong di kalangan orang-orang
yang tidak memegang amanah Allah S.W.T ke atas dirinya.
Samalah
juga kedudukannya seperti orang yang mengaku dan mendakwa sampai ke satu
maqām tertentu, sedangkan ia masih belum sampai lagi ke maqām tersebut
seperti yang didakwanya. Sebagai balasan mereka tidak akan sampai ke
maqām yang mereka dakwa telah sampai kepadanya. Sekiranya ia terpaksa
menceritakan hal tersebut atas kepentingan ilmu maka hendaklah ia
mengaitkan cerita tersebut atau pengalaman itu dengan seorang alim yang
lain sekira-kira orang yang mendengar tidak mengetahui bahawa pengalaman
atau cerita tersebut adalah berkaitan dengan diri al-sālik itu. Dalam
kata-kata hikmahnya yang lain, Ibn‘Atā`illah ada menyatakan:
لا ينبغى للسالك أن يعبر عن وارداته فإن ذلك مما يقلل عملها في قلبه ويمنعه وجود الصدق فيها مع ربه .
Maksudnya:
Tidaklah
wajar bagi seorang yang al-sālik bahawa ia mengungkapkan pemberian
Allah terhadapnya, kerana yang demikian itu betul-betul mendatangkan
nilai yang sedikit pada amalnya dalam hatinya (sendiri) dan mencegahnya
pada wujud kebenaran beserta Tuhannya.
w) Sebagai seorang
al-sālik dia hendaklah menetapkan satu waktu yang tertentu untuk
melakukan zikir seperti yang telah diajarkan oleh syeikhnya tanpa
mengurang atau melebihkan amalan tersebut.
x) Seorang yang
al-sālik janganlah ia melambat-lambatkan beribadat kerana
menanti-nantikan kurnia terbukanya hijāb daripada Allah S.W.T terlebih
dahulu, sebaliknya ia hendaklah terus dan segera beribadat untuk
mendapatkan keredaanNya sama ada telah terbuka hijābnya atupun tidak.
Ibn ‘Atā`illah ada menyatakan dengan kata-kata hikmahnya yang antara
lain menyebutkan:
لا تستبطىء النوال ولكن استبطىء من نفسك وجود الاستقبال .
Maksudnya:
Janganlah
anda anggap lambat kurnia Allah S.W.T., tetapi hendaklah anda anggap
pada diri anda adanya kelambatan menghadap kepadaNya.
Demikianlah
perbincangan kita tentang kedudukan seorang al-sālik dengan seorang
yang bergelar syeikh dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf. Dari
perbincangan di atas tadi kita dapati kedudukan seorang yang al-sālik
itu nampaknya sangat memerlukan kehadiran seorang syeikh untuk memimpin,
mengasuh dan menunjuk ajar di samping keberkatan dan hampirnya seorang
syeikh itu dengan Tuhannya akan membolehkan seorang al-sālik itu wusul
kepada Allah S.W.T dalam perjalanannya itu. Dalam perjalanan ini,
seorang yang al-sālik sebenarnya sangat-sangat memerlukan kehadiran
seorang syeikh sama ada secara zahir ataupun secara ma‘nawi. Dari sini
muncullah istilah al-rābitah dalam kehidupan seorang al-sālik yang
sedang menjalani suluknya itu