.

.

Ahad, 10 November 2013

Adab Seorang Salik

Adab-adab al-sālik ke atas dirinya.

Dari kedudukan seorang yang sālik di hadapan syeikhnya yang dilihat dari sudut adab-adab, jelas kepada kita bahawa seorang yang sālik itu sebenarnya memerlukan banyak perkara yang berkait rapat dengan bimbingan dan asuhan daripada seorang yang bergelar syeikh dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf.

Kita juga dapat melihat bagaimana seorang al-sālik itu sebenarnya mempunyai banyak kekurangan dan kelemahan yang menyulitkan untuk dia sampai kepada Allah S.W.T dalam erti kata wusul ilā Allah S.W.T. Dengan membincangkan kedudukan seorang yang sālik dalam hal ini akan dapat memperjelaskan kepada kita tentang peranan yang perlu dimainkan oleh kedua-dua pihak (syeikh dan al-sālik) yang terlibat dalam perjalanan ini (al-sā’ir ilā Allah S.W.T.).

Daripada huraian di atas, kita juga diperlihatkan bagaimana konsep al-rābitah itu muncul dalam beberapa situasi ketika seorang al-sālik melaksanakan adab-adab yang telah ditentukan ke atas dirinya terhadap syeikh. Untuk menjelaskan lagi kedudukan dan peranan al-rābitah dalam ilmu dan amalan tasawwuf kita tinjau pula adab-adab seorang yang sālik terhadap dirinya ketika menjalani al-suluk ini.


 

a) Sebagai seorang yang al-sālik hendaklah sentiasa merasakan bahawa seluruh ingatan dan hatinya meyakini bahawa Allah S.W.T sentiasa melihat dan mengetahui semua keadaannya. Oleh itu, seorang yang al-sālik hendaklah sentiasa menumpukan usaha untuk zikrullah di dalam hati, baik semasa berjalan, duduk dan berbaring. Atau dalam ertikata yang lain, dalam seluruh kegiatan hidup kita hendaklah tertumpu kepada Allah S.W.T. Sebagai ikutan Nabi Muhammad s.a.w berzikir ketika Baginda s.a.w sedang tidur. Oleh itu tidak ada sesuatu keadaan pun yang boleh menghalang seorang yang al-sālik itu untuk berzikrullah. Dengan demikian, hati seorang yang al-sālik itu hanya dipenuhi dengan lafaz “Allah” yang dengannya mengatur segala gerak dan diam seorang yang al-sālik.

b) Seorang yang al-sālik harus menjauhkan diri dari bersahabat dengan orang-orang yang jahat, sebaliknya hendaklah mencari teman dan rakan di kalangan orang-orang yang baik dan soleh. Dengan bersama-sama orang yang soleh itu akan membantu melembutkan hati seorang yang al-sālik. Kenyataan ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w:

Kawan yang soleh itu seperti seorang yang mempunyai kasturi, boleh jadi ia akan memberikan kasturi itu kepada engkau,atau engkau membelinya daripadanya atau engkau mendapatkan bau wanginya.

Hadis di atas membawa maksud adanya kesan yang bersifat rohaniah kepada seseorang yang menjadikan orang yang soleh sebagai sahabat, pembimbing dan pengasuh dalam kehidupan hariannya.

c) Sebagai seorang yang al-sālik apabila mahu melakukan zikir hendaklah ia menutup pintu agar tidak dapat dilihat oleh anak dan isterinya. Apabila tempat berzikir itu sempit dan gelap, maka akan lebih memudahkan hatinya merasakan hudur dan menjauhkan dari lintasan-lintasan yang jahat, jika dibandingkan dengan tempat yang luas dan terang. Orang-orang lain selain daripada isteri dan anak-anak yang menentang ilmu dan amalan tasawwuf juga hendaklah dihalang dari melihat seorang yang al-sālik itu melakukan zikir. Larangan ini adalah disebabkan mungkin mereka yang menentang itu akan mengejek dan memperolok-olok seorang yang al-sālik menutup kepala ketika mereka berzikir. Mungkin juga dengan sebab diejek dan dipermainkan menyebabkan seorang yang al-sālik akan lemah semangat dan terus meninggalkan amalan ilmu tasawwuf ini.

d) Sebagai seorang yang al-sālik hendaklah bersederhana dalam kehidupan harian. Memadailah dengan sekadar yang mencukupi untuk dia hidup sahaja. Imam al-Ghazāli berkata:

جعل الله فضول المطعم والمشرب فى الدنيا سببا لقسوة القلب وابطأ الجوارح عن الطاعة والصمم عن السماع الموعظة .


Maksudnya:

Allah telah menjadikan berlebih-lebihan makan dan minum di dunia ini sebagai satu sebab timbulnya keras hati, melambatkan anggota tubuh badan untuk taat, tuli untuk mendengar nasihat-nasihat yang baik.

e) Seorang yang al-sālik hendaklah berusaha menghindarkan diri dari sifat cintakan dunia di samping menumpukan perhatiannya kepada kehidupan akhirat. Justeru Allah S.W.T.menjelaskan kepada kita dengan firmanNya:


بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا . وَالاْخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَى .

Maksudnya:

Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian),bahkan kamu utamakan kehidupan dunia. Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.

Perasaan kasih dan cinta kepada Allah S.W.T. dan hari akhirat itu tidak akan masuk ke dalam hati orang yang cinta kepada dunia. Hal ini ada dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w seperti yang disabdakan dalam sebuah hadisnya yang diriwayatkan al-Tabrāni dan al-Bayhaqi:


حسب ابن آدم من الشرإلا من عصمه الله تعالى أن يشار إليه بالاصابع فى دينه أو دنياه .

Maksudnya:

Seorang itu sudah cukup dikira sebagai jahat bila ia jadi terkenal kerana agamanya atau dunianya kecuali orang yang dipelihara oleh Allah.

f) Sebagai seorang al-sālik ia tidak boleh tidur dalam keadaan berhadas dan hendaklah ia suci dari hadas dan najis.

g) Sebagai seorang al-sālik jangan sekali-kali mahukan apa yang ada di tangan orang lain. Tidak merasa hairan dengan kedudukan, kemewahan dan kekayaan mereka. Sebaliknya hendaklah menaruh segala keyakinan dan harapan hanya kepada Allah S.W.T.

h) Seorang yang al-sālik apabila berhadapan dengan suasana masyarakat yang keras hatinya maka hendaklah ia bersabar dan jangan sekali-kali ia mengeluh. Seorang yang al-sālik yang menjalani kehidupan bertariqat secara umumnya akan mengalami perubahan keadaan kehidupan keduniaannya, sehingga mungkin akan mendorong seorang yang al-sālik supaya meninggalkan tariqatnya. Jika hal ini berlaku bererti ia telah membatalkan perjanjiannya sendiri dan ia tidak akan berjaya buat selama-lamanya. Oleh yang demikian perlu diingatkan kepada setiap al-sālik supaya menyedari bahawa dengan kesukaran dan kesusahan itu adalah sebab di mana Allah S.W.T. memelihara dan membuka mata hatinya (al-basirah).

i) Sebagai seorang yang al-sālik hendaklah berterusan melakukan muhāsabah terhadap diri untuk berjalan terus di jalan Allah S.W.T. Apabila terasa bahawa perjalanannya terhenti maka hendaklah ia membisikkan kepada dirinya dengan berkata:
Sabarlah engkau kerana masa berehat-rehat untukmu itu adalah di masa hadapan, kesusahan dan kepenatanmu sekarang ini adalah untuk engkau berihat di akhirat kelak.

j) Sebagai seorang yang al-sālik hendaklah mengurangkan tidur, terutamanya apabila di waktu menjelang subuh, kerana waktu itu adalah waktu yang paling mudah permohonan dan doa dimakbulkan oleh Allah S.W.T.

k) Dari sudut makan seorang yang al-sālik hendaklah sentiasa memastikan makanan yang dimakannya dari yang halal dan bersumberkan dari sumber yang halal. Dia juga harus berusaha agar mengurangkan makan. Menjamah makanan ketika sedang lapar dan apabila ia makan tidak sampai kenyang seperti yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w kepada kita dengan sabadanya yang bermaksud:

Kami satu kaum yang kami tidak akan makan kecuali kami telah lapar dan apabila kami makan,kami akan berhenti sebelum kami kenyang.

l) Sebagai seorang yang al-sālik hendaklah menjaga lidahnya dari bercakap dengan perkara-perkara yang sia-sia dan yang melalaikan. Dia juga harus berusaha menjaga hatinya dari segala lintasan-lintasan yang tidak baik. Seorang yang al-sālik yang berjaya menjaga lidah dan hatinya akan mudah baginya terbuka hijab berbagai rahsia yang ghaib. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w ada menjelaskan dengan sabdanya:

Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari qiamat maka berkatalah dengan perkataan yang baik atau pun dia diam.

m) Sebagai seorang yang al-sālik hendaklah sentiasa menjaga pandangan matanya dari perkara-perkara yang diharamkan oleh hukum syarak. Pandangan mata terhadap perkara-perkara yang diharamkan itu adalah umpama racun yang membunuh, terutamanya apabila pandangan itu dengan penuh nafsu syahwat. Justeru seorang yang al-sālik mestilah menjauhkan diri dari sebarang kegiatan yang melibatkan pergaulan yang bebas terutamanya di tempat-tempat yang sunyi.

n) Seorang yang al-sālik hendaklah sentisa menjauhkan diri dari perbuatan bergurau senda, kerana perbuatan tersebut boleh mematikan hati dan jiwa yang membawa kepada kegelapan batin seorang yang al-sālik. Hal ini ada dijelaskan oleh Baginda s.a.w dengan sabdanya yang bermaksud:

Janganlah anda mengganggu dan janganlah anda bergurau-senda dengan saudara anda.

Yang paling utama dalam hal ini, seorang yang al-sālik hendaklah meninggalkan perbuatan bergurau senda, kecuali pada sesetengah waktu yang tertentu seperti ketika berasa sempit dada dan ketika menghadapi sesuatu cubaan daripada Allah S.W.T.

o) Seorang yang al-sālik hendaklah berusaha meninggalkan perbuatan berbahas, berdebat, bertikam lidah dan pertengkaran dalam sesuatu usaha untuk mencari ilmu pengetahuan. Dengan berbuat demikian akan mewarisi perbuatan lalai, lupa dan meninggalkan kekotoran dalam hati seorang yang al-sālik. Jika hal ini berlaku ke atas seorang yang al-sālik maka hendaklah segera bertaubat kepada Allah S.W.T. Di samping memohon kemaafan daripada orang yang diajak berdebat itu, jika disedari kebenaran memihak kepada orang itu.

p) Seorang yang al-sālik hendak mendampingi sahabat, saudara-mara ketika ia berada dalam keadaan sempit dada atau susah hati. Di samping itu dia hendaklah membincangkan mengenai adab-adab perjalanan kepada Allah S.W.T sehinggalah ia merasa lapang dadanya.

q) Seorang yang al-sālik hendaklah menghindarkan diri dari ketawa dengan berdekah-dekah, kerana perbuatan seperti itu mematikan hati. Berdasarkan sejarah Rasulullah s.a.w., Nabi kita tidak pernah ketawa dengan sedemikian rupa kecuali senyuman yang hanya memperlihatkan giginya.

r) Seorang yang al-sālik hendaklah berusaha menghindarkan diri dari sifat cintakan kebesaran dan pangkat kemuliaan. Sifat ini boleh memutuskan perjalanan kepada Allah S.W.T. Dalam hal ini Nabi Muhammad s.a.w ada bersabda:

Tidaklah dua ekor serigala yang lapar dan ganas dan kedua-duanya tinggal di dalam kandang seekor kambing itu lebih membahayakannya daripada (bahaya) cinta seseorang itu kepada kemuliaan dan harta lebih dari agamanya.

s) Sebagai seorang yang al-sālik hendaklah bersifat dengan sifat yang al-tawādu‘, dikenali juga di kalangan masyarakat kita sebagai merendah diri. Dengan sifat ini seorang yang al-sālik itu boleh mengangkat darjatnya di sisi Allah S.W.T. Ibn ‘Atā’illah tidak ketinggalan menjelaskan hal ini dengan kata-kata hikmahnya:


ادفن وجودك في أرض الخمول , فما نبت مما لم يدفن, لا يتم نتاجه .

Maksudnya:

Tanamkanlah kewujudanmu di dalam bumi yang sunyi sepi,kerana sesuatu yang tumbuh dari benda yang tidak ditanam maka tidak sempurna hasilnya.

Sebagai seorang al-sālik yang sedang berjalan menuju Allah S.W.T dengan amal ibadatnya untuk menghampiri Allah S.W.T. dengan ma‘rifah kepadaNya, antara syarat yang perlu ada ialah al-tawādu‘. Iaitu tidak bermaksud apa lagi berusaha untuk masyhur dikenal orang dan disebut orang namanya di mana-mana. Dalam hal ini ia wajib menguburkan dirinya dalam bumi yang sunyi sepi. Maksudnya ialah seorang yang al-sālik itu wajib tidak menonjolkan dirinya untuk tujuan tersebut. Ditahannya diri dari mencapai pangkat dan kedudukan, kerusi dan jabatan dan lain-lain sebagainya yang boleh membawa tersiar namanya di mana-mana.

t) Seorang al-sālik mestilah memiliki sifat al-taqwā dan sentiasa mengharapkan keampunan daripada Alah S.W.T. Dia mestilah merasakan bahawa segala ibadatnya itu tidak mempunyai sebarang makna di hadapan Allah S.W.T., malahan Allah S.W.T. boleh memasukkannya ke dalam neraka dengan amal ibadatnya itu, jika sekiranya ia tidak mendapat rahmat dan kemurahan daripadaNya.

u) Seorang yang al-sālik hendaklah sentiasa berkeyakinan bahawa segala gerak-geri, perbuatan dan perkataannya adalah menurut kehendak dan kekuasaan Allah S.W.T. Apabila dia hendak melakukan sesuatu perbuatan atau tidak melakukannya maka hendaklah mengatakan dengan ucapan in shā’ Allah.

v) Sebagai seorang yang al-sālik pada umumnya akan didatangi dengan berbagai-bagai rahsia baik semasa ia jaga atau semasa ia tidur. Oleh itu dia hendaklah merahsiakan hal tersebut daripada sesiapa juapun kecuali kepada syeikhnya sahaja. Perbuatan suka menceritakan rahsia ghaib yang telah dilihat seperti itu adalah menyebabkan kebencian daripada Allah S.W.T dan menutup perjalanan seorang yang al-sālik itu sendiri. Hal ini ada disebutkan oleh Ibn ‘Atā’illah al-Iskandari dalam kata-kata hikmahnya yang antara lain menyatakan:


من رأيته مجيبا عن كل ما يسئل ومعبرا عن كل ما شهد وذاكرا لكل ما علم فاستدل بذلك على وجود جهله .

Maksudnya:

Barangsiapa yang anda lihat dia itu menjawab setiap pertanyaan dan menerangkan setiap penglihatan (perasaannya) dan menyebut setiap yang ia ketahui. Maka membuktikan seseorang itu dengan demikian atas ada kebodohannya (kejahilannya).

Apabila seseorang telah dinaikkan darjat oleh Allah S.W.T ke tingkat al-sālikun iaitu satu tingkatan di mana seorang hamba Allah S.W.T. itu telah dinaikkan darjat ilmu dan amalannya pada mengharap supaya Allah S.W.T. membukakan pintu hatinya agar dapat mengenal Allah S.W.T, atau jika seseorang hamba Allah S.W.T. itu telah dinaikkan martabatnya dengan sedemikian rupa, adalah merupakan tingkatan yang tinggi dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf. Maka orang-orang yang telah sampai ke taraf karam dalam lautan al-ridā dan qadar ilāhiy itu sehingga hati dan seluruh lahiriyyah dan batiniyyahnya telah tertuju kepada Allah S.W.T. Justeru hamba-hamba Allah S.W.T. yang sedemikian bererti mereka telah mendapat limpahan kurnia berupa ilmu ma‘rifat daripada Allah S.W.T.

Ilmu-ilmu yang mereka perolehi itu seperti hati mereka dibukakan oleh Allah S.W.T. bahkan mereka melihat dan merasakan pemberian Allah S.W.T. tersebut. Seorang al-sālik yang menerima kurnia daripada Allah S.W.T. tersebut akan terjadilah salah satu dari perkara ini:

i- Membawa kepada kebaikan kerana mereka tidak menceritakan kepada orang lain kecuali syeikhnya.
ii- Membawa kepada keburukan dan kerendahan disebabkan kerana mereka itu dayus atau mempermudahkan sesuatu yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepadanya. Mereka ini juga tergolong di kalangan orang-orang yang tidak memegang amanah Allah S.W.T ke atas dirinya.

Samalah juga kedudukannya seperti orang yang mengaku dan mendakwa sampai ke satu maqām tertentu, sedangkan ia masih belum sampai lagi ke maqām tersebut seperti yang didakwanya. Sebagai balasan mereka tidak akan sampai ke maqām yang mereka dakwa telah sampai kepadanya. Sekiranya ia terpaksa menceritakan hal tersebut atas kepentingan ilmu maka hendaklah ia mengaitkan cerita tersebut atau pengalaman itu dengan seorang alim yang lain sekira-kira orang yang mendengar tidak mengetahui bahawa pengalaman atau cerita tersebut adalah berkaitan dengan diri al-sālik itu. Dalam kata-kata hikmahnya yang lain, Ibn‘Atā`illah ada menyatakan:


لا ينبغى للسالك أن يعبر عن وارداته فإن ذلك مما يقلل عملها في قلبه ويمنعه وجود الصدق فيها مع ربه .

Maksudnya:

Tidaklah wajar bagi seorang yang al-sālik bahawa ia mengungkapkan pemberian Allah terhadapnya, kerana yang demikian itu betul-betul mendatangkan nilai yang sedikit pada amalnya dalam hatinya (sendiri) dan mencegahnya pada wujud kebenaran beserta Tuhannya.

w) Sebagai seorang al-sālik dia hendaklah menetapkan satu waktu yang tertentu untuk melakukan zikir seperti yang telah diajarkan oleh syeikhnya tanpa mengurang atau melebihkan amalan tersebut.

x) Seorang yang al-sālik janganlah ia melambat-lambatkan beribadat kerana menanti-nantikan kurnia terbukanya hijāb daripada Allah S.W.T terlebih dahulu, sebaliknya ia hendaklah terus dan segera beribadat untuk mendapatkan keredaanNya sama ada telah terbuka hijābnya atupun tidak. Ibn ‘Atā`illah ada menyatakan dengan kata-kata hikmahnya yang antara lain menyebutkan:


لا تستبطىء النوال ولكن استبطىء من نفسك وجود الاستقبال .

Maksudnya:

Janganlah anda anggap lambat kurnia Allah S.W.T., tetapi hendaklah anda anggap pada diri anda adanya kelambatan menghadap kepadaNya.

Demikianlah perbincangan kita tentang kedudukan seorang al-sālik dengan seorang yang bergelar syeikh dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf. Dari perbincangan di atas tadi kita dapati kedudukan seorang yang al-sālik itu nampaknya sangat memerlukan kehadiran seorang syeikh untuk memimpin, mengasuh dan menunjuk ajar di samping keberkatan dan hampirnya seorang syeikh itu dengan Tuhannya akan membolehkan seorang al-sālik itu wusul kepada Allah S.W.T dalam perjalanannya itu. Dalam perjalanan ini, seorang yang al-sālik sebenarnya sangat-sangat memerlukan kehadiran seorang syeikh sama ada secara zahir ataupun secara ma‘nawi. Dari sini muncullah istilah al-rābitah dalam kehidupan seorang al-sālik yang sedang menjalani suluknya itu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan