.

.

Ahad, 6 Oktober 2013

Amalan Tasauf / Tariqat

AMALAN Tasauf/Tariqat sebagaimana yang lazim dikerjakan oleh para jamaah, sebenarnya banyak sekali tujuan yang hendak diperoleh antara lain iaitu :

1. Dengan mengamalkan Tasauf/Tariqat bererti mengadakan latihan jiwa (Riadhah) dan berjuang melawan hawa nafsu (Mujahadah), membersihkan diri dari sifat-sifat tercela dan diisi dengan sifat-sifat terpuji dengan melalui perbaikan budi pekeri dalam berbagai seginya.

2. Selalu dapat mewujudkan rasa ingat kepada Allah Zat Yang Maha Besar dan Maha Kuasa atas segalanya dengan melalui jalan mengamalkan wirid dan zikir disertai tafakkur yang secara terus menerus dikerjakan.

3. Dari sini timbul perasaan takut kepada Allah sehingga timbul pula dalam diri seseorang itu suatu usaha untuk menghindarkan diri dari segala macam pengaruh duniawi yang dapat menyebabkan lupa kepada Allah.

4. Jika hal itu semua dapat dilakukan dengan penuh ikhlas dan ketaatan kepada Allah, maka tidak mustahil akan dapat dicapai suatu tingkat alam ma'rifat, sehingga dapat pula diketahui segala rahsia di balik tabir cahaya Allah dan Rasul-Nya secara terang-benderang.

5. Akhirnya dapat diperoleh apa yang sebenarnya menjadi tujuan hidup ini.

Demikian antara lain beberapa tujuan yang akan diperoleh bagi setiap orang yang mengamalkan Tasauf/Tariqat. Jelasnya ia akan dapat mengerjakan syariat Allah dan Rasul-Nya dengan melalui jalan atau sistem yang menghantarkan tercapainya tujuan hakikat yang sebenarnya sesuai dengan yang dikehendaki oleh syariat itu sendiri.

Sama sekali tiada tujuan negatif yang terselit di dalamnya, sehingga dapat menggelincirkan ummat untuk jatuh ke dalam kesesatan. Sebagaimana yang sering dituduhkan oleh orang-orang yang belum mengetahui seluk-beluk ilmu Tasauf/Tariqat. Mereka dengan gaya gegabah berani melontarkan perasangka buruk terhadap Ulama'-ulama ahli Sufi dikatakan sebagai orang yang mengajarkan amalan-amalan yang menyerupai ibadah yang tidak pernah dijumpai tuntunannya, baik dari Allah mahu pun Rasul-Nya.

Apa yang dituduhkan mereka itu justeru berbalik dengan kenyataan, bahawa para Ulama' ahli Sufi yang telah lama mengajarkan amalan-amalan baik tersebut sama sekali tidak bertentangan dengan ajaran Allah dan Rasul-Nya. Mereka para Ulama' Guru dan Syeikh sama mengajarkan amalan Tasauf/Tariqat yang sentiasa bersumber dari ajaran Al-Quran dan Al-Hadis yang diterima secara ittishal sampai kepada beliau Rasulullah SAW sendiri. Bahkan apa yang hendak dicapai oleh ajaran kesufian ini telah jelas sekali yakni mengerjakan syariat dengan jalan yang  teratur dan penuh adab, justru bagi memperolehi tujuan hakikat hidup yang sebenar-benarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan