.

.

Jumaat, 4 Oktober 2013

Madrasah Pt. Ju Batu Pahat, Johor

Madrasah Pt Ju Tuan Guru Kiayi Hj Othman Bin Hj. Mohd Amin






Madrasah Pt. Ju
Madrasah ini berada di lokasi  Pt. Ju di laluan jalan utama  antara  Pekan Tongkang Pechah ke Pt. Sulong atau disebut juga sebagai Jalan Pt. Jalil.
Madrasah ini telah dibina oleh Tuan Guru Kiayi Hj. Othman Bin Hj. Mohd Amin yang juga merupakan seorang guru mursyid syeikh Tariqat Naqsabandiah khalidiyah yang berasal dari pengasasnya Tuan Guru Syeikh Abdul wahab Rokan Babusalam Langkat, Sumatera, Indonesia.





Sejarah Ringkas Tuan Guru Mursyid Kiayi Shaikh Hj. Othman Bin Hj. Mohamad Amin
Beliau telah dilahirkan di daerah Batu Pahat pada tahun 1908 masehi, semasa hayatnya beliau telah berguru di bidang pengajian agama dalam bidang fekah, Tauhid, Usuludin, dan tasawuf dengan beberapa orang tokoh guru seperti Tuan Guru Syeikh Omar Pt. Hj Abd Rahman, Tuan Guru Syeikh Daud Rokan Langkat, Indonesia (Anak kepada Tuan Guru Syeikh Abdul Wahab Rokan), Tuan Guru Syeikh Zakaria dan Tuan Guru Syeikh Usman, kesemua guru-guru beliau  merupakan  peminpin Syeikh Tariqat yang bersanad salahsilahnya hingga jejak kepada Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.


Guru beliau Syeikh Hj. Umar adalah seorang khalifah yang tertua kepada Syeikh Abdul Wahab Rokan Babussalam Langkat Sumatera



Diantara guru-guru beliau seperti gambar dibawah:


Tuan Guru Syeikh Hj. Umar bin Muhammad adalah salah seorang di antara khalifah tertua kepada Tuan Guru Syeikh Abdul Wahab Babussalam. Tuan Guru Syeikh Hj. Umar berasal dari Parit Ju atau Parit Abdul Rahman, Mukim Empat, Batu Pahat, Johor. Sekalipun beliau berasal dari Batu Pahat, Johor, namun datuk nenek beliau adalah berasal dari Pekan, Pahang. Tuan Guru Syeikh Hj. Umar telah menerima pelajaran, asuhan dan didikan Tariqat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari Tuan Guru Syeikh Abdul Wahab sewaktu Tuan guru tersebut datang ke Batu Pahat, Johor, pada tahun 1888.



Tuan Guru Kiayi Hj Othman Bin hj Mohd Amin adalah seorang yang cukup didikasi dalam membimbing anak-anak muridnya terutama dibidang pengajian agama khususnya bidang fekah, tasawuf dan al quraan, beliau telah mendirikan beberapa buah madrasah di daerah Batu Pahat, diantaranya bermula dari madrasah asal di Pt Hj Abd Rahman dan beliau mula keluar dari Madrasah tersebut sebagai tempat pengajian dan suluk pada 21.12.1953,  yang kini telah menjadi sebuah masjid, beliau telah mendirikan pula sebuah madrasah di Ayer Hitam pada hari Khamis 13.08.1964,  kemudian dari itu pada Khamis 29.05.1969 bersamaan 13 Rabiulawal 1389h sebuah madrasah di Pt. Ju telah berjaya dibangunkan sebagai rumah suluk dan pusat perkembangan Tariqat Naqsabandiyah Khalidiyyah khususnya di Daerah Batu Pahat yang kekal sehingga kini, dan pada hari Khamis 01.03.1973 bersamaan 25 Muharram 1393h. sebuah madrasah lagi telah dibina di Pt Tegak, Pt Sulong.

Kitab-kitab pengajian yang telah menjadi bahan rujukan dalam setiap pengajian beliau seperti Kitab Tanwirul Qulub , Kitab darunnafis, Kitab Kasful Asrar, Kitab Majmuk Musanif (Majmuk Aceh), Kitab Hidayahtul Salikin, Kitab Bihidaytul Mubtadi, Kitab Sirul Salikin, Kitab Minhajul Abidin, Qatrul Ghasiah, Kitab Fathual Ghaib, dan Kitab Hikam.
Siri kuliah yang telah disampaikan oleh beliau  secara duduk menghadap kearah kiblat pengisiannyanya bermula selepas waktu magrib dan ditangguhkan apabila masuk sahaja waktu Isyak, pada malam tersebut juga diadakan majlis zikir  Qhatam Tawajuh diikuti  Ratib Sazaliyah.
   

\
Gambar Hiasan Kuliah Yang Disampaikan Oleh Tuan Syeikh Hj. Rahim B. Ismail merupakan anak murid beliau yang merupakan khalifah lantikan dari Tuan Syeikh Tajuddin Babusalam Langkat Sumatera di Madrasah Pt Ju Batu pahat.


Pada setiap hari Sabtu  pula beliau akan berada di Madrasah Pt Tegak, Pt Sulong pada siang hari beliau akan mengajar alquraan untuk kanak-kanak dan disebelah malam pula akan menyampaikan kuliah Tasauf dari Kitab Majmuk Aceh, setelah itu dikuti pula dengan Ratib Sazaliah.

Pada setiap hari khamis pula  selepas waktu Asar beliau akan menyemak bacaan Alquraan untuk orang-orang dewasa khasnya murid-muridnya, kemudian disambung semula selepas magrib, selepas waktu Isyak pula diadakan Majlis Zikir Qhatam Tawajjuh serta bacaan yasin.


Pada setiap bulan Muharam, zulhijjah dan 10 akhir Ramadhan akan diadakan pula  suluk selama 10 hari  yang dihadiri oleh murid-muridnya di serata negeri di Johor atau dari luar negeri Johor termasuk dari Singapura.


Latar Belakang Tuan Guru Kiayi Hj Othman

Beliau seorang yang mahir dalam bidang pertukangan, kebanyakan madrasah yang dibangunkan telah dibina atas usaha hasil kerjatangan beliau sendiri, Seorang Arifbillah yang dikenali sebagai dengan pangilan Wak Kemat atau dipanggil juga sebagai Fakih Ahmad pernah menyebut Tuan Guru Kiyai Othman ini adalah seorang yang alim lagi zuhud, lagi warak, lagi abid, lagi haqulyaqin.
Sekiranya kita bersama dengannya aura zikrullahnya cukup terasa, beliau akan menyampaikan  ilmu yang beliau sendiri sudah dahulu amalkan. Tinggi himmah, pekerti dan adabnya, kata-katanya cukup berhikmah dan tertarik untuk didengar,  segala ingatan dan tegurannya cukup terasa dengan rasa penuh keinsafan, adakalanya bila bersamanya boleh menitiskan air mata kerana Jazbah beliau seorang yang ahlillah (Orang yang sentiasa dalam kedaan mengingati Allah).Istiqamah setiap amalannya sekalipun dalam  keadaan uzur beliau tetap berusaha untuk melakukan rutin amalannya.

Kehidupannya amat bersederhana tanpa mengharapkan sumbangan atau derma dari muridnya, beliau telah mengusahakan tanaman pokok sagu yang pada waktu itu telah mendapat permintaan yang tinggi terutama pokok-pokok sagu beliau yang dikatakan lebih berkualiti seperti yang didakwa oleh taukeh-taukeh yang menjadi peraih hasil tersebut. Adakalanya taukeh-taukeh sagu yang datang  sendiri menghantarkan wang-wang hasil tersebut yang telah banyak terkumpul, taukeh sagu yang berbangsa cina tersebut apabila datang menemui beliau bersalaman hurmat sambil mencium tangan beliau.
Dari hasil-hasil yang dilimpahi Allah tersebut beliau telah banyak memperolehi banyak kebun-kebun dan juga rumah-rumah sewa, hartanahnya dikatakan hingga mencecah lebih seratus ekar, kebanyakan hartanah tersebut yang diperolehi dikalangan orang-orang kampong yang yang ingin menjual kepadanya kerana memerlukan kewangan, walaupun pada awalnya beliau telah nasihatkannya agar jangan menjualnya dan berfikir terlebih dahulu, kebanyakannya hasil harta tersebut telah diinfakkan kepada mereka yang memerlukan dan juga  dimenafaatkannya pada mendirikan agama Allah,  segala pengurusan harta –harta tersebut telah dikendalikan oleh menantu beliau yang dipercayainya.


Semasa hayatnya beliau sering berulang alik ke Bersilam atau dikenali perkampungan Babusalam Langkat Sumatera mendalami pengajian dan bersuluk dari syeikh beliau Tuan Guru Syeikh Mohammad Daud Rokan, oleh kerana ketokohan dan wibawa beliau, Tuan Guru Syeikh Mohammad Daud telah melantik beliau sebagai Guru bagi memipin Tariqat serta diberi pengiktirafan dengan panggilan Kiayi oleh guru beliau tersebut.


Almahrom Tuan Guru Kiayi Hj Othman pada hayatnya seorang yang cukup menjaga waktu hingga di madrasahnya terdapat jam-jam dinding yang akan berbunyi dengan waktu-waktu tertentu yang telah disusun atur oleh beliau, di pinggangnya sentiasa terselit Jam Kocek di Tali Pinggang beliau, beliau telah mengatur waktu jam mengikut perkiraan peredaran waktu pergerakan matahari sebagai panduan sebuah timbang waktu cahaya matahari mengikut perkiraan tersebut turut juga telah disediakan oleh beliau.

Pada kebiasaanya beliau akan berada  sekurang-kurangnya setengah jam lebih awal setiap kali sebelum masuknya  waktu solat, beliau sentiasa mengekalkan bangun malam bersolat, duduk bertawajjuh dan bertafakur seawal jam 3 pagi sehingga sampai ke waktu Subuh.

Pada kebiasaan pada setiap kali bangun malam beliau terlebih dahulu akan mandi di kolam air tempat mandian yang terdapat lebih tiga kolah, disitu juga dijadikan tempat beliau berwuduk. Beliau cukup berhemat dalam penggunaan air sewaktu berwuduk sekiranya beliau menggunakan paip air kolah tadahan hujan beliau akan meletakkan baldi dibawahnya agar ayer tersebut dapat digunakan semula untuk beliau bersihkan lantai persikataran tempat tersebut.  

Beliau sentiasa megenakan pakaian jubah putih serta berserban mengikut sunnah Rasulullah, dan memakai minyak wangi, pada setiap kali mengerjakan solat.


Selain Tarikat Naksabandiyah Khalidiyah beliau juga juga ada mengamalkan Tarikat Ahmadiyah, Qadariyah dan Muhamadiyah, adakalanya beliau dijemput ke majlis Zikir oleh Jemaah Tariqat Qadariah untuk memimpin ratib Tariqat tersebut.




Kolah Tempat Mandian dan Rumah Solok



Rumah Mursyid



Rumah Kediaman Tuan Guru Yang Bersambung Dengan Madrasah


Sahabat dan Kenalan Beliau
Diantara sahabat-sahabat baik beliau  seperti Tuan Syaikh Hj Ehsan Air Baloi Pontian,Tuan Hj Mustapha perak, Tuan Hj Ramli Bin Hj Salleh Pt Mantan Batu Pahat, Tengku Ja'afar Pekan Pahang yang juga sahabat seperguruan  beliau, sementara kenalan beliau diantaranya Tuan Syeikh Tajuddin Munawwar (Anak kepada Tuan Guru beliau),Tuan Syekh Hj Mohamad Senang B. Hj Khatib Mursyid Madrasah Kolam Ayer Pt. Sulong Batu Pahat, Habib Mahsur Batu Pahat, Tuan Guru Hj Wahid Sg Udang, Melaka, Kiayi Karim Langkat Sumatera, Indonesia, Ustaz Mahfuz dari Singapura, dan beliau juga pernah dikunjungi seorang tokoh ilmuan Islam Prof Syed Muhammad Naquib al-Atas.

Selaian dari sahabat dan kenalan beliau juga ada seorang anak angkat yang bernama Hj Afandi dimana beliau telah menginfakkan bagi membina sebuah rumah untuk anak angkat beliau dan juga sebuah surau bersebelahannya bertempat di Pekan Desa Sukaramai Medan Sumatera.

Selain itu di madrasah ini juga pada suatu ketika dahulu turut tinggal seorang mualaf yang berguru dan berkhadam kepada beliau , bernama Tuan Hj Abd Rahim Bin Abdullah



Salahsilah Ringkas Tariqat Naqshabandiyyah Al Khalidiyah
Tuan Guru Kiyai Hj Othman Bin Mohd Amin

Silsilah Tariqat Naqshabandiyyah Al Khalidiyah Pt Ju pimpinan Tuan Guru Mursyid Kiayi Shaikh Hj Othman Bin Hj. Mohammad Amin

  1. Sayyidina wa Mawlana Muhammad Salla-Llahu ‘alayhi wa sallam
  2. Sayyidina Abu Bakr as-Siddiq Radiyallahu Anhu
  3. Sayyidina Salman al-Farisi Radiyallahu Anhu
  4. Sayyidina Qasim bin Muhammad bin Abu Bakr as-Siddiq Radiyallahu Anhu
  5. al-Imam Ja’far as Sadiq bin Imam Muhammad al-Baqir
  6. Shaikh Abu Yazid Tayfur bin 'Isa bin Adam bin Surushan al-Bistami Sultanu-‘Arifin 
  7. Shaikh Abu-l Hasan ‘Ali al-Kharqani 
  8. Shaikh Abu ‘Ali Ahmad bin Muhammad al-Farmadi at-Tusi ar-Rudzbari 
  9. Shaikh Abu Ya’qub Yusuf al-Hamadani 
  10. Shaikh ‘Abdu-l Khaliq bin ‘Abdu-l Jamil al-Ghujdawani Imamu-l Khatmi-l Khwajagan 
  11. Shaikh ‘Arif Riwgari 
  12. Shaikh Khwajah Mahmoud Anjir al-Faghnawi 
  13. Shaikh ‘Azizan ‘Ali ar-Ramitani 
  14. Shaikh Muhammad Baba as Sammasi 
  15. Shaikh Sayyid Amir al-Kulali al-Bukhari 
  16. Shaikh Baha’u-d Din an-Naqshbandi Muhammad al-Uwaisi al-Bukhari 
  17. Shaikh ‘Ala’u-d-Din ‘Attar al- Bukhari 
  18. Shaikh Ya’qub Charkhi 
  19. Shaikh Hadrat-i Ishan Nasiru-d-Din ‘Ubaydu-Llah bin Khwajah Mahmoud bin Shaykh Shihabu-d-Din Khwaja Ahrar 
  20. Shaikh Muhammad az-Zahid al-Bukhari 
  21. Shaikh Darwish Muhammad 
  22. Shaikh Khwajaki Amkinaki Mawlana Ahmad bin Jalalu-d- Din al-Samarqandi 
  23. Shaikh Muhammad al-Baqi bi-Llah Berang Simaqi bin Qadi ‘Abdu-s Salam Khalji al-Samarqandi 
  24. Imam Rabbani Ahmad al-Faruqi Sirhindi Mujaddid-i Alf-i Thani 
  25. Shaikh Khwaja Muhammad Ma’sum bin Ahmad al-Faruqi 
  26. Shaikh Khwaja Sayfu-d Din ‘Arif bin Muhammad Ma’soum 
  27. Shaikh Sayyid Nur Muhammad Mazhari Bada’uni 
  28. Shaikh Mirza Shamsu’d- Din Habibu-Llah Mazhari Jan-i Jan’an 
  29. Shaikh Shah Ghulam ‘Ali ‘Abdu-Llah al-Dihlawi 
  30. Shaikh Diya’u-d Din Khalid as- Shahrazuri al-Kurdi al-Baghdadi 
  31. Shaikh Abdullah al-Arzinjani al-Makki 
  32. Shaikh Sulaiman al-Qirimi 
  33. Shaikh Sulaiman Zuhdi 
  34. Shaikh Abdu’l-Wahab Babu’s-Salam 
  35. Shaikh Hj. Umar bin Muhammad Dan Shaikh Daud Bin Abd Wahab Rokan
  36. Shaikh Hj Othman Bin Mohd Amin



Surat Kebenaran Memimpin dan Mengajar Tarikat Di Daerah Batu Pahat
Setelah menerima watikah perlantikan sebagai Mursyid bagi memimpin tarikat naksabandiyah Khalidiyyah khasnya dalam negeri Johor dari Tuan Shaikh Hj. Umar bin Muhammad dan juga dari Tuan Shaikh Daud B. Abd. Wahab Rokan Babusalam Langkat Sumatera pada 2 Rejab 1379  bersamaan 01hb January 1960
Surat Perlantikan Guru Meminpin Tariqat Naqsabandiyah Khalidiyah dari
Tuan Syeikh Mohd Daud Rokan Babusalam Langkat Sumatera



Sebagai menjaga adab Tuan Guru Kiayi Hj Othman juga telah mohon kebenaran dari pihak berkuasa Pejabat Kadhi Daerah Batu Pahat dan telah pun mendapat kebenaran untuk memimpin dan mengajar Tarikat Naqsabandiyah Khalidiyyah khasnya di Daerah Batu Pahat seperti surat kebenaran tersebut :


Tuan Guru Kiayi Hj Othman B. Mohd Amin telah mendapat kebenaran bagi mengajar dan memimpin Tarikat Naksabandiyah Khalidiyyah dari Tuan Kadhi Daerah Batu Pahat pada waktu itu iaitu Tuan Sheikh Hj Mohd Farid Bin Mohd pada tarikh 21 Rabiulakhir 1389 bersamaan 6 hb Julai 1969


Kelebihan-kelebihan Yang Dikurniakan Oleh Allah Kepada Tn Guru Kiayi Hj Othman Mengikut Pengalaman Apa Yang Pernah Diceritakan Oleh Seseorang Semasa Hayatnya.

Mengikut dari cerita dari seorang Cucu Tn Guru Kiayi Hj Othman ( Sdr Jamil Bin Abd Aziz)
Pada suatu ketika dulu dalam tahun 1983   Allahyarham Tn Guru Kiayi Hj Othman Mursyid Madrasah Pt. Ju telah telah dijemput untuk menyertai Seminar Tariqat /Tasawuf  Peringkat Negeri Johor.

Ramai dikalangan pimpinan-pimpinan Syeikh-Syeikh Tariqat turut hadir.
Semasa dalam pertemuan tersebut Dato’ Mufti Negeri Johor  pada waktu itu diantara lain telah bertanyakan berkenaan maksud berhubung maksud istilah Zouk Wajddan kepada semua pimpinan-pimpinan tariqat yang hadir,

Istilah Zouk Wajddan 
Diantara Istilah-istilah  yang hanya dibicarakan dikalangan orang-orang sufi dalam perjalanan kerohanian, ia sukar dibicarakan secara awam kerana mengandungi pengertian kerohanian yang sukar difahami kecuali mereka yang sudah menjalani amalan bersuluk dan bertariqat.

Pada syeikh-syeikh tariqat yang hadir pada waktu itu ada yang memberi jawapan istilah ini sukar untuk di gambarkan diibaratkan seperti mereka yang hanya telah dapat mejalani amalan tariqat dan merasanya sahaja yang akan faham, seperti diibaratkan mereka yang pernah makan kelazatan isi durian hanya mereka ini sahaja yang akan dapat memahami apabila diceritakan tentang kelazatan akan isi durian tersebut, begitulah jawapan demi jawapan secara secara mantiknya untuk digambarkan dengan maksud tersebut telah diberikan oleh sebahagian pimpinan tariqat pada waktu itu, sebaliknya apabila tiba giliran Tn Guru Kiayi Hj. Othaman beliau telah membacakan ayat alquraan  Surah Al Imran Ayat  191 الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ (hingga akhir ayat) berserta mathfum dari ayat tersebut,
Dato’ Mufti pada waktu itu telah akur dan menerima jawapan tersebut serta telah memangil beliau  dengan pangilan Mursyid Tn Guru Hj Othman kepada beliau,
Secara umum Dato’ Mufti maukan jawapan, hakikat itu perlu bersandarkan syariat dan syariat itu perlu berlandaskan alquraan dan Sunnah Rasul

Peristiwa ini telah diceritakan juga oleh seorang pegawai dari Pej Agama Johor  yang bernama Hj. Mohd Nazar berkebetulan beliau ini tinggal di Pt Hj Abd Rahman Jalan Pt Jalil Batu Pahat, beliau juga adalah merupakan  anak buah kepada Tuan Guru Kiayi Hj Othman. Selepas dari itu beberapa pegawai dari pejabat Agama Negeri Johor telah turut mengambil baiah Tariqat Naqsabandiyah dengan Tuan Guru Kiayi Hj Othman diantaranya Allahyarham Dato’ Kadir Sameon Yg Di Pertua Pejabat Agama Negeri Johor waktu itu dan  Allahyarham  Hj Ahmad Kamari Pegawai pentadbir pej Agama Johor dan beliau juga telah turut serta mengikut amalan bersuluk.

Kisah Seorang Hamba Allah Yang Telah Mengirimkan Badal Haji Untuk Ibunya
Diceritakan oleh seorang hamba Allah  yang telah mengirimkan Badal Haji untuk Ibunya yang masih berasa was-was diatas pengurusan Badal Haji tersebut samada ianya telah dapat disempurnakan, beliau telah menemui Tn Guru di Madrasah dan ingin telah menyatakan kemuskilan yang bermain difikirannya selama ini berhubung perkara tersebut.

Bagi memberi kepastian dan keyakinan kepada beliau Tn Guru telah menyuruh beliau duduk menghadap ke arah kiblat dan seterusnya meyelubungi kepalanya dengan kain sarbannya, dengan berkat doa Tuan Guru serta dengan izin Allah, beliau telah dapat menyaksikan sendiri orang itu telah menyempurnakan Badal Haji buat Ibunya dari awal hingga akhirnya, beliau begitu rasa amat terkejut dari apa yang telah disaksikan olehnya barulah kini beliau benar-benar rasa yaqin akan pengiriman Badal Haji tersebut.



Diantara Pesanan Tuan Guru Kepada Anak-anak Muridnya
  • Hendaklah sentiasa istiqamah dalam setiap amalan terutamanya amalan berzikir.
  • Mengekalkan bangun malam melakukan amalan solat tahajud dan amalan zikir.
  • Sentiasa kemas dalam melakukan solat iaitu berpakaian mengikut sunnah bersarban, berjubah, kemas mengikut syarat dan rukun solat yang sempurna, kemas dengan sentiasa hadir hati mengingati Allah berserta tauhid dan makrifatnya.
  • Hendaklah menjaga waktu dengan menunggu terlebih dahulu waktu serta hendaklah solat berjemaah.
  • Jangan  mengatakan sesuatu amalan yang tidak kita capai atau telah kita amalkan.
  • Jangan mudah hendak kedepan ( seperti kedepan menjadi imam, merebut sesuatu jawatan dalam masyarakat)
  • Hati hendaklah sentiasa muraqabah dan musyahadah kepada Allah serta zuhud dari cinta dunia.
  • Pergilah menuntut ilmu agama walau dimana sekalipun sekiranya ia akan menambah diri rasa takut kepada Allah.


Selepas Peninggalan Tuan Guru Kiayi Hj. Othman


Tuan Guru Kiayi Hj Othman telah kembali ke Ramatullah pada hari Isnin 12 Safar 1405H bersamaan 05 November 1984,  Madrasah ini masih lagi kekal berfungsi sebagai pusat pengajian dan tempat bersuluk, usaha ini telah dapat diteruskan pula oleh Tuan Syeikh Hj Abd Rahim Bin Ismail yang merupakan anak murid beliau, beliau yang kekal istiqamah dalam mengamalkan tariqat dan bersuluk  telah menerima watiqah perlantikan sebagai khalifah tarikat daripada Tuan Guru Mursyid Syeikh Tajuddin Bin Mohammad Daud Rokan 
(anak kepada Tuan Syeikh Daud Rokan Langkat Sumatera) sebagai waklil dari Babusalam, usaha bersama di Madrasah ini juga dibantu oleh KhalifahTuan Hj. Kassim yang juga merupakan kahlifah lantikan dari Tuan Guru Mursyid Syeikh Tajuddin Munawar, dan dibantu juga khalifah Tuan Hj. Omar,  seorang lagi khalifah lantikan dari Tuan Guru Syeikh Anas Babusalam iaitu Tuan Syeikh Hj. Othman B. Abdul Rahman  beliau juga turut membantu dalam memberi kuliah dalam perjalanan tarikat Naqsabandiyah di Madrasah tersebut.

Lokasi Madrasah Pt. Ju , Jalan Pt Jalil Batu Pahat

15 ulasan:

  1. beroperasi lagi??? bagaimana nak turut serta??

    BalasPadam
    Balasan
    1. masih lagi beroperasi oleh seorang guru mursyid yg telah mendapat lantikan dpd tn guru shaikh Tajuddin Babusalam langkat Sumatera, yang juga bekas murid almahrum Tn Guru kiayi Hj Othman B. Mohd Amin

      Padam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  3. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  4. Assalamualaikum...boleh ke kalau saya nak kesana utk mengambil baiah dan amalan sj

    BalasPadam
    Balasan
    1. Walaikum salam, tuan berminat adalah dijemput atau sesiapa yg berminat pada setiap hari Isnin malam adalah siri kuliah ringkas dan majlis zikir atau tuan juga boleh hubungi terlebih dahulu kpd Tn Hj. Syawal no hp 019 7137212

      Padam
    2. Assalamualaikum saya ingin sekali turut serta mempelajari, bolekah dptkn no tuan...

      Padam
  5. Assalamualaikum...boleh ke kalau saya nak kesana utk mengambil baiah dan amalan sj

    BalasPadam
    Balasan
    1. Walaikum salam, tuan berminat adalah dijemput atau sesiapa yg berminat pada setiap hari Isnin malam adalah siri kuliah ringkas dan majlis zikir atau tuan juga boleh hubungi terlebih dahulu kpd Tn Hj. Syawal no hp 019 7137212

      Padam
  6. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  7. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  8. assalam , boleh tahu bila madrasah ini ditubuhkan dan pada tahun bila?

    BalasPadam
    Balasan
    1. pada Khamis 29.05.1969 bersamaan 13 Rabiulawal 1389h

      Padam
  9. Ass. Saya saat ini mengkoleksi manuskrip / tulis tangan "Munajat Besilam" untuk kepentingan penelitian saya tentang jaringan Besilam di Indonesia dan Malaysia. Pada saya sudah ada manuskrip Munajat dari Besilam, Riau dan Sumatea Barat. Apakah Madrasah Batu Pahat punya koleksi manuskrip munajat. Jika ada bisa saya mendapatkan copy-nya. Syukran, Ziaulhaq +628126415543.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalikumsalam insyallah jika ada kesempatan saya akan masukkan kedlm blog ini, insyallah

      Padam