.

.

Ahad, 27 Oktober 2013

Maksud Mudarris, Muallim, Muaddib, Mursyid, Murobbi dan Ulama


Perkataan guru adalah hasil gabungan dua suku kata iaitu `Gur' dan `Ru'. Dalam bahasa jawa, Gu diambil daripada perkataan gugu bermakna boleh dipercayai manakala Ru diambil daripada perkataan tiru yang bermaksud boleh diteladani atau dicontohi. Oleh itu, guru bermaksud seorang yang boleh ditiru perkataannya, perbuatannya, tingkah lakunya, pakaiannya, amalannya dan boleh dipercayai bermaksud keamanahan yang dipertanggungjawabkan kepadanya untuk dilakukan dengan jujur.

Guru yang berwawasan bertindak sebagai mu’alim, mu’addib, murabbi, mursyid, mudarris dan dalam masa yang sama sebagai fasilitator, pembimbing dan kaunselor yang sentiasa komited dengan kerjayanya iaitu menumpukan perhatian dengan bersungguh-sungguh melaksanakan tugas.

Mu’alim berasal dari perkataan Arab yang bererti guru. Ia juga bermaksud pengajar yang mencurahkan ilmu pengetahuan untuk anak didiknya. Seorang mu’allim lebih menumpukan kepada ilmu akal.Sebagai guru yang bersifat mu’allim, isi kandungan pendidikan perlu disampaikan berserta ilmu yang berkaitan dengan nilai-nilai murni dalam proses melahirkan insan bermoral.

Murabbi dalam Islam membawa maksud yang lebih luas melebihi tahap mu’allim. Konsep Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari. Guru murabbi lebih menumpukan penghayatan sesuatu ilmu, sekali gus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya. Tugas murabbi lebih berlegar di hati. Spiritual Quotient (SQ) dapat dibentuk di dalam diri murid-murid kerana pengajaran berbentuk nilai murni ini boleh diperkukuhkan dengan memberi kesedaran, keyakinan dan juga melalui amalan.

Mudarris adalah pengajar yang selari dengan perkataan guru. Peranan guru adalah untuk memperkembangkan kemahiran dalaman dan luaran murid-murid. Guru boleh membantu murid-murid untuk hal-hal yang tidak mereka ketahui dan faham. Sikap peribadi dan penampilan diri memerlukan kemahiran untuk dikuasai oleh murid-murid.

Mu’addib (Ta’dib) berasal dari perkataan adab iaitu bererti budi pekerti. Mu’addib juga membawa maksud yang hampir kepada istilah mentor. Mu’addib adalah pemupuk adab, akhlak, nilai atau proses pembentukan disiplin dan sikap murid bagi membentuk sahsiah. Peranan mu’addib adalah menyiapkan mu’addab yang dapat melaksanakan pekerjaan-pekerjaan berat yang diletakkan di atas bahu mereka pada masa hadapan. Guru mu’addib bukan sahaja perlu mengajar nilai-nilai murni tetapi mesti mengamalkan nilai-nilai murni tersebut. Mu’addib mempunyai budi pekerti yang tinggi, membina kecergasan akal dan jasmani selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menitik beratkan potensi insan berakhlak mulia dan seimbang.

Mursyid bermaksud seseorang yang pakar dalam memberi tunjuk ajar terutamanya dalam bidang kerohanian. Mursyid secara istilahnya merupakan mereka yang bertanggungjawab memimpin dan membimbing perjalanan rohani murid untuk sampai kepada Allah S.W.T dalam proses tarbiah yang teratur. Mursyid bertanggungjawab untuk mengajar dari sudut zahir (syariat) dan makna (batin). Tugas membentuk kepimpinan insan merupakan tugas yang berat dan perlu dilaksanakan oleh guru.

Hai hambaku! Aku tiada meminta harta benda kepada kamu (sebagai upah) bagi
seruanku. Upahku hanyalah dari Allah ...
(Maksud Al-Qur' an 11 :29)Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang
yang beriman
(Maksud Al-Qur'an 42:215)

Berdasarkan dua ayat Al-Qur' an di atas, ikhlas adalah sifat yang paling utama bagi seorang mursyid. Ini bermakna, guru yang mursyid ialah guru yang sedia menjadi seorang penasihat yang ikhlas.

Perkataan mursyid berasal dari bahasa arab, dari kata irsyada, iaitu memberi tunjuk-ajar. Dalam erti kata lain, mursyid bererti, seseorang yang pakar dalam memberi tunjuk-ajar terutamanya dalam bidang kerohanian, dalam istilah para sufi.
Mursyid secara istilahnya (menurut kaum sufi), merupakan mereka yang bertanggungjawab memimpin murid dan membimbing perjalanan rohani murid untuk sampai kepada Allah s.w.t., dalam proses tarbiah yang teratur, dalam bentuk tarekat sufiyah.
Para mursyid dianggap golongan pewaris Nabi s.a.w. dalam bidang pentarbiah umat dan pemurnian jiwa mereka (tazkiyah an-nafs), yang mendapat izin irsyad (izin untuk memberi bimbingan kepada manusia) dari para mursyid mereka sebelum mereka, yang mana mereka juga mendapat izin irsyad dari mursyid sebelum mereka dan seterusnya, sehinggalah silsilah izin irsyad tersebut sampai kepada Rasulullah s.a.w. (tanpa terputus turutannya). Oleh itu pada kebiasaannya, ia daripada keturunan ulamak.
Para mursyid bertanggung jawab bagi mengajar dari sudut zahir (syariat) dan makna (batin). Antara ciri seseorang yang digelar mursyid adalah:-
·        Mempunyai ilmu agama yang jelas tentang perkara-perkara fardhu 'ain.
·        Dia merupakan seorang yang kamil dari sudut muamalah dengan Allah s.w.t.
·        Mendapat pengiktirafan /pengesahan dari mursyidnya (guru) yang diiktiraf (tidak putus dalam turutan pengajaran).
·        Manhaj tarbiah yang selari dengan panduan Al-Qur'an dan As-Sunnah.

  Sekurang-kurangnya ada 14 syarat yang perlu ada bagi seseorang itu layak
dipanggil mursyid:
1 Menguasai dan melaksanakan ilmu syariah sebagai tiang agama.
  Ertinya mursyid tadi tidak mengabaikan keperluan solat, zakat,
  puasa dan haji. Peribadinya tertakluk dengan hukum Allah SWT.
2 Hatinya terbuka kepada teguran dan kritikan
3 Ilmunya benar atau sahih (bukan ilmu sihir dsb)
4 Berkemahuan/hemah tinggi kerana hendak membina prestasi diri
   dan muridnya.
5 Berpandangan jauh (umat Islam memandang jauh kerana adanya
  akhirat sebagai destinasi kita)
6 Dermawan (tidak sekalipun lokek) walaupun keperluannya tinggal
  sehelai sepinggang.
7 Berbudi pekerti luhur
8 Kasih sayang terhadap semua manusia; tanpa rasa perkauman atau
   memandang pangkat/diskriminasi
9 Zuhud (menolak kebendaan) dan hidup dengan amat sederhana.
10 Tidak membesarkan diri dengan kehebatannya (self promotion
    seperti kononnya punya karamah atau dapat melihat yang ghaib iaitu
   kashaf)
11 Tidak mengeluh ketika diuji (terutama kekurangan dari segi
    ekonomi)
12 Amat perahsia (tidak mendedahkan keaiban atau kekurangan orang
    lain)
13 Hadir hatinya untuk Allah SWT semata
14 Kesan kesalihannya terpapar kepada usahanya (tanpa menunjukkan
    sesuatu yang luar biasa seperti karamah).

      Guru yang mursyid juga digelar sebagai Tuan guru atau Tok guru atau Tuan Sheikh yang memiliki kepimpinan rohaniah pada kebiasaannnya mereka memiliki madrasah atau pondok .dalam usaha memimpin atau membentuk muridnya.
Rasulullah Guru (Mualllim, murabbi mursyid muaddib mudarris) Teragung.

Firman Allah:
 لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا   (Surah ahzab ayat 21)

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

Seharusnya kita wajib untuk bersyukur kerana kasih sayang Allah telah mengutuskan seorang rasul-Nya yang telah melengkapkan keperluan hidup insan dan menyempurnakan akhlak seluruh umat manusia. Nikmat yang paling besar adalah nikmat iman dan islam itu sendiri. Kedatangan Rasulullah yang menjadi guru teragung umat manusia melengkapkan seluruh keperluan manusia. Seharusnya guru yang patut kita ingati adalah rasulullah s.a.w yang menjadi guru yang paling sempurna dan ‘role’ model yang tiada tandingan untuk kita contohi. Namun ingatan buat Baginda yang semakin hari semakin luput ditelan zaman menjadikan akhlak manusia ranap dan musnah, menjadikan manusia kembali kepada hidup yang tidak bertamadun dan rosak akidahnya? Siapakah yang harus dipersalahkan apabila rasulullah s.a.w bukan lagi idola bagi umat manusia manakala Allah bukan lagi matlamat hidup insani? Maka tidak mustahillah dunia hari ini adalah dunia yang semakin menuju kehancuran. Ya rasulullah, engkau guru teragung yang menerangi hidup manusia.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan