.

.

Ahad, 10 November 2013

Mencari Wasilah

 

Dalam suatu Hadith yang telah diriwayatkan oleh Sunnan Abu Daud:
 " Jadikan diri kamu serta Allah, jika telah tidak kamu serta Allah , bersertalah bersama orang yang berserta Allah, niscaya akan disampaikan kamu kepada Allah"

Mencari Wasilah

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱبۡتَغُوٓاْ إِلَيۡهِ ٱلۡوَسِيلَةَ وَجَـٰهِدُواْ فِى سَبِيلِهِۦ لَعَلَّڪُمۡ تُفۡلِحُونَ
 (سُوۡرَةُ المَائدة(٣٥)
 “Wahai orang mukmin, hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah, hendaklah kamu mencari wasilah atau jalan untuk sampai bertaqwa pada Tuhan dan hendaklah kamu berjuang pada jalannya, moga-moga kamu mendapat kemenangan (di dunia dan di Akhirat).” (Al Maidah: 35)

Dalam ayat Al-Quran di atas, Allah Ta'ala memerintahkan orang mukmin buat 3 perkara:

1. bertakwa
2. mencari wasilah
3. berjihad

WASILLAH  
Maka fahamlah kita bahawa makna wasilah itu ada dua.
1. Wasilah itu adalah amalan-amalan yang boleh mendekatkan kita kepada Tuhan. Iaitu ibadah berbentuk hablumminallah dan hablumminannas. Banyak ibadah yang kita buat yang boleh mendatangkan kasih sayang dan belas kasihan Tuhan. Melalui ibadahibadah tersebut, Tuhan bantu kita dan Tuhan campurtangan dan permudahkan urusan kita. Tuhan jauhkan bala bencana dari kita. Tuhan ampunkan dosa kita. Di samping ibadah asas, ibadah-ibadah ini termasuklah bertaubat, menebus dosa, sembahyang malam, bersedekah, berkasih sayang, bermaaf-maafan, sembahyang hajat dan sebagainya.

2. Wasilah itu juga adalah guru mursyid yang boleh memimpin kita kepada Tuhan, yang boleh membawa kita kepada Tuhan,  termasuklah kepada amalan tarekat kerana ia adalah platform untuk mursyid memimpin dan mendidik kita sebagai murrabi untuk kita sampai sentiasa mengingat Allah serta mendekatkan diri kepada Allah di samping ia adalah saluran barakah. Tarekat itu termasuk wasilah. Rugilah orang yang tidak ada atau belum ada tarekat.
Wasilah melalui perhubungan atau perantaraan orang-orang Tuhan dikatakan juga tawasul. Kita rujuk kepada doa yang kita baca selepas azan yang berbunyi: Maksudnya: “Wahai Tuhan, Engkau jadikanlah Nabi Muhammad itu wasilah bagi kami.”

Maksud doa ini ialah kita minta kepada Tuhan supaya Nabi Muhammad itu menjadi wasilah atau perantaraan kita sebab belum tentu Rasulullah mahu menjadi wasilah bagi kita. Walaupun Rasulullah itu memang berperanan sebagai wasilah (penghubung atau perantaraan) kita dengan Tuhan tetapi belum tentu dia mahu menjadi penghubung untuk semua orang. Ada orang dia tolak dan tidak mahu jadi penghubung baginya. Rasulullah SAW hanya mahu menjadi wasilah bagi orang-orang soleh. Ini yang kita takutkan. Oleh itu kita berdoa secara khusus agar Tuhan jadikan Rasulullah itu wasilah bagi kita.

Wasilah itu pula ada wasilah lahir dan ada wasilah batin. Contoh wasilah lahir, Rasulullah mendapat wahyu dari Allah dan disampaikan wahyu itu kepada kita. Rasulullah juga belajar dengan Allah bagaimana hendak berakhlak dan bagaimana hendak hidup cara Islam. Kita pun melihat dan kita tiru dia. Kita jadikan dia sebagai contoh. Maknanya ketika itu dia menjadi wasilah lahir kita. Dia jadi perantaraan atau orang tengah.

Wasilah batin pula adalah wasilah yang bersifat rohaniah, Rasulullah itu perlu kita kaitkan dalam semua ibadah dan doa kita. Contohnya, dalam dua kalimah syahadah, ada syahadah Allah dan ada syahadah Rasul. Kalau tidak ada syahadah Rasul, maka syahadah kita tidak sah. Dalam berdoa, kita disuruh bermula dengan selawat dan disudahi dengan selawat kedua. Rasulullah itu boleh membantu dan menolong kita secara rohaniah walaupun Baginda sudah wafat namun rohnya adalah muqaddasah (suci) dan mutasarrif (boleh berperanan).

Di samping Rasulullah SAW, pemimpin yang berwatak rasul atau mujadid di setiap zaman itu adalah juga sebagai wasilah. Mereka boleh menolong kita secara rohaniah terutama dalam hal-hal membaiki diri dan mengusahakan taqwa. Itulah maksud wasilah. Mencari wasilah itu untuk tujuan menjaga dan memelihara diri kita, untuk keselamatan kita dunia dan Akhirat. Wasilah itu adalah jalan kepada Tuhan

Rezki dikejar lelah terasa,
Mengkais pagi petang menunggu,
Tiada berpantang dalam usaha,
carilah ilmu dengan berguru.

Mengail udang tiga penjuru,
Kail dipancing oleh tok ayah,
Carilah mursyid untuk berguru,
Supaya terbuka segala hidayah


JALAN JIHAD (BERJUANG)
Selain itu walaupun kita ada wasilah, ada guru yang memimpin kita untuk membuat amalan-amalan kebajikan dan amalan-amalan soleh yang berbentuk hablumminallah dan hablumminannas, kita mesti ada jihad perjuangan. Tidak ada jihad, tidak boleh pergi. Jadi kalau ditafsirkan ayat tadi, tidak boleh kita pisahkan antara jihad dan wasilah itu sendiri. Hendak laksanakan wasilah kita tidak akan mampu kalau tidak ada jihad. Sama ada jihad melawan hawa nafsu atau jihad melawan musuh-musuh luar yang agak mengganggu. Yang paling mengganggu adalah nafsu. Walaupun ada wasilah guru penunjuk jalan dan ada wasilah membuat amalan-amalan soleh yang juga adalah hasil dari tunjuk ajar guru tetapi untuk berjaya, ia terpulang pada diri kita sendiri. Guru sudah tunjuk jalan. Kejayaannya ditentukan oleh sejauh mana kita boleh berjihad dan bermujahadah.

Kalau boleh mujahadah, boleh berjihad dengan baik sama ada mengenai musuh-musuh luar lebih-lebih lagi terhadap musuh batin, di mana jihad itu menggunakan wasilah, barulah boleh sampai kepada Tuhan. Jadi tidak boleh dipisahkan antara jihad dengan wasilah. Jihad itu sendiri adalah kerana hendak melakukan dua perkara tersebut iaitu hendak manfaatkan wasilah dan hasil dari tunjuk ajar guru supaya dia dapat mujahadah. Hendak bermujahadah itu banyak gangguannya.


Sebab itu Tuhan senaraikan wasilah, selepas itu jihad. Wajahidu fisabilihi. Jadi kalau wasilah itu kita faham dan kita hayati, untuk menjayakannya menggunakan jihad atau mujahadah iaitu mujahadah ke luar dan ke dalam dengan ilmu, dengan faham, dengan pimpinan dan dengan mujahadah maka apa kata Tuhan: ‘la‘allakum tuflihun’ (moga-moga kamu mendapat kemenangan dunia dan Akhirat).
Itupun Tuhan baru kata ‘moga-moga’, masih tidak confirm. Padahal Tuhan sudah tunjukkan jalan. Kita pun sudah faham jalan tetapi Tuhan kata ‘moga-moga sahaja engkau mendapat kemenangan’. Ertinya di situ ada rahsia. Mungkin di hujunghujung ada kebimbangan. Sebab syaitan akan buru kita sampai mati. Takut-takut di hujung di waktu sakaratul maut, kita terkandas. Sebab itu Tuhan berkata, ‘moga-moga engkau mendapat kemenangan’. Tuhan masih tidak menetapkan kerana syaitan tunggu. Walaupun di perjalanan, syaitan tidak berjaya menipu tetapi dia tunggu di hujung. Begitu berdendamnya syaitan. Kalau waktu nazak dia dapat menipu, kita sudah tidak sempat bertaubat lagi. Kalau dalam perjalanan, masih ada peluang bertaubat. Kalau kita fikirkan ini, cemasnya menghadapi kematian. Bukan soal azabnya tetapi takut-takut kita kandas last minute. Sebab itu kalau orang fikir mati, hilang selera untuk buat maksiat.


Jadi taqwa itu penting iaitu semua sifat-sifat mahmudah yang dikehendaki perlu dimiliki. Rupanya hendak memiliki sifat taqwa bukan hanya sifat takut sahaja. Itu tidak cukup. Hendak memiliki sifat taqwa yang di dalamnya ada berbagai-bagai sifat mahmudah mesti ada wasilah. Wasilah ada dua iaitu guru serta tarekat dan amalan kita yang berbentuk hablumminallah dan hablumminannas. Untuk menjayakan wasilah, perlu kepada jihad iaitu mujahadah terhadap musuh luar tetapi yang utama ialah mujahadah terhadap musuh dalam iaitu nafsu dan syaitan yang sangat bahaya, lebih bahaya daripada musuh-musuh luar.
Jadi kalau kita faham erti taqwa, ada ilmunya, dihayati, ada guru yang memimpin dan mendidik kita serta kita gunakan tenaga jihad melalui mujahadah kita, insya-Allah, kita akan dapat kemenangan demi kemenangan dunia dan Akhirat.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan