.

.

Jumaat, 11 Oktober 2013

Bermula kifiat memandang segala pebuatan itu daripada Allah taala

Bermula kifiat memandang segala pebuatan itu daripada Allah taala, iaitu seperti bahawa dipandangnya dan syuhudnya dan dilihatnya dengan mata kepalanya dan dengan matahatinya, bahawasanya segala perbuatan terbit ia daripada Allah taala, dan mengbangsakan kepada yang lain dari Allah taala itu majazi jua, tiada pada haqiqatnya, kerana pada haqiqatnya, sekelian perbuatan itu daripada Allah taala jua,sama ada perbuatan itu daripada dirinya atau lainnya. Sama ada dengan * مباشرة* atau *تولّد * . Dan ertinya perbuatan dengan mubashirah itu iaitu yang berserta dengan qudrah yang baharu, seperti gerak qalam pada tangan orang yang menyuruh. Dan ertinya perbuatan dengan tawallud itu, iaitu yang jadi daripada perbuatan yang mubasyirah, iaitu seperti jatuh batu daripada tangan melempar.

Bermula dalil yang menunjukan bahawasanya, segala perbuatan itu terbit daripada Allah taalajua, tiada daripada lainNya itu, firman Allah taala yang tersebut didalam Alquran * والله خلقكم وما تعملون * ertinya, bermula Allh taala jua menjadikan kamu dan barang perbuatan kamu. Kata syeih Muhammad ibnu Aljazuli rahimallah dalam syarah 'Dalail AlKhairat' 'tiada terbit daripada sesaorang daripadasegala hambanya, perkataan dan tiada perbuatan dan tiada gerak dan tiada diam, melainkan telah terdahulu pada ilmuNya dan qadhoNya dan qadarNya, 'intiha'.

Dan firman Yang Maha Tinggi: * وما رميت إذ رميت ولكن الله رمى * ertinya tiada engkau melempar, ya Muhammad, tatkala berusaha engkau melempar, tetapi Allah Taala jua yang melempar tatkala itu. Dan lagi sabda Nabi s.a.w * لا حول ولاقوة إلا بالله العلى العظيم * ertinya tiada daya pada menjauhkan ma'siat, dan tiada upaya pada mengerjakan ta'at, melainkan dengan daya dan upaya Allah taala, Tuhan yang Maha Tinggi lagi Maha besar jua. Dan lagi sabda Nabi s.a.w * لا تتحرك ذرة إلا بإذن الله * ertinya, tiada bergerak didalam alam ini suatu zarah jua pun melainkan dengan dengan izin Allah taala.

Syahadan, maka manakala sentiasa engkau memandang kepada yang demikian itu, dan tahqiqlah engkau dengan Dia, nescaya lepaslah engkau daripada segala bahaya yang tersebut itu, dan engkau lihat dengan mata kepalamu dan dengan matahatimu akan segala ujud majazi ini hapus ia dibawah nur ujud Allah yang sebenarnya.

Syahadan, manakala engkau kekalkan akan syuhudmu dan pandangmu akan bahawasanya keadaan segala perkara perbuatan itu terbit daripada Allah taala, dengan membiasakan dia sedikit, kemudian sedikit hingga tahqiqlah dengan yang demikian itu. Maka apabila tahqiqlah engkau dengan dia dan jadilah kepadamu itu musyahadah, ertinya berpandangan dan tiada bercampurlah dengan pandanganmu zohirmu dan bathinmu, maka baharulah sampai engkau kepada maqam wahdatul Af'al, ertinya Esa Allah taala pada segala perbuatan, iaitu 'ibarat ia daripada fana' segala perbuatan makhluk ini, sama ada perbuatan dirinya atau perbuatan lainnya, Sekeliannya itu fana' dibawah perbuatan Allah taala, sekira2 tiada dilihat didalam akuan itu sesuatu, perbuatan Allah taala jua.

Kemudian apabila sampailah kita kepada musyahadah itu nescaya takut kita akan tergelincir kidam (kaki) kita pada barangyang telah menamakan allah ta'ala akan perbuatannya itu kepada kita kerana setengah daripada adab itu bahawa menyandarkan ia akan barangyang telah menamakan allah ta'ala akan sesuatu kepada kita serta pengetahuan kita dengan barang yang telah kita ketahui itu kerana mengamal akan firman allah ta'ala;
(ما أصابك من حسنه فمن الله وما أصابك من شيئة فمن نفسك ) ertinya barangyang mengenai akandikau daripada kebajikan itu maka iaitu daripada allah ta'ala dan barang yang mengenai akan dikau daripada kejahatan itu iaitu dari usaha dirimu.
Back to top Go down

Tiada ulasan:

Catat Ulasan